Pening digambarkan sebagai perasaan seolah-olah tidak stabil atau rasa seperti hendak pitam. Secara umumnya, dalam keadaan normal, keseimbangan deria dikawal oleh isyarat otak yang menerima isyarat dari beberapa lokasi: mata, saraf sensori dan telinga.
Keseimbangan yang terbaik bergantung kepada sekurang-kurangnya dua dari tiga sistem yang sensori berfungsi dengan baik.
Sebagai contoh, apabila anda menutup mata semasa berdiri, tidak bermakna anda hilang keseimbangan. Isyarat dari telinga dalam dan saraf sensori membantu anda tegak dan stabil.
Kenapa bila bangun rasa pening?
Walau bagaimanapun, jika sistem saraf pusat tidak boleh memperoses isyarat dari semua lokasi atau sistem sensori tidak berfungsi sepenuhnya atau mesej bercanggah, anda mungkin hilang keseimbangan.
Kebanyakan pening akan berakhir dengan cepat tetapi ia mungkin sebagai gejala keadaan yang lebih serius. Antara penyebab pening adalah:
#1. Vertigo – perasaan badan berpusing-pusing atau rasa persekitaran anda berpusing
- Gangguan telinga dalam (vestibular neuronitis akut atau labyrinthitis)
- Vertigo yang tidak bahaya berkaitan dengan perubahan kedudukan badan yang berlaku sekali sekala.
- Mastoiditis (radangan pada mastoid)
- Kurang aliran darah ke telinga tengah akibat atherosclerosis (plak lemak dalam salur darah) terutama pesakit Diabetis Mellitus (Kencing manis), Hypertension ( Darah tinggi) dan
- Hypercholestrolaemia (berlebihan kolestrol dalam darah)
#2. Sakit kepala yang ringan
- Gangguan telinga dalam
- Gangguan kerisauan seperti serangan panik, agoraphobia ( perasaan gerun melintasi tempat lapang)
- Hyperventilation (pernafasan cepat)
- Hilang cecair badan contoh peluh berlebihan.
- Perubahan tekanan darah disebabkan oleh ubatan seperti ubat darah tinggi, ubat diuretic dan ubat kemurungan.
- Keadaan medikal seperti diabetes dan penyakit Parkinson.
- Anaemia
#3. Muntah-muntah
- Loya dan muntah apabila menaiki kereta, kapal terbang, bot atau kapal.
Perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar MSU Medical Centre, Dr Nor Azmi Mohamad, berkata Vertigo yang serius katanya, boleh memberi kesan psikologi dan jika tidak dirawat segera, mereka enggan bergerak kerana sering seolah-olah berpusing, pening dan sebagainya.
“Lebih merisaukan, ada antara pesakit tidak mahu keluar rumah, memandu kereta dan mendatangkan ketakutan mereka.
“Tanpa rawatan, organ dalam telinga atau sistem vestibular yang berperanan sebagai sensor untuk pergerakan mungkin rosak dan tidak lagi mengenal pergerakan normal menyebabkan ia menghantar maklumat bercanggah kepada otak,” katanya.
Bagaimanapun rawatan awal seperti fisioterapi, boleh mengembalikan fungsi asal organ rosak sekali gus mengelakkan penghantaran maklumat yang salah kepada otak.
Tanda dan gejala pening kepala
- Perasaan persekitaran berpusing atau bergerak (vertigo)
- Hilang keseimbangan
- Loya
- Tidak stabil
- Sakit kepala sedikit
- Pitam
- Lemah
- Letih lesu
- Sukar memberi tumpuan
- Pandangan kabur selepas menggerakkan kepala dengan cepat
- Perasaan penuh dalam telinga, berdengung atau berdesing dalam telinga dan kadang kala hilang pendengaran.
Ada kes individu pening diiringi telinga berdengung sehingga mengganggu pendengaran dan menyebabkan penglihatan kabur.
“Gangguan penglihatan menyebabkan pesakit seperti melihat objek berkembar dan berlaku disebabkan adanya strok pada batang otak (brain stem) atau serebelum.
“Jika disertai lemah dan kebas, ia petanda penghidapnya perlu segera berjumpa doktor.
“Vertigo bukan penyakit, ia adalah simptom untuk beberapa jenis penyakit yang membabitkan sistem vestibular iaitu sensor untuk pergerakan,” jelas Dr Nor Azmi Mohamad.
Golongan yang berisiko pening kepala
Wanita lebih tinggi risiko mengalami pening kepala berbanding lelaki. Bagaimanapun selepas berumur 70 tahun, kedua-dua jantina ini berisiko mendapatnya.
Sehingga kini tidak diketahui mengapa wanita lebih banyak berdepan gejala vertigo.
