Tekanan darah normal amat penting untuk seseorang apatah lagi jika dia hamil. Semasa hamil, tekanan darah normal wanita hamil antara perkara yang sangat penting untuk dipantau.
Ini kerana jika tekanan darah normal wanita hamil berubah kepada sebaliknya, ia boleh mendatangkan bahaya kepada ibu dan bayi secara keseluruhan.
Tekanan darah normal wanita hamil yang tiba-tiba berubah kepada tinggi boleh menyebabkan komplikasi seperti kekejangan, kelahiran pramatang, serta lebih teruk kematian bukan saja kepada bayi malah ibu hamil sendiri.
Tekanan darah normal wanita hamil perlu dijaga
Disebabkan itu penting untuk seseorang ibu hamil itu tahu bagaimana cara untuk mengekalkan tekanan darah normal bagi mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi yang tidak diingini.
Dengan itu, kesihatan ibu dan bayi dapat dijaga seterusnya mengelakkan komplikasi serius yang boleh menganggu kehamilan sihat.
Jangan sesekali memandang remeh kepentingan perkara ini kerana ia amat serius dan bahaya jika tekanan darah ibu hamil tiba-tiba melonjak naik. Jadi tidak salah untuk anda bersedia dan tahu mengenainya lebih awal untuk elak keadaan menjadi lebih serius.
Cara pastikan tekanan darah normal ibu hamil
Kami kongsikan di sini, antara cara untuk menjaga dan memastikan tekanan darah normal wanita hamil dapat dikekalkan sepanjang berlangsungnya kehamilan.
#1. Kurangkan pengambilan garam
Salah satu cara untuk memastikan tekanan darah normal wanita hamil adalah dengan mengurangkan pengambilan garam dalam diet seharian ibu hamil.
Tubuh badan manusia memang memerlukan natrium, bagaimanapun ia adalah dalam jumlah kecil terutama jika anda hamil. Jika anda mengambil garam dalam kadar yang terlalu banyak atau lebih daripada kadar yang diperlukan badan ia boleh menyebabkan hipertensi atau tekanan darah tinggi.
Justeru, lebih baik elak mengambil garam tinggi dalam diet seharian dan hindarlah makanan segera yang diketahui tinggi kadar kandungan garamnya.
#2. Banyak makan bijirin, makanan tinggi kalsium
Cara lain untuk memastikan tekanan darah normal ibu hamil adalah dengan mengambil banyak bijiran dan makanan yang tinggi kandungan potasium.
Beberapa makanan yang kaya pottasium termasuklah pisang, keledek manis, kismis, kacang merah dan tomato. Ibu hamil juga disarankan untuk mengambil pil kalsium.
Makanan itu dikatakan boleh menurunkan tekanan darah yang terlalu tinggi.
#3. Bersenam
Wanita yang kurang bersenam atau tidak melakukan aktiviti fizikal mempunyai potensi lebih besar untuk diserang tekanan darah tinggi.
Disebabkan itu, salah satu cara untuk menjaga tekanan darah normal ibu hamil adalah dengan melakukan rutin olah raga. Kebiasaannya ia dapat menghilangkan tekanan, meningkatkan peredaran dalam badan agar menjadikan tekanan darah anda tetap normal.
#4. Berhenti merokok, elak alkohol
Umum mengetahui bahawa merokok dan pengambilan alkohol memang amat berbahaya untuk ibu hamil dan bayinya. Maka disebabkan itu ibu hamil yang merokok dan mengambil alkohol perlu menghentikan tabiat ini jika disahkan hamil.
Ada risiko kelahiran pramatang malah preeklampsia jika ibu hamil diserang tekanan darah tinggi. Oleh itu, jika anda sayang diri dan kandungan anda lebih elok elak tabiat merokok dan pengambilan minuman keras.
Golongan wanita hamil yang berisiko
Antara golongan wanita hamil yang berisiko sukar untuk mengekalkan darah tekanan darah normal adalah mereka yang:
- Usia belasan tahun/40 tahun ke atas.
- Mengandung kali pertama.
- Pernah mengalami pra-eklampsia/eklampsia dalam kandungan sebelumnya.
- Mempunyai saudara, adik-beradik atau ibu yang pernah mengalami pra-eklampsia.
- Mengalami obesity dengan BMI>30.
- Wanita yang sudah pun mengalami hipertensi dan kencing manis sebelum hamil.
- Wanita yang mengalami kandungan kembar atau molar (uri besar)
Tanda-tanda tekanan darah ibu hamil tidak normal:
- Sakit kepala
- Pening
- Kabur mata
- Pandangan bercahaya/silau
- Sakit tengkok
- Loya atau muntah
- Sakit ulu hati
- Rasa kurang sihat
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Norintan Zainal Shah
Baca juga: Jenis darah anda boleh jadi penyumbang kepada 5 masalah kesihatan ini!