Jadi anda sudah berjaya melepasi cabaran ‘The Terrible Twos‘, nyawa-nyawa ikan melepaskan diri dari “Threenager Years”— mesti anda rasa sudah selamat kan? Hah, tunggu anak masuk umur 4 tahun pula!
Bersiap sedia, kerana nampaknya ibu bapa yang lebih berpengalaman lupa untuk beritahu anda (atau sengaja tak mahu beritahu pun) tips untuk menghadapi peringkat haru-biru si anak yang dikenali sebagai The Effing Fours ini!
Si Umur 4 Tahun Yang Banyak Akal!!!
Bila anak sudah umur 4 tahun, mereka akan memiliki kemahiran untuk berborak, mula mengenal semakin ramai orang dan mengenal perasaan marah, malu, sedih dan geram.
Apa lagi yang anak ibu bapa hadap bila anak mula memasuki umur 4 tahun? Jom tengok senarai di bawah!
#1 Si Kuat Merajuk!
Pada umur 4 tahun, anak tidak lagi tantrum namun anda akan perasan dia lebih sensitif dan sangat senang untuk merajuk. Walaupun si kecil kini petah bercakap, hakikatnya mereka masih tidak dapat meluahkan perasaan dengan baik.
Anak mungkin akan menyilangkan tangan, memuncungkan mulut, mula melawan kata atau menangis seolah dunianya sedang hancur. Padahal anda hanya minta dia habiskan makan malam sebelum menikmati pencuci mulut. Aduh…
#2 Si Pinnochio Yang Gemar Berbohong
Anda menyuruh anak habiskan sayuran, tetapi anak merenung wajah anda dengan muka tidak bersalah dan berkata “dah habis dah mama…” padahal sudah 3 kali anda nampak si kecil meletakkan sayur tersebut di pinggan abangnya!
Kelakuan itu pula dilakukan semasa anda sekeluarga sedang makan malam bersama. Tetapi kenapa anak berbohong pula walhal sah-sah anda berada bersama dia tadi?
Menurut sesetengah pakar, kanak-kanak pada umur begini masih belum tahu membezakan fakta dan rekaan. Kadang-kadang mereka tercampur aduk kebenaran dan cerita rekaan yang mereka harapkan berlaku.
#3 Gemar Bersosial
Apabila anak makin membesar, dia akan mula ingin berkawan atau sudah ada kawan biasa untuk bermain sama-sama.
Pada umur 4 tahun khususnya, anak mahu menjadi sebahagian dari kumpulan yang lebih besar seperti di taman permainan, sekolah atau di majlis hari jadi.
Galakkan anak bergaul dan berkenalan dengan kawan-kawan baru. Anda juga boleh ajar anak untuk berinteraksi dengan berkata, “Hai, nama saya ____, boleh kita main sama-sama?”
#4 Dr Jekyll and Mr Hyde Junior
Baru sebentar tadi anak menyanyi riang, tiba-tiba dia menjerit dan mengamuk pula! Takkan anak anda mengalami PMS kot?
Harus diingat, anak anda masih belajar meluahkan perasaan dan kadang-kadang dia bersikap dramatik.
Cara baik untuk anda menghadapi situasi ini adalah dengan memahami perasaan anak dan beritahu dia cara yang lebih baik untuk meluahkan rasa tanpa bertindak agresif.
#5 Suka Buat Lawak
Anda pasti tak tahan nak ketawa bila melihat si kecil anda bersungguh-sungguh ketawakan jenaka yang dibuat olehnya sendiri.
Tambahan lagi bila dia menambah aduk cerita yang tak pernah terjadi semata-mata untuk melihat anda tersenyum.
Ciri ini sebenarnya sesuatu yang positif kerana apabila sesuatu yang buruk terjadi, si kecil lebih senang mentertawakan diri sendiri daripada menangis atau mengamuk pada orang lain!
Sebenarnya bukanlah sesuatu yang menakutkan sangat dengan perangai baru anak anda ini bukan? Anak anda kini lebih berdikari dan lebih senang berbicara untuk beritahu anda jika dia mempunyai masalah.
Ibu bapa harus ingat yang walaupun si kecil sudah pandai bercakap, mereka masih kecil dan anda tidak boleh anggap dia sudah matang untuk menghadapi suatu situasi.
Di penghujung hari, si umur 4 tahun yang banyak kerenah itu masih kesayangan anda berdua!
Adakah anda ibu atau bapa kepada anak yang berusia 4 tahun? Apa lagi kerenah anak umur 4 tahun yang anda rasakan sesuai untuk ditambah?
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini asalnya ditulis oleh Dew M.Chaiyanara dan mendapat keizinan theAsianparent Singapore untuk diterjemah.
Baca juga:
10 Perangai Anak Yang Ibu Bapa Sangka Nakal Namun Sebenarnya Tidak