Anak dan mainan adalah perkara sinonim yang tidak boleh dipisahkan. Malah ia bukan sahaja menjadi sumber hiburan mereka tetapi juga telah menjadi teman sejati dalam kehidupan seorang kanak-kanak. Ibu pula mulalah stress bila tempat simpan mainan anak berselerak dan tidak teratur.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Tempat simpan mainan anak yang praktikal dan memudahkan kerja ibu
- Gunakan teknik toy rotation untuk menyimpan mainan
- Trik mudah ajar anak selalu kemas mainan
Alat permainan sebenarnya sangat penting dalam merangsang tumbesaran anak kita. Apabila mereka bermain, mereka akan mengambil ruang yang banyak.
Tidak perlu melarang anak untuk buat sepah ketika bermain kerana menurut pakar, persekitaran yang bersepah akan menyebabkan anak menjadi lebih kreatif dan bijak. Sebaliknya ambillah inisiatif ini dari sisi kita sebagai ibu bapa, bagaimana untuk mengekalkan rumah yang sentiasa kemas dan cantik walaupun ada anak kecil.
Tempat simpan mainan anak yang praktikal dan memudahkan kerja ibu
Siapa kata hanya di office sahaja perlukan sistem untuk memastikan kerja berjalan dengan lancar? Sebenarnya tempat simpan mainan anak juga memerlukan sistemnya yang tersendiri supaya rumah tidak nampak berserabut dan kekal kemas. Contoh-contoh tempat penyimpanan yang boleh dipraktikkan adalah seperti:
1. Rak penstoran
Memilih untuk menyimpan mainan dalam kotak-kotak lutsinar yang mempunyai label nama adalah salah satu cara yang berkesan. Rak bertingkat seperti pigeon hole ini memboleh anak mengambil mainan mengikut nama-nama yang disediakan.
2. Poket dinding
Untuk mainan yang sejenis tetapi mempunyai banyak reka bentuk dan warna sepeti kereta mainan atau anak patung, anda boleh menggunakan cara poket dinding ini. Ini adalah rak yang panjang dan sempit di mana seluruh permainan kecil yang sejenis boleh disimpan bersama.
3. Laci di bawah katil
Sesetengah katil kanak-kanak menyediakan laci di bawahnya. Laci tersorak atau rahsia seperti ini berupaya untuk menyimpan mainan-mainan yang ringan dan lembut seperti anak patung.
4. Teknik velcro
Pemasangan jalur velcro ke dinding akan memudahkan mainan digantung dan dilepas. Selain menjimatkan ruang, ia juga tampak kemas dan kreatif.
5. Bakul simpanan boleh lipat
Bakul lipat tentunya sangat ideal untuk menyimpan mainan dari kategori “murah dan ceria”. Anda tidak perlu kos yang mahal kerana bakul lipat ini sangat murah dijual di pasaran. Cuma ianya hanya sesuai digunakan untuk barang-barang yang ringan dan tidak tajam.
6. Beg tikar
Lepas main tidak perlu kemas. Hanya tarik sahaja semula ke dalam beg, ruang kembali kemas semula. Beg tikar menyediakan inisiatif yang paling mudah untuk para ibu di luar sana.
Gunakan teknik toy rotation untuk tempat menyimpan mainan anak
Bila mainan anak terlalu banyak, kadang kala para ibu sampai pening kepala bagaimana untuk menyimpannya. Apatah lagi jika rumah kita mempunyai ruang yang terhad dan kecil. Toy rotation adalah salah satu teknik simpan mainan secara sistematik dan mudah. Ada enam langkah yang perlu kita buat untuk menggunakan teknik ini. Antaranya seperti:
1. Kumpul
Mulakan dengan cari semua mainan anak yang ada di rumah sama ada yang baru atau lama, rosak atau elok, kemudian kumpulkan dalam satu kawasan yang luas. Memang akan bersepah kalau kita lihat tetapi jangan risau ini baru peringkat awal. Cara ini juga akan memberi anda kesedaran betapa banyaknya mainan yang telah anda beli selama ini kepada anak.
