Cara Mudah Menetapkan Waktu Tidur Bayi 0-3 Bulan, Ibu Ayah Baharu Wajib Tahu!

Waktu tidur bayi 0-3bulan amat penting untuk proses tumbesaran si manja. Justeru ibu disaran tetapkan rutin tidur anak seawal usia

Bagi anda yang baru bergelar ibu ayah, menetapkan waktu tidur bayi 0-3 bulan mungkin menjadi terbesar. Mana tidaknya si manja ingin lena mengikut mood mereka hingga kadang-kadang boleh membuatkan anda kurang rehat.

Dalam membesarkan anak, boleh dikatakan hampir setiap hari ibu ayah belajar perkara baru. Dalam hal ini, corak tidur anak hendaklah dipastikan mencukupi agar dapat menggalakkan perkembangannya.

Menetapkan waktu tidur bayi 0-3 bulan

Kebanyakan ibu ayah mengakui bahawa bulan pertama selepas kelahiran adalah sesuatu yang memenatkan. Ketika inilah anda perlu mengorbankan banyak tenaga dalam memahami ragam bayi.

Setiap bayi yang baru lahir akan mempunyai waktu tidur bayi yang panjang sehingga 18 jam sehari pada minggu-minggu pertamanya. Namun jumlah masa tidur si manja tidak akan melebihi 3 atau 4 jam pada satu masa, sama ada siang mahupun malam.

Perkara biasa yang terjadi adalah si manja terjaga tengah malam sama ada disebabkan oleh ingin menyusu, kembung perut ataupun ingin ajak ibu ayah bermain.

Dalam hal ini anda mungkin perlu bergilir dengan pasangan untuk melayan ragam si manja sehingga mungkin anda akan tertanya-tanya bilakah keadaan ini akan berakhir.

Sebenarnya jumlah masa tidur lebih pendek berbanding orang dewasa. Bayi meluangkan lebih banyak waktu dalam fasa tidur dengan pergerakan mata cepat (REM), iaitu baby tidur tidak nyenyak dan mudah terganggu.

Namun, setelah anak kecil anda memasuki usia antara enam hingga lapan minggu, tempoh waktu tidur bayi mungkin akan berkurangan pada waktu siang dan lebih panjang ketika malam.

Si manja juga akan terjaga ketika ingin menyusu dan fasa baby tidur bukan REM ini dikatakan lebih nyenyak.

Adalah tidak mustahil sekiranya bayi mula tidur sepanjang malam pada usia 8 minggu. Jika ibu ayah ingin baby tidur sepanjang malam, anda perlu menetapkan waktu tidur bayi yang jelas secara lebih awal.

Cara menetapkan waktu tidur yang cukup untuk bayi

Sebenarnya ibu ayah dapat membina corak dan waktu tidur yang cukup untuk anak seawal usia 6 minggu. Antara caranya ialah:

#1. Mengajarkan bayi perbezaan siang dan malam

Sesetengah anak kecil suka terjaga tengah malam biarpun ibu ayah sudah bersedia melelapkan mata. Apabila usia bayi anda memasuki kira-kira dua minggu, ibu boleh mula mengajarnya membezakan waktu siang serta malam.

Walau bagaimanapun, sentiasa ingat bahawa ia memerlukan kesabaran dan masa beberapa minggu sebelum bayi dapat membiasakan diri mereka.

Untuk membolehkan bayi mengetahui waktu tersebut siang, ibu hendaklah:

  • Menukarkan pakaian setelah dia terjaga sebagai tanda ia permulaan hari yang baru.
  • Beri ruang untuknya bermain dan aktif.
  • Jadikan sesi penyusuan pada waktu siang sebagai masa untuk bersosial seperti berbual, berzikir mahupun menyanyi.
  • Pastikan ruang di dalam rumah cerah dan terang
  • Biarkan bayi mendengar bunyi bising dari televisyen mahupun vakum
  • Ketika sedang menyusu, bayi cenderung untuk melelapkan mata kerana perutnya rasa kenyang. Jadi, ibu perlu mengejutkannya dengan lembut dan ajak untuk bermain.

Cara mengajarkan bayi pada waktu malam:

  • Pastikan cahaya dalam rumah gelap
  • Kurangkan bunyi-bunyi bising
  • Elakkan terlalu banyak bercakap dengan bayi
  • Pakaikan baju tidur untuk menandakan bahawa hari sudah tamat.

Dengan cara tidurkan bayi ini sedikit sebanyak dapat membantu si manja anda memahami bahawa waktu malam adalah masa untuk tidur.

