Perkataan dan tindakan: Setiap ibu bapa tahu bahawa ia adalah sesuatu yang berkuasa bagi mendidik anak-anak. Dan pendidikan kewangan (Money Parenting) – mendedahkan anak-anak kita dengan pembelajaran berharga tentang kewangan– adalah tidak terkecuali.
Sering kali, kita bergantung pada perkara yang diajarkan oleh ibu bapa ketika masih kecil. Atau kita bercakap tanpa berfikir, mengatakan apa sahaja terlintas di fikiran. Tetapi kita mengabaikan bagaimana kata-kata yang dituturkan memainkan peranan dalam membentuk nilai diri anak-anak.
Justeru ketahui beberapa perkara yang sering kali ibu bapa katakan mengenai wang, apa sebenarnya yang didengari oleh anak-anak ketika anda bercakap dengan mereka dan apa yang sepatunya anda katakan.
6 Perkara Ibu Bapa Mengatakan Tentang Kewangan
1. “Duit Tidak Tumbuh Di Atas Pokok”
Pepatah ini adalah klasik yang mungkin kita dengar daripada ibu bapa sendiri ketika mereka berpesan supaya tidak boros. Namun kita juga tahu betapa tidak berkesannya kata-kata ini.
Apa Yang Didengar Oleh Anak-anak:
Kata-kata ini tidak begitu mempengaruhi kanak-kanak kerana ia agak jelas. Apa yang pasti, pepatah ini kedengaran agak lucu, bahkan tidak dapat dilupakan. Ketika mendidik tentang kewangan, tidak banyak yang dapat dipelajari dari pepatah ini.
Apa Yang Harus Anda Katakan:
Sekiranya anda ingin mendidik mereka tentang pembaziran, ada pepatah klasik ‘’Buang tidak, mahukan jangan’’. (Tentu sahaja ia kedengaran kuno, anda mungkin perlu ungkapkan semula!)
Cuba katakan, “Saya bekerja keras untuk membeli mainan ini/ menyediakan makanan ini/ ia dibuat untuk kamu. Tolong hormatinya.” Atau “Saya bekerja keras untuk mendapatkan duit untuk membelinya. Tolong jangan membazir.’’
2. “Kita Tidak Mampu”
Anak anda mahukan mainan mahal dan jelas ia tidak berbaloi atau melebihi bajet anda. Mereka merengek di kedai mainan, jadi untuk menghentikannya, anda harus mengatakan, ‘’Kita tidak mampu.’’ Maka rengekan itu berakhir (harapnya).
Apa Yang Didengar Oleh Anak-anak:
Walaupun ‘’Kita tidak mampu’’ mungkin kelihatan seperti cara kasar untuk mendidik anak berkaitan duit, ibu bapa perlu ingat bahawa emosi anak-anak adalah sangat sensitif. ‘’Kita tidak mampu’’ mungkin mudah dikelirukan dengan ‘’Kami tidak mempunyai wang’’[1]. Dan ini boleh menyebabkan anak-anak berasa bimbang dan tertekan dengan keadaan kewangan keluarga.
Apa Yang Harus Anda Katakan:
Ibu bapa perlu mengajar anak tentang nilai sesuatu perkara dengan memberitahu mereka ‘’Barangan tersebut tidak berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Lebih baik kita belanjakan untuk sesuatu lebih baik.’’
3. “Saya Tidak Tahu Bagaimana Untuk Kita Melalui Bulan Ini”
Pakar mencadangkan ibu ayah untuk melibatkan anak-anak berbincang dan membuat keputusan kewangan[2]. Hal ini sekaligus dapat mendidik mereka berdepan kesukaran hidup dan anda juga memberi peluang untuk anak-anak mengetahui situasi sebenar kewangan keluarga.
Apa Yang Didengar Oleh Anak-anak:
Ini mungkin boleh menjadi lebih berbahaya daripada istilah ‘’Kami tidak mampu.’’ Dengan berkongsi masalah kewangan anda, mereka mungkin hidup dalam ketakutan akan kehilangan rumah atau tidak cukup makan. Kanak-kanak sepatutnya membesar dalam keadaan selamat[3].
