Gangguan atau masalah ketika mengandung boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sepanjang tempoh kehamilan. Ia boleh menjejaskan kesihatan ibu, bayi atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes-kes tertentu, gangguan kehamilan ini boleh menjadi komplikasi yang meragut nyawa sekiranya tidak ditangani dengan cepat dan tepat. Justeru adalah penting untuk anda mengenali beberapa komplikasi umum terjadi semasa mengandung agar dapat lebih waspada dan mencegahnya.
Masalah ketika mengandung yang sering terjadi terhadap ibu hamil
Masalah ketika mengandung atau kelainan kehamilan tentunya berbeza bagi setiap ibu. Gejala yang muncul ditentukan oleh jenis gangguan yang dialami.
Antara kelainan dalam kehamilan yang perlu para ibu waspada ialah:
#1. Masalah ketika mengandung- kehamilan ektopik atau hamil luar rahim
credit to sources
Kehamilan ektopik terjadi apabila telur disenyawakan di luar rahim, biasanya di salah satu saluran tiub fallopio.
Tiub fallopio adalah saluran yang menghubungkan ovari ke rahim. Jika telur tersekat di dalamnya, ia mungkin tidak dapat berkembang menjadi janin dan kesihatan ibu amat berisiko sekiranya ingin meneruskan kehamilan¹.
Masalah ini selalunya dapat dikesan dengan melakukan pemeriksaan fizikal, ujian darah atau USG.
Tanda-tanda kehamilan ektopik ialah:
- Lewat datang haid atau simptom kehamilan yang lain
- Pendarahan pada vagina atau keluarnya cecair berwarna coklat
- Sakit pada bahagian bahu
- Tidak selesa ketika membuang air kecil dan besar
- Sakit bawah perut
Punca kehamilan ektopik
Dalam kebanyakan kes, masih tidak jelas mengapa seseorang wanita mengalami masalah hamil di luar rahim. Kadang-kadang ia berlaku apabila ada masalah dengan tiub fallopio seperti saluran sempit atau tersumbat.
Berikut adalah penyebab yang boleh meningkatkan risiko kehamilan ektopik:
- Memiliki sejarah kehamilan ektopik sebelum ini- risiko untuk anda berdepan masalah ini pada kehamilan seterusnya adalah sekitar 10 peratus.
- Menjalani pembedahan pada tiub fallopio
- Rawatan kesuburan seperti IVF- Pengambilan ubat untuk merangsang ovulasi (pelepasan telur) boleh meningkatkan risiko kehamilan ektopik
- Penyakit radang pelvis (PID)- Keradangan pada sistem pembiakan wanita, biasanya disebabkan oleh jangkitan kelamin (STI)
- Faktor peningkatan usia- Risiko kehamilan luar rahim menjadi lebih tinggi bagi wanita yang berumur antara 35 hingga 40 tahun
- Mengandung semasa menggunakan alat intrauterin (IUD) atau sistem intrauterin (IUS)- Jarang wanita dapat mengandung ketika menggunakan alat ini, jika anda mengalaminya berkemungkinan besar berdepan risiko kehamilan ektopik
- Tabiat merokok
Jenis rawatan untuk kehamilan ektopik
Bagi yang mengalami kehamilan ektopik, malangnya kandungan anda mungkin tidak dapat diselamatkan. Janin perlu dikeluarkan menggunakan ubat atau pembedahan.
