Bagi anda yang tidak tahu, khasiat minyak bawang putih dapat merawat pelbagai jenis masalah penyakit. Ia sangat sesuai untuk semua lapisan umur termasuklah anak kecil dan golongan berusia.
Seisi keluarga boleh gunakan minyak ini sekiranya mengalami masalah sakit perut, kembung, batuk, selesema, demam atau gatal-gatal digigit oleh serangga. Proses penyediaannya pula amat mudah kerana hanya memerlukan 3 bahan sahaja.
Khasiat minyak bawang putih untuk kesihatan sekeluarga
Menurut perkongsian Yatie Eimra, cara buat minyak bawang putih ini amat mudah. Dia menggunakan resipi minyak bawang putih milik arwah neneknya kerana pada zaman dahulu dia adalah seorang bidan kampung dan menyediakan sendiri minyak urut.
Herba atau akar kayu semuanya digoreng dalam minyak dan dibiarkan mereneh lama agar khasiatnya larut serta tahan lebih lama.
Bahan-bahan yang diperlukan
- 1 cawan (250ml) minyak zaitun
- 1 labu bawang putih
- 1-2 helai daun salam (kering atau segar)
Cara buat minyak bawang putih
- Bawang putih dikupas kulit, dihiris nipis dan dibiarkan seketika (5 hingga 10 minit). *bawang yang telah dipotong/ dilenyekkan mengalami proses enzimatik dan menukar bahan alliin kepada allicin sangat bermanfaat terhadap tubuh.
- Goreng daun salam dan bawang putih dalam sedikit minyak zaitun sahaja (agak-agak tenggelam) dengan api sangat perlahan sehingga garing.
- Jangan goreng sampai hangit, nanti khasiat bawang putih akan hilang. Sebab itulah api kena kecil.
- Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam bekas kaca dan tambahkan minyak zaitun yang selebihnya. (Minyak zaitun akan hilang khasiat dalam suhu terlalu tinggi, sebab itulah guna sedikit sahaja untuk menggoreng.
- Kacau sebati dan biarkannya suam. Sebaik-baiknya biarkan minyak berendam semalaman atau 8-12 jam sebelum dimasukkan ke dalam botol kecil bagi memudahkan kegunaan harian.
Manfaat minyak bawang putih untuk bayi
#1. Penambah rasa dalam masakan
Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah anak kurang berat badan, boleh tambahkan satu sudu minyak ini ke dalam masakan selepas selesai memasak untuk menambah kalori. Daun salam bukan sahaja memberikan aroma enak, tetapi turut meningkatkan selera makan si manja.
Bukan itu sahaja jika anda kesuntukan masa untuk menumis bawang putih, gunakan sahaja minyak ini kerana dapat menjimatkan tempoh memasak kerana tidak perlu bersusah-payah menghiris bawang putih.
#2. Merawat demam, batuk dan selesema
Bawang putih sebenarnya dapat meningkatkan ketahanan badan dan melawan penyakit. Caranya adalah dengan menyapu minyak bahagian dada, belakang badan dan tapak kaki sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
Untuk melegakan batuk atau sakit tekak, anda boleh menyapunya di bahagian dagu atau sekitar leher untuk kesan yang lebih cepat.
Jika ingin mengurangkan selesema, anda perlu rebus air dan masukkan beberapa sudu minyak putih. Hidu wap selama 15 hingga 20 minit. Caranya adalah meniarapkan anak di atas riba terlebih dahulu dan pastikan hidung anak menghidu wap.
#3. Merawat kulit kepala berkerak (cradle cap)
Bagi merawat bayi yang mempunyai masalah cradle cap (kulit kepala berkerak seakan-akan kelemumur, bertompok coklat dan berminyak), sapu minyak bawang putih ini dan urut secara lembut di kepala bayi. Biarkan sekurang-kurangnya 1 minit- 30 minit untuk melembutkan kerak.
Kemudian, sikat kepala bayi dengan perlahan bagi menanggalkan kerak. Kemudian, syampu seperti biasa.
#4. Mengurangkan kegatalan akibat gigitan nyamuk, alahan atau eczema
Bawang putih dan daun salam mempunyai kesan anti inflamasi dan boleh mengurangkan kegatalan. Caranya adalah dengan menyapu di tempat gatal serta urut agar minyak meresap ke dalam kulit. Lakukan beberapa kali sehingga rasa gatal tersebut hilang.
#5. Melebatkan rambut anak
Ibu yang ingin anak memiliki rambut lebat, rajin-rajinlah lumurkan minyak ini pada rambut. Minyak zaitun sendiri telah terbukti mempunyai pelbagai khasiat, ditambah pula dengan kandungan gizi yang tinggi dalam bawang putih.
Ia mampu menguatkan dan melebatkan rambut. Manakala, gabungan daun salam sering digunakan dalam perubatan ayurvedic untuk menguatkan akar rambut dan mengurangkan rambut gugur.
