Air Gula Untuk Ibu Mengandung: Kenapa Perlu Minum Air Gula, Prosedur & Persediaan

Air gula untuk ibu mengandung atau ujian mOGTT adalah kaedah untuk menilai tindak balas badan terhadap glukosa dan mengesan diabetes

Kehamilan adalah fasa penting dalam kehidupan seorang wanita. Sepanjang tempoh ini, pelbagai ujian dan pemeriksaan dijalankan bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi. Salah satu ujian yang sering dijalankan ialah ujian air gula untuk ibu mengandung atau lebih dikenali sebagai Oral Glucose Tolerance Test (OGTT).

Apa Itu Air Gula Untuk Ibu Mengandung

Air gula adalah ujian untuk mengesan diabetes gestasi atau diabetes semasa kehamilan. Ia dilakukan kerana sesetengah ibu mungkin mengalami kandungan gula dalam darah yang tinggi disebabkan oleh perubahan hormon semasa hamil, walaupun mereka tidak mempunyai sejarah diabetes sebelum ini.

Diabetes gestasi boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi jika tidak dikesan dan diuruskan dengan baik.

Kenapa Perlu Minum Air Gula Ketika Hamil?

1. Mengesan Diabetes Gestasi

Diabetes gestasi berlaku apabila hormon kehamilan mengganggu tindakan insulin, iaitu hormon yang mengawal paras gula darah. Akibatnya, paras gula boleh meningkat dan menyebabkan risiko kepada ibu dan bayi.

Ramai ibu tidak menyedari mereka mempunyai diabetes gestasi kerana ia jarang menunjukkan tanda-tanda awal. Ujian air gula dapat mengesan masalah ini sebelum ia menjadi lebih serius.

2. Mencegah Risiko Ibu dan Bayi

Jika diabetes gestasi tidak dikesan dan dirawat, ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi seperti:

  • Makrosomia: Bayi menjadi terlalu besar, menyukarkan proses kelahiran.
  • Risiko kelahiran pramatang: Paras gula yang tidak terkawal boleh menyebabkan bayi lahir lebih awal.
  • Preeklampsia: Ibu mungkin mengalami tekanan darah tinggi, yang boleh mengancam nyawa jika tidak dikawal.
  • Kelahiran melalui pembedahan: Risiko kelahiran secara pembedahan (C-section) lebih tinggi jika bayi bersaiz besar.

3. Membantu Ibu Merancang Penjagaan Kehamilan

Sekiranya keputusan ujian menunjukkan ibu mengalami diabetes gestasi, doktor akan memberikan panduan khusus seperti:

  • Mengubah pola pemakanan dengan mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat ringkas.
  • Pemantauan gula darah harian di rumah.
  • Aktiviti senaman ringan seperti berjalan untuk membantu mengawal paras gula.

Dengan langkah-langkah ini, kebanyakan ibu boleh melalui kehamilan sihat dan melahirkan bayi tanpa komplikasi.

Adakah Ibu Mengandung Wajib Minum Air Gula?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan memo agar para ibu hamil melakukannya sekitar minggu ke-24 sehingga 28 kehamilan. 

Siapa Yang Perlu Minum Air Gula

Ujian air gula biasanya disarankan untuk semua ibu mengandung, terutama bagi yang mempunyai faktor risiko seperti:

  • Sejarah keluarga yang menghidap diabetes.
  • Ibu yang mengalami kenaikan berat badan berlebihan sepanjang kehamilan.
  • Pernah melahirkan bayi dengan berat lebih daripada 4 kilogram.
  • Umur lebih 35 tahun ketika hamil.
  • Mempunyai sejarah diabetes gestasi dalam kehamilan terdahulu.

Ujian ini kebiasaannya dilakukan pada minggu ke-24 hingga minggu ke-28 kehamilan. Namun, bagi ibu yang berisiko tinggi, doktor mungkin menyarankan ujian lebih awal.

Proses Ujian Air Gula

1. Persediaan Minum Air Gula

Ibu mengandung perlu melakukan persediaan sebelum menghadiri ujian air gula. Berikut adalah beberapa perkara penting:

  • Berpuasa selama 8 hingga 12 jam sebelum ujian (biasanya bermula dari malam sebelumnya). Air kosong sahaja dibenarkan.
  • Elakkan mengambil makanan atau minuman manis sebelum tempoh puasa.
  • Maklumkan kepada doktor jika sedang mengambil sebarang ubat, kerana ia mungkin mempengaruhi keputusan ujian.

2. Langkah-Langkah Ujian

Ujian air gula dijalankan dalam beberapa peringkat:

  • Pengambilan darah pertama: Darah akan diambil ketika ibu masih berpuasa untuk mengukur tahap gula dalam darah.
  • Minum air gula: Ibu akan diberikan air gula yang mengandungi glukosa (sebanyak 75 gram) untuk diminum dalam tempoh tertentu, biasanya dalam masa 5 hingga 10 minit.
  • Pengambilan darah kedua dan ketiga: Selepas 1 dan 2 jam, sampel darah akan diambil lagi untuk melihat bagaimana badan memproses gula tersebut.

Bagaimana Rasa Air Gula?

Ramai ibu mengandung mengadu bahawa air gula terasa manis dan sedikit memualkan. Sesetengah ibu mungkin merasa tidak selesa selepas meminumnya, seperti loya atau pening, tetapi keadaan ini biasanya sementara.