#1. Suntikan ubat- Suntikan ubat iaitu methotrexate digunakan untk menghentikan kandungan dari semakin berkembang
#2. Pengurusan jangkaan- Anda dipantau teliti dan satu rawatan akan digunakan jika telur yang disenyawakan tidak hilang dengan sendirinya
#3. Pembedahan- Pembedahan lubang kunci (laparoskopi) dilakukan untuk mengeluarkan telur yang disenyawakan, biasanya melibatkan tiub fallopio yang dijangkiti
Langkah untuk mencegah kehamilan ektopik
Sememangnya tiada cara untuk mencegah kehamilan ektopik, tetapi berikut adalah beberapa tips bagi mengurangkan risiko:
- Menjalani gaya hidup yang lebih sihat
- Berhenti merokok
- Menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks bagi mencegah jangkitan kelamin dan mengurangkan risiko penyakit radang pelvis
- Mengekalkan berat badan yang ideal
- Sentiasa mendapatkan nasihat pakar untuk kehamilan yang seterusnya
#2. Masalah ketika mengandung- pra-eklampsia
credit to sources
Kelainan dalam kehamilan yang seterusnya ialah pra-eklampsia. Ia adalah komplikasi disebabkan oleh tekanan darah tinggi dan adanya tanda-tanda kerosakan sistem organ yang lain seperti hati serta ginjal².
Biasanya masalah ini terjadi setelah usia kehamilan memasuki 20 minggu pada wanita yang memiliki tekanan darah normal.
Sekiranya tidak dirawat, pra-eklampsia boleh meragut nyawa ibu dan janin dalam kandungan. Bukan itu sahaja, bayi anda mungkin terpaksa dilahirkan secara lebih awal bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih serius.
Tanda-tanda pra-eklampsia
Pra-eklampsia boleh terjadi tanpa gejala dan timbul secara tiba-tiba. Namun sekiranya tekanan darah melebihi 140/90 milimeter merkuri (mm Hg), ia mungkin petanda anda menghidapi masalah ini.
Tanda-tanda pra-eklampsia yang lain adalah:
- Protein berlebihan dalam air kencing
- Sakit kepala yang teruk
- Gangguan pada penglihatan seperti kabur atau silau terhadap cahaya
- Sakit perut bahagian atas
- Mual atau muntah
- Air kencing keluar dalam kuantiti sedikit
- Penurunan tahap platelet darah
- Rasa sesak nafas
Punca masalah pra-eklampsia
- Kehamilan pertama. Risiko pra-eklampsia menjadi lebih tinggi bagi ibu yang kali pertama mengandung.
- Sejarah pra-eklampsia- Memiliki sejarah peribadi atau keluarga meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.
- Pasangan baru- Setiap kehamilan dengan pasangan baru meningkatkan risiko pra-eklampsia berbanding dengan kehamilan kedua atau ketiga dengan pasanagn yang sama.
- Faktor usia. Risiko menjadi lebih tinggi bagi wanita hamil pada usia muda dan berumur lebih 35 tahun.
- Obesiti.
- Kehamilan kembar.
- Jarak kehamilan yang jauh.
- Persenyawaan in vitro.
Jenis rawatan untuk pra-eklampsia
Sekiranya ibu disahkan menghidapi masalah pra-eklampsia, doktor akan menetapkan berapa kerap anda perlu ke klinik untuk lawatan pranatal.
Berikut adalah beberapa jenis rawatan bagi ibu yang menghidap pra-eklampsia:
- Pengambilan ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah. Terdapat banyak jenis ubat antihipertensi, namun sesetengahnya tidak selamat digunakan semasa hamil. Justeru pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
- Kortikosteroid. Jika anda mempunyai sindrom pra-eklampsia atau HELLP yang teruk, ubat kortikosteroid dapat meningkatkan fungsi hati dan membantu paru-paru janin menjadi lebih matang.
- Ubat antikonvulsan. Jika pra-eklampsia anda teruk, doktor mungkin memilih ubat antikonvulsan seperti magnesium sulfat.
- Rehat secukupnya di atas katil (bedrest)
- Dimasukkan ke hospital. Doktor akan memantau keadaan ibu serta janin, mengukur jumlah cecair ketuban.
- Bersalin. Bagi ibu yang didiagnosis dengan pra-eklampsia menjelang akhir kehamilan, doktor mungkin mengesyorkan anda bersalin lebih awal.
Langkah untuk mencegah pra-eklampsia
Setakat ini tiada langkah pencegahan yang khusus untuk masalah pra-eklampsia. Namun ibu hamil disaran kurangkan pengambilan garam, mengubah gaya hidup seharian serta kurangkan pengambilan makanan berkalori tinggi.
