Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Wanita yang mengalami kejadian malang dan menyayat hati apabila dibelasah suami ketika hamil hingga koma akibat kecederaan teruk di tempurung kepala akhirnya akan melahirkan bayi secara ceasarean pada 1 Disember ini seperti yang dirancang doktor.
Ketika kejadian kandungannya masih baru dan kini sudah mencecah kira-kira 35 minggu. Ajaibnya, bayi berkenaan membesar seperti biasanya walaupun ibunya hanya bergantung kepada susu khas saja untuk makan.
Adik kepada wanita ini meluahkan rasa, seakan ia detik terakhir bersama kakaknya kerana doktor sudah menerangkan risiko pembedahan itu
termasuklah boleh menyebabkan kematian memandang wanita berkenaan akan dibius penuh.
Wanita hamil dibelasah suami bakal lahirkan bayi 1 Disember ini
Siapa saja yang tidak rasa kesal apabila kakak tersayang yang dulunya sihat kini terlantar sedemikian rupa. Wanita ini meluahkan rasa seakan-akan kakaknya akan pergi meninggalkannya.
Beliau dan keluarga yang menjaga wanita itu sejak koma akibat perbuatan suami durjana wanita berkenaan mengakui bukan mudah bagi mereka menerima suratan ini.
Bayi yang dikandung kakak benar-benar kuat.
“Susu makanan utama kakak. Kuatnya baby membesar dalam kandungan walaupun hanya susu selama 9 bulan. baby akan jadi anak yang soleh dunia akhirat berbakti kepada umi yang sakit.”
Semoga urusan pembedahan wanita dan bayinya yang kuat ini berjalan dengan lancar dan diberi kemudahan untuk kedua-duanya.
Bius penuh atau separuh badan kedua-duanya ada risiko
Menurut Harian Metro, yang memetik Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Nur Azurah Abdul Ghani, setiap pembedahan perlu diberi bius sama ada penuh (general anaesthesia) atau bius separuh badan seperti spinal atau epidural.
Pemberian bius itu juga ada komplikasinya seperti kesukaran pernafasan dan ketidaknormalan denyutan jantung serta sakit kepala.
Selain itu, pembedahan kedua dan seterusnya lazimnya mengambil masa yang lebih lama disebabkan pelekatan pundi kencing dan usus di dalam abdomen yang menyukarkan proses pembedahan.
Risiko bersalin secara caesar lebih tinggi berbanding kelahiran biasa
Lazimnya, faktor utama si ibu perlu menjalani pembedahan Caesarean Section kerana ada sesuatu yang menghalang atau tidak mengizinkan kelahiran normal.
Ia termasuk keadaan bayi dikandung yang tidak membenarkan kelahiran secara normal, contohnya keadaan uri berada di bawah yang mana keadaan itu boleh menghalang bayi melalui faraj selain menyebabkan pendarahan yang banyak.
Ibu hamil yang mengalami tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan mula mengalami sakit kepala atau muntah-muntah juga perlu menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi.
Perlu segara jika degupan jantung bayi tidak normal
Sekiranya degupan jantung bayi sudah tidak berada paras normal, memerlukan kelahiran secara pembedahan dengan segera kerana ia adalah cara yang paling cepat dan selamat untuk kedua- duanya.
Ibu yang sudah dua kali menjalani pembedahan caesarean juga tidak dibenarkan bersalin secara biasa kerana dikhuatiri jahitan yang lepas tidak dapat menanggung kontraksi.
Menurut laporan sana, tidak dapat dinafikan risiko pembedahan caesarean adalah lebih tinggi berbanding kelahiran biasa.
Tumpah darah adalah lebih banyak ketika pembedahan caesarean namun doktor akan menggunakan ubat-ubatan untuk mengecutkan rahim bagi mengurangkan pendarahan.
Risiko kecederaan pada usus dan pundi kencing juga boleh berlaku terutama mereka yang menjalani pembedahan kedua dan ketiga.
Bakal tinggalkan parut pada rahim
Pembedahan caesarean juga akan meninggalkan parut pada rahim. Ketika proses implantasi, kadang-kadang janin akan tertanam di parut yang lama sekali gus menyebabkan uri terbentuk dan terlekat di parut yang lama.
Keadaan itu katanya akan menyebabkan uri terlekat di bahagian bawah rahim (keadaan yang dipanggil placenta previa). Adakalanya uri akan terbenam ke dalam otot rahim itu sendiri, yang mana sukar untuk ditanggalkan ketika pembedahan.
Ia menyebabkan pembedahan untuk membuang rahim perlu dilakukan bagi mengelak tumpah darah yang berterusan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit foto: ziahzara
Baca juga: Kajian: Anak Yang Lahir Cara Pembedahan Caesar Berisiko Bersalin Cara Sama Juga?
Baca juga: 3 Fakta Bersalin Caeser Yang Ramai Tak Tahu, Ia Bukan “Jalan Pintas” Nak Bersalin!
Baca juga: Bahaya Bersalin Normal Selepas Caesar, Ibu Berisiko Mengalami Masalah Rahim Pecah