#2. Biarkan anak melelapkan mata sendiri

Apabila bayi berusia antara 6 hingga 8 minggu, ibu ayah boleh mengajar bagaimana untuk lena dengan sendiri. Letakkan si manja dalam keadaan terbaring ketika dia kelihatan mengantuk dan temaninya untuk sebentar sahaja.

Cara tidurkan bayi juga penting. Jika ibu dodoikannya setiap malam bagi 8 minggu pertama, dia pastinya akan mahu dodoi terlebih dahulu sebelum melelapkan mata.

Bayi mungkin akan terjaga setiap kali anda tidak kelihatan dalam pandangannya, tetapi lakukan perkara sama dengan menidurkannya, kemudian tinggalkan baby tidur sehingga hari esok.

#3. Mengenal pasti tanda-tanda bayi sudah letih

Waktu tidur bayi 0-3 bulan tidak boleh terjaga lebih daripada dua jam pada satu-satu masa. Jika anda lewat menidurkannya, dia mungkin akan rasa penat dan tidak boleh melelapkan mata dengan mudah.

Antara tanda-tanda yang menunjukkan si manja bersedia untuk tidur ialah:

  • menguap
  • merengek
  • diam dan tidak bergerak
  • merenung kosong
  • menangis apabila dirinya diusik

Sekiranya ibu ayah menyedari akan perubahan ini, cuba letakkannya di dalam bilik tidur. Ini adalah untuk membentuk deria keenam mengenai ritma dan corak harian bayi serta naluri ibu akan mengetahui apabila dia sudah bersedia untuk melelapkan mata.

Waktu tidur yang betul untuk bayi baru lahir

Untuk beberapa bulan yang pertama, bayi anda akan tidur dan bangun setiap jam sepanjang hari (dan malam!).

Jumlah keseluruhan waktu tidur yang betul untuk bayi baru lahir adalah berbeza-beza (10-18 jam sehari). Biasanya, mereka tidur dalam jarak masa yang sama sepanjang 24 jam tanpa perbezaan ketara antara tidur siang dan malam.

Jumlah masa tidur bayi adalah 2 hingga 5 jam pada satu-satu masa. Pastikan anda bertindak balas kepada bayi yang baru lahir itu apabila si manja memberikan isyarat. Besar kemungkinan dia hendak menyusu atau ditukarkan lampin.

Cara mengelakkan bayi terjaga tengah malam

Bayi terjaga tengah malam adalah perkara biasa berlaku. Namun ibu ayah jangan risau, bayi baru lahir sebenarnya dalam proses membiasakan diri mereka dengan persekitaran dunia. Malah mungkin mereka merindui saat berada di dalam rahim ibu!

Terdapat banyak keadaan yang boleh menjadi punca masalah bayi terjaga tengah malam. Antaranya adalah:

#1. Rasa lapar dan ingin menyusu

Bayi lapar adalah penyebab paling biasa apabila bayi mengalami masalah tidur dan terjaga tengah malam. Ini kerana susu ibu dapat dicerna dengan mudah oleh bayi sehingga perutnya dapat merasa lapar lebih cepat. Apabila lapar, si manja cenderung menangis untuk mengatakan keinginannya.

#2. Keadaan bayi kurang sihat

Tidak hanya kerana ingin menyusu, bayi yang kurang sihat atau demam kuning (jaundice) tinggi boleh membuatkan badan mereka merasa tidak selesa sehingga terpaksa terjaga tengah malam.

#3. Ingin dalam dakapan ibu

Setiap ibu memiliki bau yang boleh membuatkan bayi rasa lebih tenang. Kadang kala bayi enggan tidur kerana mahu berada dalam dakapan anda. Malah mereka boleh berjaga-jaga kerana takut ditinggalkan walaupun sudah tengah malam.

Kesimpulannya, tumbesaran dan perkembangan otak bayi amat berkaitan rapat dengan kualiti tidur. Kebiasaannya, bayi baru lahir menghabiskan lebih banyak waktu dengan tidur.

Akan tetapi waktu tidur ini akan berkurangan apabila usia mereka semakin meningkat. Mereka juga akan melalui tidur malam yang panjang tanpa masalah. Justeru, sabar ya ibu ayah!

Semoga bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Memilih Keperluan Bayi Bakal Lahir, Ikutkan Hati Semua Nak Beli – Tips Jimat & Lengkap

Baca juga: Perkembangan Bayi 5 Minggu, Waktu Inilah Sesuai Untuk Tetapkan Rutin Si Manja

Baca juga: Bersalin Bayi Lelaki Terbukti Lebih Sakit Berbanding Bayi Perempuan! – Kajian