Walau bagaimanapun dalam kes-kes tertentu, anda mungkin dapat mengurangkan risiko pra-eklampsia dengan:
- Aspirin dos rendah. Jika anda hamil kembar, tekanan darah tinggi kronik, penyakit buah pinggang atau kencing manis, doktor mungkin menyarankan pengambilan aspirin dengan dos rendah bermula selepas 12 minggu kehamilan.
- Supplemen kalsium. Manfaat supplemen kalsium ini dapat mencegah pra-eklampsia
- Berjumpa dengan doktor mengikut jadual temu janji yang telah ditetapkan. Penjagaan awal pranatal dan biasa dapat mengesan pra-eklampsia secara lebih awal. Ini membolehkan doktor membuat pilihan terbaik untuk anda dan janin dalam kandungan.
- Pastikan tekanan darah dan gula di bawah paras kawalan.
- Kurangkan berat badan sekiranya berlebihan.
- Berhenti merokok.
- Lakukan senaman secara rutin.
#3. Masalah ketika mengandung- tanda keguguran awal kehamilan
credit to sources
Kehilangan kandungan juga dikenali sebagai keguguran. Ia berlaku secara spontan pada usia kandungan sebelum 20 minggu. Kira-kira 10 hingga 20 peratus kehamilan yang diketahui berakhir dengan keguguran.
Namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana banyak kes keguguran berlaku begitu awal dan dalam keadaan wanita tidak menyedari diri mereka sedang hamil³.
Kebanyakan kehilangan kandungan berlaku kerana janin tidak dapat berkembang secara normal. Ia turut memberikan pengalaman mendukacitakan bagi mana-mana ibu sehingga memerlukan tempoh untuk penyembuhan emosi dan fizikal.
Tanda-tanda awal kehilangan kandungan
- Sakit belakang yang agak teruk (mungkin lebih buruk dari kram ketika haid)
- Kehilangan berat badan
- Keluarnya lendir putih dan merah jambu dari vagina
- Kontraksi menyakitkan berlaku setiap lima hingga 20 minit
- Tanda-tanda kehamilan yang dirasai mula berkurang
- Pendarahan vagina
Punca kehilangan kandungan awal atau keguguran
Abnormal pada genetik atau kromosom
Kebanyakan keguguran berlaku disebabkan oleh janin tidak berkembang secara normal. Kira-kira 50 peratus keguguran dikaitkan dengan kromosom tambahan atau hilang sehingga menyebabkan:
- Hamil kosong. Ovum yang disenyawakan tidak dapat membentuk menjadi embrio.
- Kematian janin. Embrio berhenti berkembang dan mati sebelum sebarang gejala keguguran berlaku.
- Kehamilan molar dan kehamilan molar separa yang dikaitkan dengan pertumbuhan tidak normal dari plasenta serta tiada perkembangan janin.
- Keadaan kesihatan ibu. Dalam beberapa kes, keadaan ibu boleh membawa kepada keguguran seperti diabetes tidak terkawal, jangkitan kuman, masalah hormon, penyakit tiroid dan masalah rahim atau serviks.
Selain itu ada beberapa faktor lain yang meningkatkan risiko keguguran ketika mengandung, antaranya ialah:
- Faktor usia. Wanita yang berumur 35 tahun ke atas mempunyai risiko keguguran lebih tinggi.
- Memiliki sejarah kehilangan kandungan atau keguguran.
- Masalah uterus atau serviks. Keabnormalan rahim tertentu atau tisu serviks yang lemah mungkin meningkatkan risiko keguguran.
- Berat badan yang terlalu kurang atau berlebihan dikaitkan dengan peningkatan risiko keguguran.
Jenis rawatan untuk kehilangan kandungan awal atau keguguran
#1. Bukan pembedahan
Dalam kes tertentu, badan anda akan melepaskan kesemua tisu kehamilan secara semula jadi. Ia boleh terjadi selama beberapa hari atau beberapa minggu. Proses ini biasanya menyebabkan pendarahan yang banyak, rasa sakit, cirit-birit dan loya. Doktor akan memberi ubat bagi meringankan gejala4.