2. Kurangkan
Kadang kala rumah bersepah bukan kerana anak tidak mengemas mainan mereka setelah bermain tetapi kerana sudah terlalu banyak mainan yang ada. Ruang yang sempit, penuh, dan padat akan mencacatkan pemandangan. Oleh itu, kurangkan kuantiti mainan yang ada.
Ketepikan mainan yang anda rasa sudah rosak, pecah, atau ada bahagiannya yang hilang dan tidak mampu untuk berfungsi lagi. Kemudian, pilih pula mainan lama yang tidak sesuai untuk anak main lagi. Untuk kerja anda lebih mudah, anda perlu “pejam mata saja”. Takut-takut kerana rasa sayang, niat untuk membuangnya tidak kesampaian.
3. Asingkan
Tiba masa untuk mengasingkan mainan yang masih mahu digunakan lagi. Asingkan mengikut tiga kategori seperti:
- Permainan mengasah minda – contohnya Lego, board games, atau puzzle
- Permainan pretend play – contohnya play dough, tea party, patung haiwan atau sebagainya
- Permainan motor play – contohnya permainan sukan atau kereta mainan
4. Bahagikan
Langkah seterusnya, bahagikan tiga hingga empat kumpulan untuk setiap kategori mainan. Simpan dalam bekas yang memudahkan untuk anda lihat apa isi di dalamnya dari luar.
5. Simpan
Letakkan nama untuk setiap bekas mainan yang anda telah isi dengan mainan. Ini untuk memudahkan anda mengambil mainan anak yang tertentu sahaja untuk bermain. Kemudian, simpan bekas-bekas ini dalam ruang simpanan atau stor.
6. Susun semula dan gilirkan
Tentukan berapa lama masa yang sesuai bagi setiap satu bekas untuk anak bermain. Anak selalunya akan mudah berasa bosan jika bermain dengan mainan yang sama sahaja setiap hari.
Kerana itu anda boleh menukar giliran kotak-kotak ini setiap hari, setiap minggu, setiap dua minggu atau lebih lama.
Setiap kali satu kotak dikeluarkan, perhatikan permainan apa yang paling popular dan permainan apa yang paling jarang dimainkan. Untuk mainan yang sudah tidak boleh dimainkan lagi, ia boleh didermakan atau dijual sahaja.
Trik mudah ajar anak selalu kemas mainan
Bagaimana anak minat untuk bermain, didiklah juga mereka dari awal untuk minat mengemas. Rasa tanggungjawab akan terbentuk sedikit demi sedikit dari praktikal yang diajarkannya ini. Antara trik mudah untuk mengajar anak kemas mainan adalah seperti:
- Gunakan arahan-arahan mudah tetapi jelas
- Ibu bapa perlu menjadi role model dahulu kerana nanti mereka akan melihat perlakuan kita dan mencontohinya
- Sediakan tempat yang senang untuk anak capai seperti rak yang rendah atau bakul besar
- Bentuk disiplin diri dalam keluarga
- Jadikan aktiviti mengemas sebagai sesuatu yang menarik dan bukan bebanan
- Wujudkan hanya satu playcorner untuk anak-anak
- Berikan mereka penghargaan atau reward setelah mengemas
- Jangan memaksa tetapi biarkan mereka kemas mengikut kemampuan sendiri. Makin bertambahnya umur, maka makin bertambah rasa tanggungjawab mereka untuk mengemas dengan lebih baik.
Lepas ini para ibu tidak perlu stress lagi jika anak mula mengeluarkan barang-barang mainan dan bermain. Untuk mendidik anak dengan nilai murni yang terbaik ia semuanya bermula dari rumah. Oleh itu, ciptalah kegembiraan dalam bermain dengan menyemai sifat-sifat dan akhlak yang terpuji dalam diri mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Rak Mainan Terbaik Untuk Elak Rumah Bersepah Dengan Mainan Anak, Baru Hati Ibu Tenang!
Baca juga: Senarai Tempat Permainan Kanak-Kanak Indoor Yang Best & Seronok Sekitar Lembah Klang
Baca juga: 5 Sebab Permainan LEGO Bagus Untuk Perkembangan Anak, Ia Merangsang Otak & Mata