Seorang ibu kepada dua anak, Takieyah Reaves dari Newark, New Jersey terpaksa hidup dengan usus di luar perut sejak tiga tahun lalu.
Usus di luar perut, berpantang maut sebelum ajal
Ibarat berpantang maut sebelum ajal, wanita berusia 32 tahun itu terselamat dalam insiden tembakan rambang di sebuah kelab malam pada Julai 2017.
Beliau ditembak sebanyak dua kali dalam insiden berkenaan dan mengalami kecederaan parah di perut dan kaki kanannya.
Peluru menembusi perut sehingga terbelah
Satu daripada peluru itu membuatkan perutnya terbelah dan doktor memberi amaran yang beliau tidak mungkin selamat dalam pembedahan intensif memperbaiki kecederaan dalamannya. Bagaimanapun, keajaiban berlaku dan doktor berjaya menyelamatkannya.
Bagaimanapun saiz luka yang terlalu besar tidak memungkinkan perutnya dapat ditutup sehingga ia sembuh sendiri dan terpaksa hidup dengan usus di luar perut sehingga hari ini.
Ia bermaknya, Takieyah perlu hidup dengan perut berlubang dengan menampakkan sepenuh ususnya sehingga ada yang menganggap beliau mendapat luka itu daripada pembedahan akibat bersalin.
Takieyah berkata perutnya sembuh dengan baik, tetapi ia terpaksa ditinggalkan terbuka dan menampakkan isi keseluruhannya sejak kejadian itu berlaku.
“Ia sangat menonjol dan apabila keluar di khalayak ramai saya sering ditanya adakah mengandung. Bayi ini lelaki atau perempuan dan saya terpaksa menjelaskan semuanya,” katanya.
Pernah alami kemurungan kerana usus di luar perut
Sepanjang proses penyembuhan, Takieyah dijaga oleh ibunya, Tammi Reaves-Duncan sehingga sembuh. Dengan keadaan sebagai ibu kepada dua anak, beliau menghadapi kemurungan kerana terpaksa menerima hakikat perlu hidup dengan perut sedemikian rupa.
“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup kerana saya sepatutnya tidak dapat diselamatkan menurut pihak hospital.
“Keluarga saya diberitahu untuk bersedia dengan kematian saya. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk hidup, tetapi tidak dapat menafikan perasaan kemurungan atau sedih dengan keadaan saya.
“Saya kerap menyembunyikan perut saya daripada umum termasuk daripada anak saya buat masa yang lama. Saya sangat sedih dengan keadaan badan saya dengan parut di kebanyakan tempat dan saya bencikannya.
“Saya rasa seperti mahu masuk ke dalam bola dan bersembunyi. Saya takut untuk keluar kerana takutkan tembakan di jalanan. Saya juga tidak mahu sesiapa melihat badan saya kerana saya rasakan sukar untuk hidup normal seperti biasa,” katanya.
Katanya, walaupun kejadian itu merubah hidupnya, beliau bersyukur.
“Kejadian ini merubah hidup saya tetapi saya bersyukur kerana dapat membesarkan anak saya. Saya kemurungan buat seketika tetapi saya mengambil keputusan untuk bangkit dan tidak boleh terus begitu demi mereka.
“Saya memang mahukan badan saya yang dulu, tetapi bila saya lihat kembali apa yang saya nampak adalah parut kecederaan saya,” katanya.
Perut akan dijahit semula akhir bulan ini
Beliau berkata orang di sekeliling banyak memberi galakan dan mengatakannya cantik dan seharusnya bersyukur dan menerima apa yang terjadi dengan hati terbuka.
Selepas tiga tahun hidup dengan luka yang terbuka, Takieyah dijadualkan akan menjalani kehidupan lebih baik pada akhir bulan ini yang mana perutnya akan dijahit semula.
Ingat sudah mati
Menceritakan detik tragis itu, Takieyah berkata beliau ketika itu merasakan sudah seperti berada terlalu hampir dengan kematian.
“Saya ingat saya hampir mati dan saya sangat takut untuk meninggalkan dua anak saya tanpa ibu. Ia sangat menakutkan dan menyakitkan, rasa seperti api membakar seluruh urat saya.
Hilang 4.5 liter darah
“Saya berada di tempat yang salah pada waktu yang salah, yang mana ketika kejadian saya berdiri di pintu masuk dan pada mulanya saya langsung tidak sedar mengenai tembakan itu tetapi saya tiba-tiba rebah. Saya kehilangan 4.5 liter darah dan doktor memberitahu jantung saya berhenti berdenyut ketika dibedah, tetapi saya tetap hidup,” katanya.
Ibu kepada anak perempuan berusia 13 tahun dan anak lelaki berusia 11 tahun itu sudah menjalani tujuh pembedahan untuk memperbaiki perutnya bagi membolehkan ia sembuh seperti sedia kala. Lukanya yang terlalu besar akhirnya sembuh dalam tempoh tiga tahun, dan dijadual menjalani pembedahan pada 23 Jun ini.
Kejadian itu turut merubah pendapatnya mengenai undang-undang pemilikan senjata api di Amerika Syarikat dan beliau yang sebelum ini tiada masalah mengenai perkara itu kini mahukan undang-undang lebih ketat dilaksanakan.
Sumber: metro.co.uk
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!