Ketika tibanya waktu makan, anak-anak pastinya akan cukup teruja menikmati hidangan yang disediakan oleh ibu tercinta. Namun, risiko kemalangan tetap akan berlaku sekiranya terlepas pandang seperti tercekik tulang ikan.
Tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak, pengalaman tercekik tulang pada bahagian kerongkong pasti menyebabkan rasa kurang selesa dan jika tidak tahu cara mengeluarkannya, ia boleh mengundang masalah lain.
Berdepan anak tercekik tulang ketika makan
Menurut perkongsian oleh Dr. Shaiful Nizam, terdapat beberapa petua sekiranya anak mengalami tercekik tulang pada bahagian kerongkong.
Perkara paling utama adalah ibu ayah tidak boleh panik. Kes terlekat tulang ikan adalah perkara normal dan sering berlaku. Sekiranya anda melihat keadaan anak agak serius, segera mendapatkan rawatan terperinci di hospital berdekatan.
Antara gejala yang biasanya dirasai ialah sukar hendak menelan meskipun air liur sendiri, bengkak leher atau anak mengalami demam tinggi. Sekiranya pelbagai cara sudah dilakukan, tetapi masih tidak baik, ibu ayah jangan sesekali menggunakan jari untuk membuang tulang.
Ia berisiko menyebabkan kecederaan dan tulang tertanam ke dalam bahagian tisu tekak. Andai ia dibiarkan sakit berpanjangan, komplikasi teruk ialah jangkitan kuman.
Seterusnya akan menyebabkan nanah di kawasan farinks serta pembengkakan saluran pernafasan.
Petua tradisional merawat anak tercekik tulang di rumah
#1. Sekepal nasi
Ini petua tercekik tulang ikan yang biasa anda dengar dari zaman nenek moyang.
Benda pepejal seperti nasi boleh membantu mencabut tulang sekiranya minum air tidak memberikan kesan. Caranya adalah dengan kepalkan nasi sehingga ia membentuk bulat kecil seperti bola.
Kemudian, minta anak telan perlahan-lahan agar tulang yang tersekat dibawa bersama ke dalam perut.
#2. Madu
Caranya adalah dengan mencelup jari ke dalam madu, selawat sebanyak 3 kali dan hisap jari tersebut.
#3. Garam
Masukkan sedikit garam ke dalam secawan air suam dan minum sekerap mungkin sehinggalah tulang tidak lagi melekat pada bahagian tekak.
#4. Minyak zaitun
Minum satu sudu minyak zaitun untuk melancarkan tisu-tisu di sekeliling kerongkong. Dengan ini tulang yang tersekat akan mudah untuk keluar.
#5. Buah pisang
Caranya adalah dengan masukkan sedikit buah pisang ke dalam mulut. Kemudian kulum dan biarkan sehingga cairan terhasil dalam mulut, kemudian telan dengan perlahan-lahan.
#6. Kekacang
Makan segenggam kacang, tidak kisah apa-apa jenis kacang sebab anak perlu ambil dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Teksturnya yang keras dan rangup dapat membantu menanggalkan tulang tersekat.
#7. Roti
Gumpalkan roti secara membulat kecil dan telan roti supaya tulang dapat ditanggalkan dengan mudah.
Boleh menyebabkan risiko maut
Sementara itu, seorang doktor pakar bedah dari negara China, Dr. Xu Swei berkongsi pengalamannya yang pernah menyelamatkan nyawa pesakit tercekik tulang ikan melalui pembedahan.
Siapa sangka ia nampak masalah kecil, namun berupaya mengundang kematian. Manakala, kaedah tradisional yang diambil sekiranya tidak berkesan akan menyebabkan kerongkong bertukar kemerahan hingga bengkak atau bernanah.
Jangan biarkan ia tersekat untuk beberapa hari kerana boleh menyebabkan masalah pernafasan ataupun pendarahan dalam kerongkong. Dalam hal ini, ibu ayah perlu melakukan pemeriksaan terlebih dahulu untuk mengetahui kedalaman tulang tersebut.
Segera mendapatkan rawatan hospital sekiranya masih tidak berjaya mengeluarkan tulang meskipun telah mengamalkan beberapa tips tercekik tulang di atas.
Biasanya doktor akan melakukan pemeriksaan dengan menyuluh bahagian tekak dan jika ia kelihatan, doktor akan menarik tulang berkenaan menggunakan alat khas.
Namun, jika ia tidak dapat dilihat secara mata kasar, ia mungkin disebabkan oleh tersekat pada bahagian bawah tekak. Justeru, doktor akan menggunakan x-ray dan merujuk bahagian otorhinolaryngology.
Jika terdapat tulang, ia akan dicabut menggunakan alat khas. Namun jika selepas x-ray tiada tulang kelihatan, ini bermaksud tiada tulang di bahagian berkenaan dan kesakitan itu disebabkan kecederaan pada kawasan tekak.
Oleh itu, selalunya doktor akan memberikan ubat tahan sakit sahaja dan sakit tekak akan hilang dengan sendiri.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kanak-Kanak Mati Tercekik Buah Mangga, Ketahui Cara Beri Anak Makan Buah Dengan Betul
Baca juga: Jangan Sesekali Beri 7 Makanan Mudah Tercekik Ini Pada Anak Anda
Baca juga: Budak 6 Tahun Nyaris Maut Tercekik Kepingan Pelitup Muka Dalam Nugget!