Wabak penyakit berjangkit Covid-19 di Malaysia sedang mengganas dan mencatatkan angka baharu melebihi 6,000 kes setiap hari. Peningkatan jumlah pesakit dijangkiti ini adalah disebabkan oleh negara kita menerima varian-varian baharu yang membimbangkan (VOC) iaitu India, Afrika Selatan dan United Kingdom.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, varian-varian VOC menunjukkan kebolehjangkitan cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian tinggi.
Hampir kehilangan seluruh ahli keluarga akibat wabak penyakit berjangkit Covid-19
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, kisah sekeluarga ini begitu menyayat hati apabila nyawa ibu, ayah dan adik telah menjadi korban wabak penyakit berjangkit ini.
Potret bersama keluarga ketika menyambut Aidilfitri tahun ini telah menjadi kenangan terakhir buat Lans Koperal Siti Nur Hawana Amran apabila dia telah kehilangan insan tersayang, ibu ayah dan adik yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Difahamkan ibunya, Hasminah Parmin, 57, telah dijangkiti virus berkenaan kerana pernah menguruskan jenazah yang disembunyikan status Covid-19. Setelah beberapa jam selepas isteri meninggal, si ayahnya, Amran Sadon, 56, pula meninggal dunia.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia pada Jumaat lalu sewaktu menerima rawatan di Hospital Tunku Muhriz (HCTM) Cheras.
Manakala adiknya, Muhammad Luqman Idham Amran, 20, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6 pagi dua hari yang lalu ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Lebih menyedihkan, Siti Nurul berkata kedua-dua orang tuanya tidak sempat meninggalkan sebarang pesanan buat dirinya selepas dimasukkan ke hospital.
Menurutnya arwah ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19 pada 17 Mei lalu selepas melakukan ujian calitan pada hari sebelumnya.
”Sepanjang bulan Ramadhan lalu, mereka ada mengerjakan solat tarawih di sebuah surau berhampiran rumah kami di Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi. Ada kemungkinan juga mereka menerima jangkitan daripada situ.”
”Setelah mendapat tahu mereka positif, saya dan adik-beradik yang lain membuat ujian sama. Namun hanya adik disahkan positif, manakala saya negatif,” jelasnya.
Tambah Siti Nurul lagi, ibunya telah dihantar ke HCTM pada petang Khamis lalu kerana keadaannya bertambah teruk ketika itu.
”Apabila saya memberitahu arwah ayah bahawa emak semakin kritikal, tiba-tiba ayah mengadu sesak nafas sebelum kami menghubungi ambulas dan dia dihantar ke hospital yang sama sebelah malam,”
Wabak penyakit berjangkit meragut nyawa insan tersayang
”Kedua-duanya gagal diselamatkan dan meninggal dunia pada keesokan hari. Adik yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh juga hilang semangat sebaik sahaja mendapat tahu ibu ayah sudah tiada.” ceritanya.
Siti Nurul tidak menyangka bahawa adiknya pula pergi meninggalkan mereka.
”Saya bersama anak buah, adik ipar perlu menjalani tempoh kuarantin sehingga 30 Mei ini selepas menjalani ujian calitan. Saya juga berharap agar diri dan keluarga adik ipar tidak dijangkiti wabak penyakit berjangkit ini.”
Jenazah kedua-dua orang tua Siti Nurul telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi pada Jumaat lalu, adiknya pula dikebumikan setelah dua hari kemudian di kawasan yang sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan seorang anggotanya kini menjalani kuarantin selepas ibu ayah dan adiknya meninggal dunia akibat Covid-19.
”Anggota polis terbabit sudah dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia Cheras untuk menjalani ujian calitan. Setakat ini, IPD beroperasi seperti biasa dan kawasan ini memang sentiasa disanitasi bagi mencegah penularan Covid-19.” jelasnya.
Varian baharu Covid-19 bawa gejala lebih teruk
Jika gelombang pertama Covid-19 menunjukkan kes kebanyakannya melibatkan golongan berusia dengan sejarah penyakit kronik, namun kali ini pihak KKM telah mengenal pasti varian baharu yang menjadi punca lebih ramai golongan muda dijangkiti sehingga menyebabkan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
”Pakar-pakar di Hospital Sungai Buloh mengesahkan jangkitan varian baharu adalah dari usia muda. Ia menunjukkan kes yang tidak terkesan dengan rawatan yang diberikan. Misalnya penggunaan steroid juga tidak berkesan.”
”Varian baharu ini lebih ganas. Jika menjangkiti golongan muda, KKM akan jalankan pemerhatian dan penjujukan genom untuk kesan varian apa,” jelas Dr Noor Hisham.
Justeru beliau meminta seluruh masyarakat saling bekerjasama, mematuhi setiap SOP yang digariskan dan tidak mengambil kesempatan untuk perjalanan rentas negeri demi kepentingan diri.
Sumber: Harian Metro, Harakah Daily
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Hamil Positif Covid-19 Disaran Bersalin Secara Caesar, Ini Penjelasan Doktor