Sekiranya anda berada di trimester pertama, saiz tisu adalah kecil dan ia kelihatan seperti bekuan darah. Setelah keguguran selesai, doktor akan melakukan ujian ultrasound bagi memastikan keguguran telah lengkap dan tiada tisu yang tertinggal di dalam rahim.
#2. Pembedahan
Rawatan secara pembedahan biasanya berlaku sekiranya terdapat komplikasi keguguran seperti jangkitan atau pendarahan teruk. Antara rawatan pembedahan ialah:
- Aspirasi vakum. Dalam prosedur ini, tiub nipis dimasukkan ke dalam rahim anda. Ia disambung ke peranti sedutan bagi menyerap tisu kehamilan.
- Diltation and currettage (D&C). Prosedur ini membuka serviks dan menggunakan alat bagi menghilangkan tisu kehamilan.
Selepas menjalani rawatan, doktor mengesyorkan anda supaya tidak memasukkan apa-apa ke dalam vagina selama beberapa minggu. Ini termasuklah penggunaan tampon atau mengadakan hubungan seks bersama pasangan.
Langkah untuk mencegah berlakunya kehilangan kehamilan
Selalunya tiada apa yang boleh ibu-ibu lakukan untuk mengelakkan terjadinya keguguran. Hanya memberi tumpuan terhadap penjagaan diri dan kandungan dengan:
- Jalani pemeriksaan pranatal mengikut jadual
- Elakkan faktor risiko keguguran seperti merokok, pengambilan alkohol atau makanan tajam
- Ambil multivitamin harian
- Hadkan minuman berkafein. Satu kajian terbaharu mendapati minum lebih daripada dua kali sehari boleh meningkatkan risiko keguguran
- Sekiranya anda mempunyai masalah penyakit yang kronik, dapatkan nasihat daripada pakar bagi mengekalkan kesihatan diri dan janin dalam kandungan
#4. Plasenta previa
Plasenta previa adalah keadaan di mana uri berada di bahagian bawah, berhampiran servis ketika kehamilan. Biasanya ia dikenal pasti ketika ibu berada trimester ketiga kehamilan, melalui ujian ultrasound pada minggu ke-28.
Ketika pemeriksaan antenatal dilakukan dan mendapati kedudukan uri berada di bawah dan berdekatan atau menutup pintu rahim (serviks), diagnosis ini belum muktamad kerana ia boleh berubah5.
Keadaan ini juga boleh menyebabkan kedudukan bayi songsang atau dipanggil sebagai breech presentation iaitu kepala bayi menghala ke atas, bukan menghala ke serviks seperti yang sepatutnya.
Tanda-tanda berlakunya masalah ketika mengandung: plasenta previa
Simptom utamanya ialah pendarahan ringan dari faraj secara tiba-tiba, tetapi sekiranya anda mengalami gejala seperti di bawah, hendaklah segera mendapatkan rawatan perubatan:
- Kekejangan atau sakit perut
- Pendarahan sekejap-sekejap dan kemudian terjadi semula beberapa hari atau minggu kemudian
- Pendarahan selepas melakukan persetubuhan
- Pendarahan pada trimester kedua kehamilan
- Kedudukan bayi yang tidak normal di dalam rahim
- Risiko menjadi lebih tinggi jika anda pernah melakukan pembedahan pada rahim
- Penempelan telur yang disenyawakan rendah
- Kelainan pada lapisan rahim seperti fibroid
Punca yang menyebabkan berlakunya plasenta previa
Plasenta adalah organ yang terbentuk dalam rahim ketika tempoh kehamilan. Ia berfungsi menyalurkan oksigen dan nutrisi dari ibu kepada janin, serta membuang sisa hasil produksi dari janin.