Tidak hanya bayi, ibu juga boleh guna bagi mengurangkan rambut gugur selepas bersalin. Caranya adalah dengan lumur minyak bawang putih pada rambut dan biarkan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum cuci kepala.
Cara menghilangkan selsema pada bayi tanpa ubat
Ketidakselesaan seperti batuk berkahak, selesema boleh membuatkan si manja sukar untuk tidur lena dan kerap meragam.
Bayi adalah antara paling yang paling senang dan kerap mendapat selsema disebabkan oleh antibodi mereka yang lemah.
Apabila mereka jatuh sakit, ianya akan disertai dengan gejala batuk, sakit tekak, bersin dan demam yang panas sehingga boleh mencecah 38 darjah celsius.
#1. Wap dengan air bawang putih
Seterusnya, petua hilangkan selsema dengan bawang putih juga menjadi alternatif kebanyakan ibu.
Caranya mudah sahaja. Anda hanya perlu wap muka anak anda dengan rendaman bawang putih. Wapkan sehingga cairan kahak atau selsema keluar daripada hidung dan kemudian, sedutkan cairan tersebut.
Kalau anda nak tahu, bawang putih mempunyai kebolehan dalam menghapuskan bakteria selsema. Mesti cuba!
#2. Gunakan air kunyit hidup
Jangan tak tahu kunyit juga menjadi salah satu cara menghilangkan selsema. Ia adalah antibiotik yang semulajadi.
Buat air kunyit dengan menggosokkan kunyit hidup pada permukaan kasar atau tumbuk dan sapukan pada belakang dan bahagian dada si manja.
#3. Guna bawang merah
Kalau ada lebihan bawang merah, anda pun boleh gunakannya. Kupas bawang merah sehingga bersih dan tumbuk sehingga keluar air.
Kemudian, letakkannya berdekatan dengan tempat tidur bayi. Anda juga boleh beri bayi anda hidu bawang merah sebab ia boleh keringkan selsema.
#4. Susukan anak sekerap yang mungkin
Susu ibu sememangnya mempunyai khasiat yang tersendiri. Dalam kes ini, ianya membantu memulihkan selsema.
Jadi, berilah anak susu ibu sekerap yang mungkin. Anda juga boleh beri air yang banyak kepada anak anda yang sudah besar. Takut pula anak anda kekurangan air sewaktu selsema
Khasiat bawang putih bakar untuk orang dewasa
Terdapat beberapa khasiat bawang putih bakar berbanding memakannya mentah. Bawang putih mentah sukar ditelan, dan jika anda memanggangnya, rasanya menjadi sedikit lebih manis dan lebih lembut, jadi ini adalah manfaat perisa utama untuk membakarnya.
#1. Meningkatkan kesihatan jantung
Satu lagi khasiat bawang putih panggang adalah meningkatkan kesihatan jantung dan sistem kardiovaskular yang lebih kuat.
Adalah penting untuk tidak membakar bawang putih terlalu lama kerana ia boleh mengurangkan khasiatnya.
Bawang putih didapati membantu menurunkan tekanan darah, sebab itu ramai doktor mengesyorkannya kepada mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi.
Ia boleh membantu menurunkan kolesterol sebagai sebahagian daripada diet yang seimbang, dan juga boleh membantu mencegah arteri daripada tersumbat.
#2. Bagus untuk kesihatan penghadaman
Jika anda mempunyai masalah penghadaman, seperti sindrom usus yang merengsa atau penyakit refluks gastroesophageal, cuba makan bawang putih bakar untuk membantu dengan gejala seperti pedih ulu hati, loya dan senak.
Khasiat yang ada dalam bawang putih dapat membantu kesihatan pencernaan dengan menggalakkan pengeluaran cecair dalam penghadaman, membantu dalam penyingkiran bahan buangan dari badan dan mengurangkan keradangan perut.
#3. Meningkatkan imunisasi
Bawang putih bakar boleh membantu meningkatkan sistem imunisasi kerana sifatnya antibakteria dapat melawan sebarang jenis bakteria dan kuman penyebab penyakit.
Sekiranya anda diserang selsema, cuba makan bawang putih bakar untuk mengelakkan daripada semakin teruk.
#4. Faedah untuk kegunaan luaran
Bawang putih bakar juga digunakan untuk merawat beberapa penyakit di luar badan seperti jerawat, serta rawatan luka kecil untuk mencegah jangkitan.
Menariknya, seulas bawang putih bakar juga boleh disapu pada telinga yang sakit atau terkena jangkitan kuman.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Banyak Khasiat Bawang Putih, Boleh Elak Kanser, Serangan Jantung & Penyakit Kronik Lain
Baca juga: Manfaat Menambahkan Bawang Putih Pada Makanan Pejal Si Kecil
Baca juga: 15 Tahun Berlalu, Lihatlah Gaya Pelakon Sinetron Bawang Merah Bawang Putih Ini Sekarang!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!