Bila bercakap tentang susu, pasti semua akan bersetuju yang ia berwarna putih dan ada juga yang keliru apabila ada cairan yang keluar semasa hamil, tetapi berwarna ‘clear’. Tetapi, anda mungkin akan lebih terkejut sepanjang menyusukan badan kerana warna susu ibu boleh datang dalam pelbagai warna!
Mungkin ada yang fikir, logik ke susu badan boleh berubah warna? Ya, ternyata warna susu ibu tidak hanya berwarna putih tetapi baca dulu penjelasannya terlebih dahulu.
Ada Apa Dengan Warna Susu Ibu?
Jika ibu menyusukan anak secara direct feeding, mungkin ibu tidak akan perasan perubahan warna susu yang diberikan kepada bayi. Namun sekiranya anda memerah atau menggunakan pam, anda akan perasan perbezaan warnanya pada sesetengah waktu.
Malahan, ada juga warna susu yang kelihatan jelas berwarna selain putih yang menyebabkan ibu mulai risau dan terfikir, “Boleh ke beri bayi susu ni?”.
5 Jenis Warna Susu Ibu dan Penjelasannya
Warna susu ibu mempunyai maksud tersendiri, dan ini perkara penting yang ibu perlu tahu supaya ibu tidak buang susu tersebut! Ini penjelasan dari pakar nutrisi tentang warna susu ibu yang berlainan.
#1 Warna Biru/Clear
Susu berwarna biru atau kejernihan merupakan susu foremilk, atau lebih mudah disebut sebagai susu awal yang keluar semasa menyusu. Susu foremilk lebih cair serta rendah lemak berbanding dengan hindmilk.
Selalunya jika payudara bengkak, ibu mungkin perasan susu berwarna biru ini akan keluar terlebih dahulu sebelum keluarnya berwarna putih.
Ia lebih rendah lemak berbanding susu berwarna putih yang akan muncul pada penghujung sesi mengepam susu.
Usah risau, bayi masih boleh minum susu ini. Susu foremilk ini adalah untuk melegakan dahaga baby.
#2 Warna Kuning
Susu ibu warna kuning biasanya adalah susu kolostrum, atau susu pertama yang dihasilkan selepas melahirkan anak. Susu kolostrum ini sangat baik diberi kepada bayi dan juga sangat berkhasiat untuk antibodi si manja tau!
Susu kuning juga mungkin tanda pemakanan ibu sebelumnya seperti makanan tinggi beta karotene seperti lobak merah dan labu. Ada juga susu ibu yang tukar kepada warna kuning setelah dibekukan.
#3 Warna Hijau/Biru
Jangan terkejut jika nampak susu jadi hijau! Ini boleh berlaku sekiranya anda makan terlalu banyak sayuran berwarna hijau seperti bayam, seaweed, kailan atau mempunyai pewarna makanan hijau.
Ini juga boleh terjadi akibat tindakbalas tubuh ibu, yang bertindak sebagai mekanisme pertahanan untuk bayi yang baru selesai vaksin.
#4 Warna Merah/Pink
Susu badan warna merah juga kerap berlaku, yang berlaku kerana mengambil makanan yang berwarna merah seperti ubi-ubian atau mengandungi pewarna merah dengan terlalu banyak.
Tetapi biasanya susu ibu berwarna pink atau merah ini disebabkan luka pada puting ibu yang menyebabkan susu bercampur dengan darah. Sebaiknya, rawat luka terlebih dahulu supaya luka tidak menjadi lebih teruk semasa pam susu nanti.
#5 Warna Hitam/Coklat
Warna hitam atau coklat ini jarang berlaku dan ia merupakan hasil dari darah yang lama dalam saluran ataupun ubat-ubatan yang ibu amalkan.
Persoalannya, adakah susu berlainan warna ini selamat untuk diambil untuk bayi? Jawapannya adalah ya, ia selamat untuk diminum oleh anak.
Namun sekiranya ibu mengamalkan ubat tertentu, pastikan ubat tersebut selamat untuk penyusuan badan. Ini kerana ada sesetengah ubat tidak sesuai untuk penyusuan dan boleh mempengaruhi bayi.
Sekiranya anda risau akan perubahan warna ini, anda masih disarankan untuk terus pam susu mengikut masanya supaya bekalan susu tidak berkurangan ya!
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Facebook Dietitician Fizah Sobri, Healthline
Kredit gambar: Mother of Microbes
Baca juga: Salah Menyimpan Susu Badan Boleh Jadi Berbahaya Untuk Bayi, Jauhi 9 Kesalahan Ini!