Normalnya pada awal kehamilan, plasenta memang berada di bahagian bawah rahim. Namun seiring pertambahan usia kehamilan serta perkembangan rahim, placenta akan bergerak ke atas.
Dalam kes plasenta previa ini, posisi plasenta tidak bergerak dari bawah rahim sehingga menjelang waktu bersalin.
Rawatan untuk plasenta previa
Rawatan dan pengubatan plasenta previa adalah bertujuan untuk mengurangkan pendarahan. Doktor akan menilai terlebih dahulu keadaan kesihatan ibu dan janin, usia kandungan, posisi ari-ari dan tahap pendarahan.
Bagi ibu yang hanya mengalami pendarahan ringan atau tidak mengalami pendarahan, doktor mungkin mempertimbangkan untuk anda melakukan rawatan sendiri di rumah seperti:
- Banyakkan berbaring
- Mengelakkan hubungan intim
- Elakkan olahraga atau mengangkat berat
Manakala jika ibu mengalami pendarahan yang berat, doktor kandungan akan menyarankan bayi dilahirkan secepatnya melalui pembedahan caesarean. Jika usia kandungan kurang dari 36 minggu, anda mungkin diberikan suntikan ubat kortikosteroid terlebih dahulu bagi mempercepatkan paru-paru janin matang.
Langkah untuk mencegah plasenta previa
Kehamilan adalah perjalanan yang menggembirakan. Justeru pastikan keliling anda dipenuhi dengan perkara yang menenangkan seperti muzik atau buku kegemaran. Elakkan dari rasa tertekan kerana terlalu bimbangkan keadaan bayi dalam kandungan anda.
Usahakan untuk melakukan senaman ringan atau banyakkan bersujud agar posisi bayi dan plasenta berada di posisi yang sepatutnya.
Setiap ibu pastinya perlu berjumpa doktor di klinik bagi temu janji antenatal mengikut tarikh dan jadual yang telah ditetapkan. Oleh itu pastikan anda sentiasa mengikuti temu janji ini agar pemantauan dapat dilakukan seperti mengetahui kedudukan janin dan pemeriksaan kesihatan ibu.
- Dapatkan rehat yang mencukupi
Elakkan memaksa diri dengan bekerja atau melakukan tugasan rumah. Sekiranya anda berasa tidak larat, rehat sebentar atau minta bantuan daripada pasangan. Selain itu ibu juga disaran untuk mengisi waktu terluang dengan membaca info mengenai penjagaan kehamilan, persiapan menjelang kelahiran atau pengalaman ibu-ibu terdahulu.
#5. Masalah ketika mengandung: Diabetes Gestational
Diabetes semasa hamil atau dikenali sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) adalah keadaan serius yang berlaku kepada ibu mengandung yang sebelum ini tidak menghidap diabetes, tetapi kini mempunyai paras glukosa darah lebih tinggi dari paras mereka yang hamil normal6.
Semasa mengandung, kesan insulin akan terganggu disebabkan oleh plasenta/ uri menghasilkan pelbagai hormon. Semakin besar plasenta, semakin banyak hormon dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin terjadi.
Lazimnya organ pankreas akan bertindak balas dengan menghasilkan insulin tambahan bagi menangani rintangan tersebut. Jika ia gagal, maka GDM akan berlaku. Risiko terhadap bayi pula akan membesar berlebihan di dalam rahim, kecacatan saraf ketika bersalin atau risiko bersalin secara pembedahan.
Tanda-tanda diabetes gestational
Lazimnya wanita yang menghidap diabetes ketika hamil tidak menunjukkan sebarang tanda begitu jelas. Namun anda mungkin mengalami gejala seperti:
#1. Peningkatan rasa dahaga
#2. Kencing lebih kerap daripada biasa
#3. Bibir kering
#4. Kerap berasa penat
Doktor akan menjalankan ujian darah Modified Oral Glucose Tolerance Test (MOGTT) ke atas anda bagi mengesan GDM sama ada semasa lawatan pertama jika anda berisiko tinggi atau pada minggu ke 24 hingga 28 kehamilan.
