Selain dari memenuhi keperluan asas, bermain dengan bayi anda juga langkah penting dalam perkembangan mereka. Ini kerana masa bermain memberikan peluang untuk mendorong peningkatan deria sentuhan, bau, pendengaran, penglihatan dan deria rasa pada bayi anda.
Apabila si manja dapat melatih deria-deria ini, secara tidak langsung ia akan merangsang perkembangan fizikal dan mentalnya. Tetapi ini tidak bermaksud setiap saat ibu ayah perlu bermain dengan mereka dan memenuhi masa dengan aktiviti pembelajaran baharu.
Slowly, but surely. Okay?
Mengapa penting untuk bermain dengan bayi?
Penglibatan ibu ayah itu paling penting ya!
Ibu ayah jangan berfikiran bahawa bayi tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Bahkan sebenarnya, bayi juga mempunyai potensi yang amat tinggi jika didedahkan dengan pelbagai perkara yang bermanfaat seawal usia mereka.
Walaupun mereka tidak dapat memberikan respon seperti orang dewasa, namun setiap bahagian di otak mereka sedang memproses segala maklumat yang dicurahkan kepadanya dan membina semula imej-imej tersebut menjadi gambaran, dan akhirnya bertahan dalam memori mereka.
Memang benar, mereka sering menyusu dan tidur sahaja pada awal-awal kelahiran, oleh itu ibu ayah perlulah memanfaatkan masa ketika mereka sedang berjaga untuk mengukuhkan kemesraan bersama dan menggilap keupayaan mereka yang sedia ada.
Kajian menunjukkan bahawa interaksi ibu ayah dengan bayi menjadikan bayi lebih responsif terhadap persekitaran dan dapat belajar dengan lebih cepat. Memetik kata seorang pakar kanak-kanak, “Ibu bapa adalah permainan pertama dan paling digemari oleh bayi!”
Tak tahu cara untuk bermain dengan si manja?
Jangan risau, di bawah ini kami menyediakan beberapa cara ibu bapa boleh buat untuk bermain dengan bayi. Jom semak apakah cara-caranya!
10 cara bermain dengan bayi baru lahir hingga bayi berusia 3 bulan
#1. Main bersemuka
Menurut kajian, bayi sangat suka tengok muka orang. Malah, mereka lebih suka pandang muka ibu ayah mereka berbanding dengan mainan lain.
Apabila ibu bapa bermain dengan bayi secara bersemuka (duduk depan anak) ini tidak hanya akan menimbulkan rasa minat yang lebih dan menyebabkan bayi anda rasa gembira, malah ia juga cara bonding yang baik untuk menjalinkan ikatan.
Bayi suka tengok:
- Muka tersenyum
- Muka yang ada mata
- Muka yang sedang memandang mereka mata ke mata
- Muka ibu bapa dan penjaga mereka
- Muka yang bertindak balas
#2. Bersembanglah dengan bayi anda! Jangan pula membebel panjang sangat ya. Pening mereka nanti.
Tangkapkan perhatian bayi anda dengan menggunakan suara pic tinggi dan dengan nada suara berlagu. Cuba bersembang dengan bayi anda apabila anda sedang menukarkan bajunya, memberi makanan, dan apabila sedang memandikannya.
Biarpun bayi anda tidak faham apa yang anda sedang katakan, ini masih mendatangkan banyak manfaat.
Kajian mendapati bercakap sambil bermain dengan anak sekurang-kurangnya 3 jam sehari semasa bulan pertama, boleh menolong otak anak untuk memproses bunyi dan membezakan suara ibu bapa!
#3. Tiru aksi dan celoteh mereka
Apabila ibu bapa meniru bunyi, rupa wajah dan pergerakkan bayi mereka, penukaran ulang alik ini akan mengajar anak cara berkomunikasi. Dengan memberi tindak balas semasa bermain dengan bayi anda, ini juga menunjukkan bahawa dia adalah orang yang penting di dalam hidup anda.
Cubalah buatnya nanti. Pasti anda akan terhibur mendengar si kecil itu terkekeh-kekeh ketawa keriangan.
#4. Menari sambil menggerak-gerakkan tangan mereka
Satu cara lain yang kita selalu tengok ibu buat adalah menari sambil bermain dengan bayi mereka. Ia bagaikan perkara biasa untuk mengayunkan bayi sambil bernyanyi dan menari.
Tetapi jangan hayun terlalu kuat sehingga menggoncang otak bayi ya! Sebenarnya, menari sambil bermain dengan bayi amat bagus. Anda juga boleh meletakkan bayi anda di atas katil dan menggerakkan tangannya sambil menyanyi. Ini adalah cara seronok untuk menggalakkan perkembangan motor bayi anda.
#5. Main mainan merangsang deria
Apabila bermain dengan bayi anda, berikanlah mainan yang boleh merangsangkan perkembangan visual seperti baby mobile yang berwarna cerah, cermin, ataupun majalah. Biarkan bayi anda sentuh dan mengenali tekstur yang berlainan. Play gym bayi adalah pilihan yang paling sesuai untuk tujuan ini.
Selain itu, ibu bapa juga boleh memilih untuk membaca dari buku bergambar, tetapi pilihlah jenis yang berwarna-warni. Selain membuatkan baji teruja dengan warna yang terang, mereka juga boleh belajar mendorong deria yang ada.
#6. Buat tummy time atau meniarap
Meniarap juga salah satu cara bermain dengan bayi yang banyak manfaatnya kerana ia penting untuk perkembangan motor seperti — berguling, duduk, merangkak, berjalan, dan sebagainya.
Ibu bapa boleh layari di sini untuk melihat aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan bersama bayi semasa sesi meniarap.