Antara penyebabnya ialah vascular vertigo berkait dengan masalah salur darah yang mengalami kemerosotan dan sempit menyebabkan seseorang mengalami strok kecil tanpa membabitkan lemah kaki, tangan atau kebas.
Selain itu, remaja dan kanak-kanak, tidak terkecuali namun tidak ramai.
Bagi golongan muda, vertigo boleh disebabkan masalah kecacatan genetik pada otak seperti episodic ataxia menyebabkan masalah ketidakseimbangan ‘diturunkan’ daripada ibu bapa kepada anak.
Antara penyebab paling biasa bagi gejala vertigo ialah benign paroxysmal positional vertigo (BPPV) yang membawa kesan sangat ringan termasuk menyebabkan seorang berasa berpusing selama beberapa saat.
Cara hilangkan pening kepala
Kebanyakan pesakit yang mengalami simptom pening kepala hanya berjumpa doktor dan mengambil ubat bagi membolehkan vertigo hilang.
“Mereka ini wajar mendapatkan rawatan yang betul sebagai pencegahan awal bagi mengurangkan kesan vertigo berulang-ulang atau berlarutan,” kata Dr. Nor Azmi.
Berikut beberapa cara hilangkan pening kepala yang boleh anda cuba di rumah:
#1. Elakkan tekanan di bahagian kepala atau dahi
Kadang-kadang, kepala pening adalah disebabkan tekanan fizikal ke kepala. Mungkin anda boleh longgarkan sedikit ikatan rambut sekiranya terlalu ketat. Pemakaian topi, headband dan goggles juga boleh mengundang masalah ini.
#2. Malapkan lampu
Lampu atau cahaya yang terlalu terang atau berkelip boleh mengundang kepala pening atau migrain.
Asingkan diri anda buat sementara waktu daripada situasi tersebut sekiranya anda berada dalam keadaan tersebut pada jangka masa yang panjang seperti skrin komputer di tempat kerja anda.
Pakai cermin mata hitam ketika keluar ke tempat yang panas terik. Anda juga boleh memasang skrin gelap ke skrin komputer anda.
#3. Cuba untuk tidak mengunyah
Tindakan mengunyah yang berterusan seperti mengunyah gula-gula getah, menggigit kuku dan bibir boleh mengundang sakit kepala.
Kurangkan makanan yang terlalu rangup dan melekit atau ambil suapan yang kecil.
#4. Cuba aktiviti yang menenangkan
Lakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi ketenangan jiwa, seperti regangan badan, yoga, meditasi dan juga latihan pernafasan secara aktif.
#5. Urutan muka dan kepala
Pada umumnya, jika anda kerap mengalami pening kepala, urutan pada kulit kepala boleh membantu melegakan kesakitan tersebut.
Hal ini kerana dengan mengurut boleh membantu sistem peredaran darah ke kepala dan otak, dan secara tidak langsung melegakan sakit kepala.
Cara-caranya adalah mudah sahaja:
- Letakkan ibu jari ataupun jari telunjuk pada sisi kepala (tempat di antara telinga dan mata).
- Berikan sedikit tekanan pada tempat tersebut dengan jari anda dan gerakkan dalam pusaran/bentuk bulat.
Selain cara di atas, ada beberapa cara lain yang mudah iaitu:
- menggunakan syampu dan mengurut kepala anda dengannya.
- menggunakan minyak kelapa ataupun minyak zaitun. Sapukan pada kulit kepala dan urutnya seperti biasa.
#6. Pengambilan halia
Kajian menunjukkan dengan pengambilan halia dalam diet dapat mengurangkan migrain dan sakit kepala. Anda boleh campur sedikit halia dalam minuman anda atau beli tablet halia daripada farmasi.
#7. Gunakan pek sejuk
Sekiranya kerap rasa pening kepala, letakkan pek sejuk pada dahi. Anda boleh beli pek-pek sejuk ini sama ada jenis pakai buang atau pek yang boleh digunakan berulangkali.
Atau, sekiranya anda tiada barang-barang tersebut, anda boleh bungkus beberapa ketul ais menggunakan tuala kecil.
Tekapkan ke kepala atau dahi anda selama 15 minit dan berehat 15minit kemudian. Ulang sehingga kesakitan berkurang.
Semoga bermanfaat.
Berita Harian, Sinar Syok, My Health
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tekanan Darah Normal Mengikut Usia, Jadi Penentu Tahap Kesihatan Anda & Keluarga
Baca juga: Cara Urutan Sakit Kepala Untuk Ibu Hamil Tanpa Perlu Makan Panadol
Baca juga: Cara Buang Angin Dalam Badan Yang Berkesan, Elak Ibu Hamil Rasa Tidak Selesa Berterusan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!