Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia tidak hanya mendatangkan risiko bahaya, tetapi penyebarannya begitu cepat sehingga sesiapa sahaja dilanda tekanan hidup kerana perlu berdepan pelbagai situasi genting ini.
Memandangkan kerajaan telah mengeluarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini, anda dan seluruh ahli keluarga perlu kekal berada di dalam rumah dan hanya dua orang sahaja dibenarkan keluar untuk jarak 10km.
Tekanan hidup menjadi punca bunuh diri
Menurut laporan yang dikeluarkan, seorang doktor bahagian kecemasan yang bertarung merawat para pesakit Covid-19 telah ditemui mati akibat bunuh diri.
Doktor wanita berkenaan dikenali sebagai Dr. Lorna M. Breen telah berkhidmat di Hospital New York-Presbyterian Allen, Manhattan ditemui sudah tidak bernyawa pada Ahad lalu di rumah keluarganya Virginia, Amerika Syarikat.
Ayahnya mengatakan bahawa sebelum kejadian, mangsa sempat bercerita tentang keadaan pesakit yang telah dijangkiti virus misteri tersebut.
”Lorna meluahkan perasaannya tentang keadaan para pesakit yang nazak dan kritikal semasa proses rawatan di hospital,” luahnya.
Doktor berkenaan dipercayai mungkin telah diselubungi tekanan hidup dengan rasa bersalah akibat tidak dapat merawat pesakit Covid-19 sewaktu beliau berehat di rumah.
”Sebelum ini dia seorang yang cukup bertenaga. Namun tidak tahu apa perkara yang telah terjadi kepadanya. Seolah-olah ada sesuatu sedang meletup dalam diri sehingga dia nekad mengambil keputusan berkenaan,” luahnya.
Bukan itu sahaja, Lorna yang juga seorang pengarah perubatan bahagian kecemasan di hospital berkenaan dan dijangkiti wabak Coronavirus.
Dia kemudiannya kembali bekerja semula selepas lebih kurang seminggu berehat di rumah dan telah disahkan negatif virus tersebut.
Pihak pengurusan hospital telah menggesa agar dia terus berehat di rumah sehingga kesihatan dirinya benar-benar sembuh.
Bukan pesakit mental
Mangsa yang berusia 49 tahun tersebut dilaporkan tidak pernah mempunyai masalah mental sebelum ini. Namun, ayahnya mengatakan anak perempuannya kelihatan tidak bersemangat ketika kali terakhir bercakap dengannya.
”Pihak polis menerima panggilan kecemasan perubatan pada Ahad. Dalam masa yang sama mangsa dikejarkan ke UVA Health System University Hospital, namun telah meninggal dunia dalam perjalanan akibat kecederaan parah,” ujar pihak polis, Hyler.
Walau apa pun terjadi, dia adalah seorang wira negara kerana telah berusaha melakukan tugas dengan baik sehingga tekanan hidup yang dialami akhirnya membunuh diri sendiri.
Sementara ini, tragedi yang sama turut menimpa seorang lagi petugas barisan hadapan di negara tersebut. Seorang juruteknik perubatan kecemasan (EMT) di Bronx dilaporkan telah membunuh dirinya.
Pihak media telah melaporkan bahawa mangsa bertindak sedemikian kerana tekanan yang dihadapi ketika bertugas di bahagian panggilan kecemasan Covid-19 selama tiga bulan berturut-turut.
Negara Amerika Syarikat kini menduduki negara jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia dengan rekod melebihi 1 juta kes dan lebih 50 000 kematian dilaporkan.
Sebab seseorang nekad membunuh diri
Kejadian bunuh diri yang dicatatkan seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya. Tanpa mengira usia dan pangkat, seseorang yang terfikir membunuh diri mempunyai beberapa tekanan hidup atau masalah mental.
Masalah mental dirujuk sebagai gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang ditimpa rasa sedih berpanjangan, keletihan, tiada tenaga atau mudah naik angin dalam menjalani aktiviti harian.
Selain tekanan, pesakit turut diserang kemurungan dan trauma kerana berhadapan situasi luar biasa. Mangsa juga mungkin dilanda rasa bersalah dan kecewa sehingga mendorong untuk membunuh diri.
Setiap insan pastinya berhadapan ujian hidup berbeza-beza sehingga menjejaskan kesihatan fizikal dan mental yang seimbang. Gangguan pemikiran atau tingkah laku akan menyebabkan diri tidak berupaya untuk menjalankan aktiviti harian dengan tenang.
Menurut Kementerian Kesihatan, kemurungan adalah penyebab tercetusnya idea untuk membunuh diri. Ia bermula dengan gangguan perasaan, kemudiannya berasa cemas yang membuatkan pesakit mudah terfikir untuk bunuh diri.
Justeru, sekiranya anda berasa fikiran mula terbeban dan emosi tidak stabil, dapatkan bantuan sokongan agar kesihatan mental terjaga, sihat dan paling penting sentiasa memperoleh bantuan dari ahli keluarga atau sahabat.
Sumber: Dailymail, Wanista
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comwira-negara
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!