#7. Membaca buku cerita
“Bayi baru lahir takkan dah kena baca buku cerita? Tak awal lagi ke?”
Ibu ayah sekalian, tiada istilah ‘awal’ untuk anda mula membacakan buku cerita atau apa jua bahan bacaan kepada anak-anak anda yang baru lahir ya. Seperti yang diberitahu di atas, walaupun mereka belum dapat memahami anda sepenuhnya, namun tabiat membaca itu sendiri akan dapat dipupuk menerusi pendekatan ini.
Nanti mereka dah besar, maka terlahirkan perasaan ingin tahu serta lebih menghargai serta mencintai ilmu yang bermanfaat. Percayalah!
#8. Biarkan bayi anda mencapai sesuatu
Ibu ayah juga boleh cuba bermain dengan bayi anda dengan memperkenalkan pelbagai jenis mainan atau barangan yang berada di sekitar mereka. Ibu ayah cuba untuk biarkan mereka mencapai permainan yang digantung ataupun yang diletakkan berhampiran si manja.
Ini secara tidak langsung boleh melatih bayi anda untuk mengkoordinasikan tangan, mata, serta kaki di samping belajar untuk menghiburkan diri mereka sendiri.
#9. Melakukan ekspresi muka dan suara
Bahasa bayi memang tidak dinafikan sukar untuk difahami. Tapi ini tidak bermakna anda perlu memberi syarahan yang membosankan pula kepada mereka. Mereka masih kecil, oleh itu kita sebagai ibu ayah dan golongan dewasa perlulah melayan mereka.
Apa yang anda boleh lakukan adalah mempelbagaikan nada serta kenyaringan suara anda.
Contohnya, buat suara kecil, suara besar, suara kelakar, suara menangis, suara seram-seram sikit, dan sebagainya. Tapi jangan pula menjerit depan muka bayi anda, kesian nanti terkejut!
Di samping itu, anda juga boleh melakukan aksi-aksi menarik di hadapan mereka. Barulah si kecil terhibur!
Melalui cara ini, anak anda turut akan belajar mengenalpasti emosi dan menguatkan daya konsentrasinya. Selain itu, ia tentunya akan merapatkan hubungan anda berdua.
Apa yang penting, ibu bapa kenalah meluangkan masa untuk bermain dengan bayi. Selain merapatkan hubungan bonding kalian, aktiviti-aktiviti ini amat bagus untuk perkembangan anak-anak anda.
Aktiviti bayi setiap hari
Ibu ayah boleh banyakkan membaca buku kanak-kanak kepada mereka. Luangkan masa untuk melakukan bonding dan bermain muka atau ba-cak. Geletek badan bayi dan gerakkan permainan yang berwarna cerah perlahan-lahan di hadapan matanya. Nyanyikan lagu dan selalu bersembang dengan anak sambil anda melakukan kerja.
Ibu ayah juga boleh menggunakan play gym mat apabila bermain dengan bayi ketika berbaring. Mainan yang bergerak dan tergantung dari atas atau yang diletakkan di tepi akan menarik minat si manja dan menggalakkan bayi untuk berpaling.
Apabila dia semakin besar, dia pasti akan ikut semua pergerakkan ibu dengan matanya.
Tahukah anda bermain sambil baring akan membantu si manja membina otot teras yang penting untuk bergolek nanti?
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan juga untuk tidak menggunakan tablet atau handphone apabila melakukan aktiviti meniarap. Kajian membuktikan pendedahan awal kepada teknologi mempunyai kesan negatif terhadap perkembangan anak dari segi bahasa, kemahiran motor, perhatian, sosial, dan lain-lain.
Kesan positif apabila bermain dengan bayi
Cara bermain dengan bayi anda yang baru lahir sehingga lingkungan 3 hingga 6 bulan akan memastikan dia gembira dan dapat terlibat dalam aktiviti interaktif, serta menyumbang kepada perkembangan si manja. Biarpun bermain dengan cara yang mudah, ia sudah memadai untuk mengajar bayi tentang tubuhnya, persekitarannya dan membina kemahiran baharu.
Bayi pada usianya mencecah 3 bulan mereka sudah menguasai objek yang berada di tangan untuk mencapai dan mengenggam. Dengan bermain secara tidak lansung dapat meransang deria mereka melalui sentuhan, pendengaran, penglihatan dan sebagainya. Mainan untuk bayi haruslah mempunyai ciri dan tekstur yang bersesuaian. Walaupun begitu, pergerakan mereka masih lagi terbatas dan sangat terhad.
Tips memilih mainan untuk bayi
Ada beberapa hal yang harus diperhatikan supaya mainan yang dipilih dapat merangsang pertumbuhan otak, motor halus, pendengaran dan penglihatan bayi yang optimum.
- Pilih mainan dengan warna cerah yang menarik tak mudah luntur dan selamat digigit.
- Periksa mainan bayi jika terdapat benang yang seolah hendak tertanggal kerana bimbang jika ia boleh tersangkut pada tubuh bayi.
- Jika mainan tersebut mudah digigit, cari yang bersaiz besar dari mulut bayi supaya ia tidak tertelan semasa digigit.
- Pilih mainan yang tidak tajam di setiap sudutnya.
- Jangan pilih mainan yang terlalu tinggi kandungan bahan kimia, dikhuatiri membahayakan bayi anda.
Semoga artikel ini dapat memberikan manfaat buat ibu ayah baharu di luar sana.
Artikel ini diterbitkan semula dari theAsianparent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: 8 Aktiviti Bonding Ayah & Anak Perempuan Yang Anda Boleh Cuba
Baca Juga: 20 Tip untuk Memastikan Anak-Anak Anda Kekal Sihat, Aktif dan Terhibur
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!