Setiap orang ada sebab tersendiri untuk mengembara. Ada yang pergi bercuti di dalam negara atau luar negara. Ada juga yang terpaksa keluar negara sebab urusan kerja.
Malah, ada yang spontan saja ikut kawan sebab dapat tiket murah. Tapi apa pun sebabnya, kajian membuktikan bahawa mengembara sebenarnya boleh menjadikan kita insan yang lebih baik dan lebih bijak juga!
Melihat Budaya Luar Boleh Buka Minda
Pada tahun 2014, satu kajian dijalankan oleh William W. Maddux bersama pelajar MBA. Mereka dapati pelajar yang betul-betul menyesuaikan diri dengan budaya baharu lebih mudah memahami pelbagai pandangan yang berbeza. Dalam erti kata lain, mereka jadi lebih terbuka dan bijak melihat sesuatu isu dari pelbagai sudut.
Menariknya, pelajar yang aktif berinteraksi dengan budaya luar juga dapat lebih banyak tawaran kerja selepas tamat pengajian! Ini membuktikan bahawa penglibatan dengan budaya luar bukan saja bagus untuk perkembangan diri, tapi juga untuk kerjaya.
Maddux rumuskan begini: pengalaman budaya yang pelbagai boleh bantu kita jadi lebih terbuka, kreatif, dan dapat lebih banyak peluang dalam hidup.
Travel Merangsang Kreativiti
Tahun 2009, Maddux dan pasukannya buat satu eksperimen yang dipanggil “Remote Associates Test” (RAT) — ia mengukur tahap kreativiti seseorang.
Separuh daripada peserta diminta imbas kembali pengalaman tinggal di luar negara sebelum buat ujian. Separuh lagi tidak buat apa-apa. Hasilnya? Kumpulan yang ingat pengalaman luar negara berjaya selesaikan lebih 50% masalah dalam ujian itu berbanding kumpulan satu lagi.
Tapi yang paling penting, kesan ini lebih ketara jika peserta benar-benar menyesuaikan diri dengan budaya tempat mereka tinggal, bukan sekadar berada di sana. Ini bermakna mengembara saja tak cukup, kita kena buka hati untuk faham dan hidup dalam budaya tempatan.
Mengembara Bantu Kita Fikir Luar Kotak
Mengembara bantu kita keluar dari cara fikir yang biasa. Bila kita tengok sendiri cara hidup orang lain yang berbeza, ia cabut “akar” pemikiran lama dan buka mata kita kepada realiti yang lebih luas. Walaupun kadang-kadang rasa pelik atau janggal, tapi itulah proses yang buat kita jadi lebih matang dan kreatif.
Otak kita pun akan mula bekerja keras untuk faham benda baru dan inilah yang latih otak jadi lebih tajam.
Nak Jadi Kreatif Tak Semestinya Kena Keluar Negara
Menariknya, dalam satu lagi kajian oleh Lile Jia dari Indiana University, peserta dibahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diberitahu bahawa tugasan datang dari pelajar luar negara (Greece), manakala kumpulan lain diberitahu tugasan datang dari pelajar tempatan.
Tugasan mereka sama sahaja iaitu menyenaraikan cara-cara pengangkutan. Tapi hasilnya, kumpulan yang fikir tugasan tu datang dari luar negara hasilkan lebih banyak dan lebih kreatif idea!
Apa maksudnya? Hanya dengan bayangkan kita sedang berinteraksi dengan budaya luar, otak kita sudah jadi lebih kreatif. Tak perlu pun betul-betul keluar rumah.
Buka Minda, Bukan Sekadar Buka Pintu Kapal Terbang
Kajian-kajian ini membuktikan:
-
Mengembara boleh bantu kita jadi lebih kreatif dan bijak.
-
Tapi kesannya paling kuat bila kita benar-benar menyerap budaya tempatan.
-
Malah, dengan hanya membayangkan suasana luar negara, otak kita juga boleh bertindak lebih kreatif.
Jadi kalau anda ada peluang untuk mengembara samada dekat atau jauh, gunakan peluang itu untuk belajar budaya baru, bergaul dengan orang tempatan, dan lihat dunia dari sudut yang berbeza.
Tapi kalau belum mampu mengembara, baca buku, tonton dokumentari, atau bergaul dengan orang dari latar belakang berbeza pun boleh bantu minda anda berkembang.
Pengembaraan sebenar bukan sekadar berpindah tempat, tapi membuka minda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 10 Tempat Bercuti Di Malaysia Yang Menarik & Menyeronokkan Untuk Seisi Keluarga
Baca juga: 6 Sebab Saintifik Kenapa Anda Perlu Bawa Anak Anda Pergi Bercuti
Baca juga: Trend Bercuti Tanpa Anak: ‘Me-Time’ Ibu Bapa Atau Hanya Pentingkan Diri?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!