Pengalaman melahirkan bayi pasti ada kisahnya tersendiri. Hal yang paling tidak dapat dilupakan apabila ibu melalui detik kelahiran berbeza dari orang lain seperti video bersalin sendiri dalam kenderaan ini.
Rata-rata ibu semestinya akan bergegas ke hospital sebaik sahaja merasakan beberapa tanda tanda bersalin. Namun siapa sangka ada ibu terpaksa sambut sendiri bayi ketika dalam perjalanan ke hospital!
Isi Kandungan
Video bersalin sendiri tanpa bantuan orang lain
Detik melahirkan anak memberikan debaran cukup kuat bagi ibu kali pertama. Baru-baru ini tular sebuah video bersalin sendiri di Facebook tanpa bantuan orang lain.
Difahamkan dia dan suami dalam perjalanan ke hospital. Walau bagaimanapun sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku sehingga dia terpaksa bersalin dalam kereta.
”Ya Tuhan! Ya Tuhan! Tolong tahan hingga sampai ke hospital. Saya tidak tahu sama ada boleh lakukannya atau tidak.”
”Saya tidak boleh. Saya tidak boleh. Ya Tuhan! Bayi ini sudah ingin keluar,” katanya sambil menjerit menahan sakit bersalin.
Sementara itu suaminya memandu dengan laju bagi membolehkan mereka sampai ke hospital. Melihat keadaan isteri yang ingin bersalin, dia turut membantu menyelak seluar dan membuka tali pinggang keledar.
Air ketuban telah pecah dan dia merasakan bayi seolah-olah sudah ingin keluar meskipun mereka masih belum tiba di hospital.
Tanpa berlengah, wanita berkenaan membetulkan kedudukannya dalam kereta dan bersedia untuk meneran. Dalam beberapa minit sahaja, bayi telah keluar dan dia segera menyambut kepala anaknya.
”Bagus, kita sudah ada anak. Dia adalah bayi lelaki. Tengoklah dia!” kata suaminya dengan nada begitu gembira.
Sebaik sahaja dilahirkan, bayi berkenaan menangis sambil si ibu menggosok-gosokkan bahagan belakangnya.
”Bayi bernafas dan menangis. Terbalikkan belakang dan teruskan menepuknya,” kata suaminya.
”Ya Tuhan dia telah dilahirkan dalam kereta kita. Awak sungguh comel anakku, saya memang tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” kata si ibu sambil menenangkan diri.
Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke hospital. Ibu dan anaknya didapati dalam keadaan yang sihat.
Video ibu melahirkan sendiri tanpa bantuan ini pastinya menjadi momen yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Mujurlah urusan bersalin dalam kereta ini begitu mudah dan lancar.
Tanda bersalin semakin hampir
Dalam keterujaan menyambut cahaya mata, ibu ayah perlu mendalami pelbagai ilmu termasuklah tanda tanda bersalin.
Jika ini kelahiran bayi pertama, kebanyakan ibu tidak tahu bagaimana rasanya sakit bersalin sehingga kadang-kadang keliru dengan kontraksi palsu.
Antara tanda bersalin semakin hampir adalah:
-
Rasa bayi seperti turun ke bawah
Ketika berada trimester akhir kehamilan, biasanya ibu dapat merasakan bayi seolah-olah bergerak ke bahagian bawah perut ketika 2 hingga 4 minggu sebelum tarikh jangkaan melahirkan bayi.
-
Cirit-birit atau muntah
Kedua-dua tanda bersalin semakin hampir ini berlaku disebabkan oleh tubuh ibu menghasilkan hormon kelahiran. Ia membuatkan rasa tidak selesa di bahagian perut, menyebabkan kekejangan dan juga ibu cenderung untuk kerap buang air.
Hal ini bertujuan untuk mengosongkan usus dan memberi lebih ruang kepada bayi.
-
Kerap sakit pada bahagian belakang
Rasa kejang dan sakit pada bahagian bawah badan serta paha juga merupakan tanda tanda bersalin semakin dekat.
Keadaan ini berlaku kerana otot dan sendi mula meregang dan bergerak bagi membolehkan tubuh bersedia menghadapi proses melahirkan bayi.
-
Kelesuan dan penat
Tanda bersalin ini membuatkan ramai ibu berasa mereka seperti berada trimester pertama. Meskipun hanya melakukan kerja ringan, rasa penatnya begitu teruk.
Ini ditambah pula dengan saiz perut yang begitu besar hingga menekan pundi kencing dan organ lain membuatkan ibu sukar untuk tidur malam.
-
Keluar lendir daripada vagina
Beberapa minggu sebelum melahir bayi, ibu akan menyedari ada lendir keluar daripada vagina.
Ia boleh keluar begitu banyak ataupun sedikit. Tanda tanda bersalin semakin hampir juga membuatkan tekstur lendir ini lebih pekat dan warnanya berubah menjadi merah jambu.
-
Sendi terasa longgar
Sejenis hormon yang dikenali sebagai relaxin akan dihasilkan dalam tubuh ibu mengandung yang akan membuatkan sendi badan menjadi longgar.
Badan anda juga akan berasa lebih tenang. Ia sebenarnya cara semulajadi yang diberikan kepada ibu mengandung untuk memudahkan bukaan pelvis anda.
Dengan cara ini juga ia akan memudahkan bayi anda untuk keluar.
- Sakit kontraksi
Apabila wanita hamil mengalami kontraksi yang kerap, ia merupakan tanda bayi sedang dilahirkan.
Kontraksi bersalin yang sebenarnya adalah lebih kerap, diselangi kurang daripada 10 minit, dan menyebabkan kesakitan berlipat kali ganda jika tiada sebarang pengambilan ubat tahan sakit.
Kontraksi membantu dilatasi serviks dan menyumbang kepada penipisan bibir serviks bagi membuka ruang untuk melahirkan bayi.
-
Air ketuban pecah
Ini merupakan tanda yg paling umum. Kebiasaanya air akan mengalir secara perlahan atau menitis. Cecair amniotik ini tiada warna dan tidak berbau.
Jika ibu merasakan salah satu tanda tanda bersalin yang dinyatakan di atas, usah berlengah dan segeralah ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sudah Ikat Peranakan (BTL) Tapi Masih ‘Lekat’, Ibu Terkejut Dapat Tahu Mengandung 6 Bulan