Setiap pasangan yang sudah berkahwin, naluri mereka inginkan zuriat sebagai penguat cinta rumah tangga yang dibina. Namun baru-baru ini dikatakan wujud satu fenomena childfree atau berkahwin tetapi tidak mahu anak yang turut menjadi ikutan atas alasan tidak bersedia atau faktor kewangan.
Berdasarkan artikel di Kisah Dunia yang memetik satu perkongsian video TikTok, childfree menjadi fenomena di Indonesia selepas satu rancangan televisyen di negara tersebut membincangkan isu berkenaan. Menerusi perbahasan tersebut, mereka berkongsi pendapat antara satu sama lain.
Fenomena childfree: tidak mahu anak selepas berumah tangga
Dalam perkongsian video TikTok pada akaun thebizin yang memetik rancangan televisyen di Indonesia iaitu Kick Andy bertajuk Childfree mengundang pelbagai reaksi.
Seorang daripada jemputan itu ialah Victoria Tunggono yang juga penulis buku Childfree And Happy dan wanita ini mengatakan, alasannya untuk tidak memiliki keturunan adalah tidak bersedia. Alasan lain wanita tersebut ialah faktor kewangan juga menjadi salah satu kepada alasannya untuk tidak memiliki zuriat.
Selain penulis buku tersebut, video itu turut memaparkan pasangan muda dari Indonesia dikenali Gita Savitri dan Paulus Partohap yang tinggal di Jerman juga memutuskan untuk tidak memiliki keturunan. Terdapat banyak tekanan daripada keluarga namun, mereka tetap dengan keputusan untuk tiada anak kerana bukan mudah mempunyai anak.
Pasangan lain iaitu Muhammad Arif Maulana dan Cibi pula telah memutuskan untuk tidak mempunyai anak sejak awal malah, mereka juga sudah membuat keputusan mengenai ke mana harta warisan akan disumbangkan apabila mereka sudah tiada lagi di dunia.
Apakah maksud childfree?
Childfree artinya merujuk kepada seseorang atau pasangan yang memutuskan untuk tidak mempunyai anak selepas berkahwin, sama ada anak kandung, anak tiri atau anak angkat.
Istilah childfree adalah bebas kanak-kanak itu sendiri bukanlah istilah baru, tetapi istilah ini telah wujud sejak abad ke-20 Masihi, malah sudah ramai yang mengamalkannya terutama di negara Barat.
Child free bukan fenomena baharu
Dalam masa sama, video TikTok tersebut turut memetik perkongsian seorang psikologi klinikal di Indonesia, Analisa Widyaningrum pada rancangan televisyen tersebut.
Wanita itu memberitahu, fenomena childfree bukanlah suatu perkara yang baharu. Malah alasan daripada pasangan terlibat juga adalah pelbagai iaitu mulai dengan hal peribadi hinggalah kepada kebebasan dari segi kewangan.
Perkongsian video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen di Indonesia. Antara komen-komen yang dapat dibaca ialah:
“Sebenarnya child free itu hak masing-masing. Cuma di Indonesia, kebanyakan yang nikah tidak mempunyai anak, ditanya terus”.
“Percayalah, punya anak bukan hanya hamil 9 bulan 10 hari, melahirkan dan menyusu, tanggungjawabnya besar tetapi dibawa sama ke akhirat”.
“Ada alasan lain juga biasanya seseorang memilih child free itu kerana mengalami trust issue semasa kecil”.
“Tapi mereka hebat, pasti banyak tekanan daripada keluarga dan lingkungan,” demikian maklum balas yang boleh dibaca daripada netizen tersebut.
Satu daripada lima orang dewasa membuat keputusan tidak mahu anak
Menurut profesor Michigan State University, Zachary Neal mendedahkan bahawa 21.6% orang dewasa, atau kira-kira 1.7 juta orang di Michigan tidak mahu anak dan bebas.
Angka berkenaan adalah lebih daripada populasi sembilan bandar terbesar di Michigan.
”Golongan wanita terutamanya tidak mahu anak, sering dikatakan bahawa mereka akan mengubah fikirannya kelak. Namun hasil kajian mendapati perkara sebaliknya,” kata Jennifer Watling Neal, profesor di jabatan psikologi dan pengarang dalam kajian yang dilakukan.
