Tanda Mengandung Luar Rahim/ Kehamilan Ektopik, Ia Boleh Membahayakan Nyawa Ibu
Tanda mengandung luar rahim pada mulanya mungkin sukar dikesan. Namun ada kes kehamilan yang begitu rare, wanita mengandung di dalam hati
Selalu kita dengar mengenai kisah mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik. Biasanya ia terjadi di dalam bahagian abdomen. Tanda mengandung luar rahim pada awalnya mungkin tidak dapat dikesan.
Namun seiring peningkatan minggu kehamilan, anda dan pasangan mungkin dikejutkan dengan berita menyedihkan ini apabila melakukan pemeriksaan kandungan.
Isi Kandungan
Tanda mengandung luar rahim
Setiap wanita yang mengandung pastinya mengharapkan proses kehamilan berjaya hingga melahirkan seorang bayi sempurna fizikalnya. Walau bagaimanapun ada yang berdepan ujian berbeza yang tidak pernah orang lain laluinya.
Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal, mengandung luar rahim atau dikenali dengan nama kehamilan ektopik yang bermaksud ‘di tempat yang salah’.
Dalam kebanyakan kes hampir 98 peratus, implantasi berlaku di dalam tiub fallopio dan sebab itu ia turut dikenali sebagai kehamilan tiub (tubal pregnancy).
Apabila ibu hamil luar rahim, ia boleh menyebabkan kesakitan dan pendarahan. Jika dibiarkan, tiub fallopio ini boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman.
“Bagi kandungan normal selepas disenyawakan zigot bergerak melalui tiub fallopio dan memasuki rahim di mana implantasi pada dinding rahim berlaku.
Namun atas faktor tertentu, zigot tidak bergerak ke arah rahim sebaliknya berlaku di dalam tiub fallopio. Keadaan mengandung luar rahim ini boleh mengancam nyawa ibu, jika dibiarkan. Justeru kehamilan ektopik harus digugurkan sepenuhnya,” katanya.
Ada beberapa tanda mengandung luar rahim. Antaranya adalah:
#1. Sakit perut
Ia menjadi salah satu tanda mengandung luar rahim yang sering diadu oleh wanita mengandung dan hal ini tidak menghairankan berikutan patologi kehamilan ektopik ini yang melibatkan organ sekeliling pelvis (pinggang).
Akibat tumbesaran janin di luar rahim, tekanan ke atas organ akan menyebabkan kesakitan yang sangat teruk kepada kebanyakan pesakit.
#2. Pendarahan dari faraj
Tanda tanda mengandung luar rahim yang seterusnya adalah pendarahan dari faraj.
Banyak wanita akan mengadu mereka “hamil tapi haid banyak” dan perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam proses kehamilan normal. Pendarahan ketika mengandung adalah perkara yang tidak normal dan perlu dirujuk doktor dengan segera.
#3. Cirit-birit dan muntah
Kedua-dua simptom mengandung luar rahim ini tidak patut sesekali diendahkan terutamanya jika ia sangat kerap dan teruk. Hal ini kerana wanita mengandung boleh mengalami dehidrasi yang juga boleh mengakibatkan “kejutan” dan pening kepala.
#4. Sakit hujung bahu
Tanda mengandung luar rahim yang seterusnya adalah sakit bahu. Jika janin yang membesar ini berada dalam perut, ia boleh menyebabkan gangguan urat saraf bahu dan menyebabkan kesakitan.
#5. Pitam
Tanda tanda mengandung luar rahim yang seterusnya adalah rasa seolah-olah ingin pitam.
Jika gumpalan tisu janin ini membesar dan menyebabkan organ seperti ovari ataupun tiub fallopian pecah, ia boleh mengakibatkan pendarahan dalaman yang teruk dan seterusnya menyebabkan wanita itu pengsan.
Punca mengandung luar rahim
Ada beberapa punca mengandung luar rahim terjadi pada sesetengah wanita. Antaranya:
- Masalah pada tiub fallopian – Apa yang dimaksudkan dengan masalah pada tiub fallopian ini adalah kondisi perubatan seperti “endometriosis”, ketumbuhan mahupun kecacatan/kerosakan pada tiub ini akibat daripada pembedahan sebelum ini ataupun intervensi perubatan.
