Mengapa Bayi Tidur Berdengkur? Adakah Ini Masalah Pernafasan Ibu Perlu Risau?
Bayi tidur berdengkur? Tapi, kalau bayi kerap tidur berdengkur adalah ianya sesuatu yang normal ataupun tidak? Kami akan menjawab persoalan ini!
Kuat betul bunyi anak anda tidur berdengkur. Kebiasaannya yang kuat tidur berdengkur ni orang dewasa, kan? Bila dengar sahaja bunyi orang tidur berdengkur, perkara pertama yang kita anggap mesti orang ni penat kerja sampaikan berdengkur.
Bagi orang dewasa, tidur berdengkur yang terlalu kerap boleh menandakan atau memberi petanda bahawa mereka mempunyai masalah. Tapi, bagaimana pula dengan bayi?
Adakah anda juga mempunyai sangkaan yang sama bahawa anak anda penat dan tidur lena disebabkan itulah anak anda berdengkur. Ya atau tidak?
Apa kata kita belajar mengenai tidur bayi yang berdengkur!
Bayi tidur berdengkur
Untuk bayi yang baru lahir, tidur berdengkur adalah sesuatu yang biasa sebenarnya. Mereka mengeluarkan bunyi sewaktu tidur yang kadang-kala adalah dengkuran dan mungkin juga tidak.
Punca bayi berdengkur adalah disebabkan oleh saluran pernafasannya yang masih kecil. Tengok hidung bayi pun comel sahaja kan. Selain itu, ia disebabkan oleh tisu lembut pada bahagian tekak yang meliputi bahagian saluran udara.
Bila saluran masuk dan keluar, tisu tersebut akan bergetar dan menghasilkan bunyi. Ini yang dinamakan apnea tidur! Apnea tidur mungkin kedengaran asing buat ibu bapa tetapi ia merupakan salah satu punca utama penyebab bayi tidur berdengkur.
Tapi, ada banyak lagi tau punca bayi berdengkur yang anda wajib tahu. Sekurang-kurangnya anda ada ilmu.
Punca bayi tidur berdengkur
#1 Tonsil besar atau adenoid
Kehadiran tonsil atau adenoid ini memang akan menyebabkan bayi berdengkur. Ini kerana apabila keduanya membesar, ianya menghalang saluran pernafasan bayi.
Cumanya tonsil lebih mudah dilihat apabila anda memeriksa tekak bayi. Tetapi, keradangan adenoid lain sedikit.
Jika anak anda bernafas menggunakan mulut dan susah bernafas dari hidung, itu mungkin tanda anak anda menghidap adenoid.
#2 Alahan
Jika anak anda menghidapi alahan, anak anda akan mudah tidur berdengkur. Ia turut dikaitkan dengan asma juga kerana asma juga merupakan satu tanda alahan.
Apa-apa pun, jika anak anda mendapat alahan teruk yang menyebabkan anak anda sukar sangat untuk bernafas, bawalah anak anda berjumpa doktor.
#3 Hidung tersumbat
Sudahlah selsema, hidung pula tersumbat. Memang susahlah anak anda nak bernafas. Ini disebabkan terlalu banyak sangat mucus atau hingus dalam hidung anak anda.
Bila anak anda sendiri tidak boleh mengeluarkan hingus yang terlalu banyak, jadi tersumbatlah hidung anak anda. Tahukah anda, air liur juga boleh sebabkan hidung tersumbat?
Terutamanya apabila anak anda nak tumbuh gigi. Bila berbaring, mengalirlah air liur ke dalam rongga hidung.
Apa yang anda boleh lakukan bila bayi anda tidur berdengkur
Walaupun kadang kala bayi tidur berdengkur ini nampak macam comel tetapi sebenarnya, anak anda menghadapi kesukaran untuk tidur pada waktu malam kerana tidurnya jadi tak lena.
Ia akan mengakibatkan anak anda kelihatan sangat penat pada waktu siang. Kasihan pula pada si kecil.
Ini adalah beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk membantu si kecil tidur dengan lebih lena dan mengurangkan dengkuran tidur.
#1 Bersihkan hidung bayi
Ini paling mudah dilakukan oleh ibu bapa. Jika anak anda selsema ataupun anak anda mempunyai hidung tersumbat, anda boleh periksa dan bersihkan hidung anak anda dengan mengeluarkan hingus serta tahi hidung yang kering agar anak anda selesa bernafas.
#2 Tukar atau perbaiki postur tidur bayi
Kadang-kadang anak anda berdengkur disebabkan postur tidur. Ini kerana mungkin posisinya yang terlangkup atau hidungnya yang terhalang dari mendapat pengaliran pernafasan yang baik.
Betulkan cara anak anda tidur sehinggalah anda tak dengar bunyi dengkuran lagi.
#3 Bersihkan tempat tidur
Bersihkan tempat tidur si kecil daripada sebarang habuk dan elakkan sebarang benda yang boleh menyebabkan alahan.
Habuk boleh menyebabkan bayi selsema kalau bayi anda jenis sensitif.
#4 Lap muka anak anda
Hidungnya tersumbat lagi? Kalau pakai penyaman udara, lagilah sejuk dan membuatkan anak anda sukar bernafas sebab hidung tersumbat.
Lap muka anak anda terutama pada bahagian hidung menggunakan kain dengan mencelupnya dengan air suam.
#5 Angkat sedikit kepala anak sewaktu tidur
Kalau anak anda masih berdengkur, cuba tips ini. Angkat sedikit kepala anda atau dongakkan sedikit kepala anak anda supaya anak anda senang bernafas.
Buat perlahan-lahan dengan pegang kepala anak supaya anak anda kurang berdengkur.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Ibu, jangan pandang remeh jika bayi berdengkur! 5 cara ini boleh rawat bayi anda