Apa Yang Harus Anda Katakan:
Sememangnya melibatkan anak-anak dalam perbincangan tentang kewangan adalah langkah yang baik dan sihat. Tetapi bercakap tentang ketakutan dan kesukaran mendapatkan wang, mungkin tidak sesuai. Anak-anak menyedari anda berjuang serta bekerja keras mendapatkan sesuatu, namun tetaplah positif. Ini adalah waktu yang tepat untuk mengajarkan mereka menunda keinginan dengan mengatakan ‘’Mari kita semua memainkan peranan dan beri cadangan untuk menyimpan duit.’’
4. “Saya Akan Dapatkan Apa Sahaja Yang Anda Mahukan”
Ramai ibu bapa berusaha memenuhi semua kemahuan anak-anak mereka. Anda mungkin mendengar ayat ini ‘’Saya akan beli apa sahaja yang kamu mahukan.’’
Apa Yang Didengar Oleh Anak-anak:
Ia adalah kaedah buruk untuk mengajar anak-anak tentang kemahuan. Apabila mereka mendengar ayat ini, anda sebenarnya mengatakan bahawa duit adalah tidak penting; mereka akan selalu dapat apa yang diminta.
Apa Yang Harus Anda Katakan:
Mendidik anak dengan hadiah atau ganjaran dapat membantu dalam pengurusan kewangan. Namun, ganjaran ini hendaklah diusahakan. Rangkakan sistem ganjaran: hadiah kerana berjaya memperoleh gred yang baik di sekolah atau melakukan tugasan rumah untuk jangka masa tertentu. Beritahu kepada anak-anak anda ‘’Sekiranya kamu melakukan ini/ bekerja keras untuk ini, anda berhak mendapatkannya (item yang dipersetujui).’’
5. “Ini Hanya Membazirkan Duit”
Berapa banyak patung Spider-man yang anda perlukan? Kata-kata seperti ini sering keluar dari mulut anda: ‘’Ini hanya membazirkan duit.’’
Apa Yang Didengar Oleh Anak-anak:
Sama seperti anda berasa seronok ketika membeli sepasang kasut baharu, anak-anak juga merasakan hal yang sama ketika mereka dapat sesuatu diingini[4]. Hal ini kerana identiti anda dinilai melalui pembelian; ia adalah sifat semula jadi manusia.
Jika anda mengatakan apa yang mereka mahukan adalah pembaziran wang, ia secara tidak langsung mengingatkan anak-anak bahawa perkara yang dimahukan tersebut tidak bernilai dan mereka juga tidak bernilai.
Apa Yang Harus Anda Katakan:
Ambil kesempatan ini untuk mengajar anak-anak mengenai keperluan dan kemahuan. Tanyakan kepada mereka, ‘’Kami tahu kamu menginginkannya, tetapi adakah ia benar-benar diperlukan ketika ini?’’
6. Langsung Tidak Bercakap Mengenai Duit
Sesetengah ibu ayah memilih untuk tidak bercakap sama sekali dengan anak mereka mengenai kewangan.
Apa Yang Didengar Oleh Anak-anak:
Jika anda tidak mengatakan apa-apa, anak anda mungkin akan dibiarkan mentafsirkan sendiri tentang perihal kewangan. Mereka mungkin akan pelajari konsep dan nilai yang tidak betul yang akan mempengaruhi cara mereka melihat dan mengurus wang ketika melangkah usia dewasa.
Apa Yang Harus Anda Katakan:
Tidak bercakap langsung mengenai wang ibarat anda melepaskan peluang untuk mengajar anak tentang pelajaran hidup yang sangat penting. Paling teruk ia boleh menyebabkan salah sangka dalam menilai wang. Justeru, luangkan sedikit masa untuk mengajar mereka mengenainya menggunakan kata-kata yang betul dan menunjukkan teladan yang baik daripada diri anda sendiri. Cara ini dapat memberikan nilai positif serta mendedahkan mereka pelajaran praktikal yang dapat digunakan seumur hidup.
[1]www.1life.co.za/blog/kids-money-talk
[2] www.360financialliteracy.org/Topics/Spending-Saving/The-Basics/Talking-to-Your-Kids-about-Money
[3] www.forbes.com/sites/alicegwalton/2012/07/25/how-parents-stress-can-hurt-a-child-from-the-inside-out/#41c4a3496b38
[4] www.businesspsych.org/articles/280.html
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!