- Punca mengandung luar rahim: Sejarah kehamilan ektopik – Sekiranya seseorang wanita itu mempunyai sejarah kehamilan ektopik, kemungkinan untuk mereka mendapat kehamilan luar rahim sekali lagi adalah tinggi berdasarkan rekod pesakit-pesakit terdahulu.
- Sejarah jangkitan dalam pelvis – Jika anda pernah mendapat Penyakit Radang Pelvis ataupun jangkitan penyakit seksual seperti Klamidia atau Gonorrhoea, peluang untuk mendapat kondisi mengandung luar rahim adalah tinggi.
Kisah benar tentang kandungan luar rahim
Seorang bayi yang belum dilahirkan itu telah mengejutkan dunia. Janin terbentuk dikesan di dalam hati seorang wanita, menjadikan ia kejadian paling pelik dalam sejarah perbidanan.
Seperti kes yang berlaku kali ini iaitu seorang wanita berdepan dengan kandungan luar rahim dan bayinya terbentuk di dalam hati. Kejadian ini berlaku di Ottawa.
Seorang doktor mendedahkan mengenai sebuah kes hamil luar rahim yang sungguh rare, di mana janin membesar di dalam hati seorang wanita, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menurut pakar pediatrik dari Institut Penyelidikan Hospital Kanak-Kanak Manitoba, Michael Narvey, kes hamil luar rahim itu dialami seorang pesakit berumur 33 tahun yang mempunyai sejarah kitaran darah haid selama 14 hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa terdapat janin sedang membesar dalam hati wanita tersebut.
“Dia mengalami kandungan luar rahim atau kehamilan ektopik. Kehamilan seperti ini kadang kala berlaku pada abdomen dan tidak pernah berlaku pada hati. Ini merupakan kes kandungan luar rahim yang pertama seumpamanya buat saya,” kata Narvey menerusi satu hantaran di TikTok.
Doktor memilih menyelamatkan nyawa ibu
Hamil luar rahim berlaku apabila telur yang disenyawakan berada di luar rahim, kebiasannya pada satu daripada tiub fallopio.
Sekiranya telur tersekat di dalam tiub fallopio, ia tidak akan membesar menjadi bayi dan amat sukar untuk menyelamatkan kehamilan tersebut.
Sementara itu, kehamilan abdomen adalah sejenis kehamilan ektopik yang berlaku apabila telur keluar dari tiub fallopio dan memasuki abdomen.
Menurut beberapa laporan, dalam kes mengandung luar rahim, doktor kebiasaannya memilih untuk menyelamatkan nyawa ibu berbanding janin yang sukar diselamatkan.
Hamil luar rahim boleh meragut nyawa ibu
Setakat ini, video itu telah pun mendapat lebih sejuta penonton, ternyata orang ramai cukup terkejut dan tidak menyangka keadaan sebegini boleh terjadi.
Antara salah seorang pengguna TikTok memberi komen mengharapkan agar ibu dan bayi akan selamat dan menjadi satu kehamilan yang ajaib.
“Saya seakan tidak percaya kejadian seumpama ini boleh berlaku dan bagaimana rapuhnya ‘telur’ sehingga boleh berada di dalam hati,” menurut salah seorang yang turut komen pada video terbabit
Kejadian sebegini akan berlaku apabila telur yang disenyawakan membentuk janin di luar rahim yang mana kebiasaan proses itu patutnya berlaku di dalam tiub fallopio.
Di United Kingdom, dianggarkan satu daripada 90 kehamilan pelik akan berlaku dalam setahun.
Menurut pakar, kejadian kehamilan luar rahim ini akan berlaku apabila telur bergerak ke laluan yang salah iaitu di bawah saluran tiub fallopio dan di luar abdomen.
Malah kejadian kehamilan di dalam hati ini cukup pelik dan jarang berlaku.
Menurut laporan pakar bedah, ibu yang mengandung boleh diselamatkan, namun tidak pada kandungannya. Ini kerana komplikasi untuk menyelamatkan bayi adalah berisiko tinggi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Video Pembedahan Buang Janin Kerana Kehamilan Ektopik
Baca juga: Naluri Ibu Ini Kuat Mengatakan Dia Hamil, Walaupun Kiraan Haidnya Tidak Teratur!
Baca juga: Tidak Datang Haid, Keputusan UPT Negatif? Pakar Kongsi 15 Tanda-Tanda Awal Mengandung