Sekiranya ujian pertama ibu berisiko tinggi didapati negatif, maka ujian kedua perlu dilakukan antara minggu ke 24 hingga 28.
Punca diabetes gestational ketika mengandung
Pelbagai hormon adalah untuk memastikan tahap gula dalam darah anda sentiasa terkawal. Namun ketika mengandung, tahap hormon akan mengalami perubahan sehingga menjadikan tubuh sukar memproses gula dalam darah dengan berkesan.
Antara penyebab risiko kencing manis sewaktu hamil ialah:
- Berat badan yang berlebihan atau kegemukan
- Kurangnya melakukan aktiviti fizikal
- Sejarah keluarga yang menghidap diabetes
- Sindrom Ovari Polisistik
- Sebelum ini pernah melahirkan bayi dengan berat 4.1 kilogram
- Menghidap GDM ketika kehamilan yang lalu
- Masalah semasa hamil seperti keguguran, hipertensi atau penghasilan cecair amnion berlebihan
Rawatan diabetes semasa hamil
Rawatan untuk GDM termasuklah memastikan paras glukosa darah anda berada di paras normal ketika mengandung. Antaranya ialah dengan:
#1. Anda mungkin perlu menyediakan alat glukometer di rumah agar dapat memantau tahap gula dalam darah dengan berkesan
#2. Suntikan insulin bagi ibu yang memiliki paras gula dalam darah terlalu tinggi
#3. Berbincang dengan pegawai pemakanan atau dietitik mengenai pemilihan makanan berkhasiat untuk ibu dan janin dalam kandungan
Langkah bagi mengatasi diabetes ketika hamil
Tidak ada jaminan untuk mencegah diabetes sewaktu hamil, namun jika anda mengamalkan tabiat hidup sihat sihat, ia adalah langkah terbaik bagi mengatasi masalah ini7.
Selain itu ada beberapa cara lain yang boleh anda cuba:
- Aktif melakukan aktiviti fizikal. Dalam memastikan paras glukosa darah yang normal, ibu-ibu hendaklah melakukan senaman ringan selama 30 minit seminggu dan kekal aktif di dalam rumah
- Menjaga pemakanan seharian. Ibu yang menghidap kencing manis ketika mengandung perlu mengelakkan makanan, minuman atau buah-buahan yang tinggi dengan gula
- Mulakan kehamilan dengan berat badan yang sihat. Jika anda merancang untuk hamil, penurunan berat badan membantu anda menjalani proses kehamilan lebih sihat.
- Elakkan menambah berat badan daripada yang disarankan oleh doktor. Penambahan berat badan terlalu cepat ketika hamil boleh meningkatkan risiko diabetes gestational.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber:
- NHS.Uk. (2018, November 27). Overview Ectopic Pregnancy. NHS.Uk. www.nhs.uk/conditions/ectopic-pregnancy/
-
Mayo Clinic. (2020, March 19). Preeclampsia. Mayo Clinic. www.mayoclinic.org/diseases-conditions/preeclampsia/symptoms-causes/syc-20355745
-
Mayo Clinic. (2019, July 16). Miscarriage. Mayo Clinic. www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pregnancy-loss-miscarriage/symptoms-causes/syc-20354298
-
Family Doctor. (2019, November 19). What Is Early Pregnancy Loss? Family Doctor. familydoctor.org/condition/early-pregnancy-loss/
-
Doctor On Call. (2020, Ogos 10). Placenta Previa Atau Hamil Uri Di Bawah, Apakah Penyebab Dan Risikonya? Doctor On Call. www.doctoroncall.com.my/soalan/plasenta-previa
-
My Health. (2019, Ogos 23). Diabetes Semasa Hamil. My Health. www.myhealth.gov.my/diabetes-semasa-hamil/
- Mayo Clinic. (2020, August 26). Gestational Diabetes. Mayo Clinic. www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gestational-diabetes/symptoms-causes/syc-20355339
Baca Juga: Ciri-Ciri Keguguran & Kehamilan Berisiko Tinggi
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!