Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) adalah masalah hormon yang kerap berlaku pada wanita dan mempengaruhi haid dan kesuburan. Untuk mengetahui sama ada anda mengalaminya, berikut adalah beberapa tanda PCOS yang perlu diperhatikan.
Isi Kandungan
Apa Itu PCOS?
PCOS atau Sindrom Ovari Polisistik adalah masalah kesihatan yang sering berlaku dalam kalangan wanita. Ia berlaku apabila hormon dalam badan wanita menjadi tidak seimbang.
Ini menyebabkan masalah pada ovari, di mana telur yang sepatutnya dilepaskan setiap bulan tidak berkembang dengan baik atau tidak dilepaskan langsung.
10 Tanda PCOS Pada Wanita
1. Kitaran Haid Tidak Teratur
Kitaran haid yang tak menentu adalah salah satu tanda paling biasa bagi PCOS. Ada yang tak datang haid berbulan-bulan atau terlalu kerap dalam sebulan.
Hormon androgen dan insulin yang berlebihan mengganggu proses ovulasi menyebabkan kitaran haid yang tidak tetap.
2. Jerawat Berlebihan
PCOS sering menyebabkan jerawat yang sukar dikawal, terutamanya di kawasan dagu, pipi dan dahi.
Kadar hormon androgen yang tinggi merangsang pengeluaran minyak berlebihan pada kulit menyebabkan kulit lebih berminyak dan mudah berjerawat.
3. Berat Badan Sukar Turun
Wanita dengan PCOS sering mengalami masalah menurunkan berat badan walaupun sudah menjaga pemakanan dan bersenam.
Hormon insulin yang tidak stabil membuatkan tubuh lebih mudah menyimpan lemak terutamanya di bahagian perut.
4. Keguguran Rambut
Kehilangan rambut yang berlebihan atau menipis di bahagian depan dan atas kepala juga boleh menjadi tanda PCOS. Ia dikenali sebagai androgenic alopecia yang mana rambut biasanya gugur di bahagian atas kepala akibat tahap hormon androgen yang tinggi.
5. Tumbuh Bulu Lebat di Wajah dan Badan
PCOS juga menyebabkan pertumbuhan bulu yang lebat di bahagian yang tidak diingini seperti muka, dada dan perut yang dikenali sebagai hirsutisme.
Ini kerana hormon lelaki dalam badan wanita menjadi lebih aktif daripada biasa.
6. Kulit Gelap di Lipatan
Penghidap PCOS yang mengalami rintangan insulin mungkin mendapati kulit mereka gelap dan tebal di kawasan lipatan seperti leher, ketiak atau pangkal paha.
Keadaan ini dikenali sebagai acanthosis nigricans dan sering dikaitkan dengan risiko diabetes.
7. Masalah Kesuburan
Bagi wanita yang mengalami PCOS, ovulasi yang tidak konsisten boleh menyukarkan untuk hamil. Ini adalah salah satu sebab utama PCOS dikaitkan dengan masalah kesuburan.
8. Gangguan Tidur dan Keletihan
Wanita dengan PCOS sering berasa cepat letih walaupun telah mendapat tidur yang cukup.
Masalah hormon dan ketidakseimbangan insulin boleh menyebabkan badan menjadi kurang bertenaga.
9. Sakit Kepala
Perubahan hormon akibat PCOS juga boleh menyebabkan sakit kepala yang berterusan. Sesetengah wanita mungkin mengalami migrain yang lebih kerap.
10. Gangguan Mood
Perubahan hormon bukan sahaja memberi kesan fizikal tetapi juga emosi. Wanita dengan PCOS cenderung mengalami gangguan mood seperti kemurungan, kebimbangan,dan perubahan emosi yang mendadak.
Wanita dengan PCOS mungkin mengalami satu atau beberapa gejala ini. Jika anda perasan tanda-tanda ini, lebih baik berunding dengan doktor untuk mendapatkan rawatan awal.
Walaupun PCOS tidak boleh sembuh sendiri tetapi ia boleh dikawal dengan perubahan gaya hidup dan rawatan yang sesuai memberikan anda peluang untuk hidup lebih sihat dan berkualiti.
Hello Doktor
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Gejala PCOS Penyebab Ramai Wanita Sukar Hamil, Ini Penjelasan Dari Pakar Perubatan
Baca juga: Cara Mengesan Kanser Payudara, Buat Dua Perkara Ini Setiap Bulan Di Rumah Sebagai Langkah Awal!