”Bukan hanya orang muda yang mendakwa mereka tidak mahu anak. Wanita yang memutuskan pada usia remaja mereka dahulu untuk bebas cahaya mata kini, secara puratanya telah memasuki usia 40 tahun dan masih belum mempunyai anak.” katanya.
Rakyat Malaysia sukakan anak, merancang ingin miliki keluarga yang besar
Di sebalik cabaran membesarkan anak-anak, kajian mendapati rakyat Malaysia ramai merancang untuk mempunyai keluarga yang lebih besar bersama pasangan tercinta.
Tinjauan oleh badan penyelidikan antarabangsa Ipsos mendapati kebanyakan keluarga Malaysia mahukan sekurang-kurangnya tiga anak berbanding hanya dua pasangan di timur laut Asia serta di Singapura.
Ketua Hal Ehwal Awam Ipsos Malaysia Wan Nuradiah Wan Mohd Rani berkata angka ini “jauh lebih tinggi” berbanding kebanyakan negara.
Walau bagaimanapun, ada antara pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak, atau lebih anak jika sudah mempunyai satu atau dua.
Suami isteri buat pertimbangan semula selepas pandemik
Selepas pandemik Covid-19, ia muncul sebagai faktor utama dalam proses membuat keputusan suami isteri.
Sejumlah 26% rakyat Malaysia menyebut wabak dan kejatuhan ekonomi yang terhasil sebagai sebab, menjadikan ia sebagai pertimbangan terbesar mereka.
Di peringkat global, hanya 11% pasangan yang menyatakan ini sebagai alasan.
Hanya 13% pasangan Malaysia menyatakan kebimbangan tentang kerjaya mereka sebagai faktor tidak mempunyai anak, manakala 9% mengambil kira keperluan kerjaya pasangan mereka apabila membuat keputusan sedemikian.
“Keputusan untuk mempunyai anak sambil membina kerjaya sering dilihat sebagai satu pertukaran, terutama bagi wanita,” kata Wan Nuradiah.
“Walaupun tanggungjawab terhadap keluarga memberi banyak cabaran kepada kerjaya wanita, ia tidak sepenuhnya berat sebelah. Ramai rakyat Malaysia menganggapnya sebagai cabaran yang dihadapi oleh lelaki juga.” jelasnya.
Childfree dalam islam
Dengan trend perkahwinan tanpa anak ini, ada kebaikan dan keburukannya dalam pandangan Islam. Secara umumnya, tujuan perkahwinan adalah untuk mendapatkan anak.
Menurut pendapat Imam Al-Ghazali bahawa hukum ‘azl itu boleh, tidak sampai dikatakan makruh apatah lagi haram.
Az-Zabidi juga menyokong pendapat Al-Ghazali yang mengatakan perkara yang sama, bahawa menolak anak sebelum potensi ia wujud atau sebelum cecair sperma berada dalam rahim wanita adalah dibenarkan.
Maka jika yang dimaksudkan dengan childfree ialah menolak bentuk anak sebelum potensi wujud, iaitu sebelum sperma berada di dalam rahim wanita, maka hukumnya adalah boleh.
Namun, jika bebas anak dengan niat untuk melambatkan atau mengurangkan kehamilan maka ia adalah makruh. Bukan itu sahaja, jika suami atau isteri sanggup mematikan sepenuhnya fungsi pembiakan, maka ia adalah haram.
Kesimpulannya, perkahwinan bukan sahaja ikatan formal tetapi juga ikatan zahir batin serta sangat suci yang mempunyai nilai-nilai agama yang membawa implikasi dan akibat daripada ibadah.
Walaupun membuat pilihan tanpa zuriat adalah hak suami isteri, ia mestilah berdasarkan norma agama. Apapun semoga anda dan pasangan bahagia sentiasa dan diharapkan artikel ini bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kisah Benar: Saya Sudah Berkahwin Selama 1 Tahun, Dan Saya Masih Dara
Baca juga: 10 Kunci Rumah Tangga Bahagia Pasangan Lama Berkahwin Amalkan, No #7 Paling Penting!
Baca juga: Suami Tinggalkan Isteri Selepas 17 Tahun Berkahwin Kerana Isteri Gemuk!