Untuk mengurangkan rasa mual, berikut tips minum air gula:

  • Minum air gula secara perlahan-lahan tetapi tetap menghabiskannya dalam tempoh yang ditetapkan.
  • Duduk dan rehat selepas minum bagi mengelakkan pening.

Keputusan Ujian Air Gula

Keputusan ujian akan menunjukkan sama ada tahap gula dalam darah ibu berada dalam julat normal atau tidak. Berikut adalah bacaan normal bagi ujian air gula:

  • Bacaan puasa: Kurang daripada 5.1 mmol/L
  • Bacaan 1 jam selepas minum air gula: Kurang daripada 10.0 mmol/L
  • Bacaan 2 jam selepas minum air gula: Kurang daripada 8.5 mmol/L

Jika bacaan melebihi julat normal, ibu mungkin disahkan mengalami diabetes gestasi. Dalam kes ini, doktor akan menyarankan langkah-langkah kawalan gula, seperti diet seimbang, senaman ringan, atau ubat jika perlu.

Kenapa Sakit Kepala Selepas Minum Air Gula?

Sakit kepala selepas menjalani ujian air gula bukanlah perkara luar biasa bagi sesetengah ibu mengandung. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti perubahan paras gula darah, tindak balas badan terhadap glukosa, atau keadaan fizikal semasa ujian.

1. Perubahan Mendadak Paras Gula Darah

Selepas minum air gula, paras gula darah meningkat dengan cepat, dan badan akan cuba menstabilkannya dengan menghasilkan lebih banyak insulin. Pada sesetengah individu, proses ini boleh menyebabkan paras gula turun dengan cepat (hipoglisemia reaktif) selepas beberapa jam.

  • Kesan: Perubahan mendadak ini boleh menyebabkan simptom seperti sakit kepala, pening, keletihan, dan rasa loya.
  • Cara mengatasinya: Selepas ujian selesai, makan snek ringan yang kaya dengan protein (seperti roti dengan mentega kacang) untuk menstabilkan paras gula.

2. Dehidrasi

Dehidrasi boleh berlaku kerana ibu mungkin berpuasa sebelum ujian dan hanya minum air kosong. Selain itu, air gula yang manis juga boleh menyebabkan rasa haus. Kekurangan cecair dalam badan boleh mencetuskan sakit kepala atau pening.

  • Kesan: Badan yang kekurangan air akan menyempitkan saluran darah, yang boleh menyebabkan sakit kepala.
  • Cara mengatasinya: Minum air kosong yang mencukupi selepas ujian untuk memastikan badan kekal terhidrat.

3. Tindak Balas Glukosa Terhadap Hormon Badan

Semasa kehamilan, badan mengalami perubahan hormon yang boleh mempengaruhi cara glukosa diproses. Pengambilan air gula dalam jumlah tinggi boleh menyebabkan ketidakseimbangan sementara dan mencetuskan sakit kepala.

  • Kesan: Hormon yang tidak seimbang boleh menyebabkan sakit kepala, terutama jika ibu sudah sensitif terhadap perubahan hormon.
  • Cara mengatasinya: Berehat dan elakkan stres selepas ujian. Ini membantu badan pulih daripada sebarang ketidakselesaan.

4. Berpuasa Lama

Jika tempoh puasa terlalu panjang sebelum ujian, otak mungkin tidak mendapat glukosa yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik. Ini boleh mencetuskan sakit kepala atau simptom seperti pening dan keletihan.

  • Kesan: Kekurangan tenaga semasa puasa boleh mengganggu fungsi badan dan menyebabkan sakit kepala.
  • Cara mengatasinya: Setelah ujian selesai, segera makan makanan berkhasiat untuk memulihkan tenaga dan mengelakkan penurunan gula secara mendadak.

Jika Sangkut Minum Air Gula, Apa Langkah Seterusnya?

1. Ujian BSP 

BSP merupakan singkatan yang merujuk kepada profil gula dalam darah, ataupun lebih dikenali sebagai blood sugar profile. Ujian BSP dilakukan Menggunakan glukometer di rumah atau klinik bagi memantau tahap gula ibu mengandung.

Ujian BSP dilakukan 2 minggu sekali sebanyak 4 kali sehari sehingga anda bersalin. Setiap bacaan yang diperoleh hendaklah direkodkan dalam buku pink bagi memudahkan jururawat dan doktor.

2. Temu Janji Dengan Pakar Pemakanan

Bagi ibu yang sangkut minum air gula dan GDM, anda mungkin diberikan tarikh temu janji dengan pakar pemakanan.

Pemakanan memainkan peranan penting dalam mengawal paras gula dalam darah. Pakar pemakanan atau doktor akan menyarankan:

  • Elakkan karbohidrat ringkas seperti gula, kek, dan minuman bergula.
  • Fokus pada makanan rendah glisemik seperti sayur-sayuran, bijirin penuh, dan kekacang.
  • Makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap untuk memastikan paras gula stabil.

Contoh hidangan: Nasi beras perang dengan lauk berprotein tinggi seperti ayam panggang bersama sayuran.

3. Rawatan Perubatan (Jika Perlu)

Jika perubahan gaya hidup dan pemakanan tidak mencukupi untuk mengawal gula, doktor mungkin akan mengesyorkan:

  1. Ubat oral seperti metformin untuk mengawal gula.
  2. Suntikan insulin jika paras gula sangat tinggi dan tidak dapat dikawal dengan diet sahaja.

Kesimpulannya, ujian minum air gula untuk ibu mengandung adalah pentng bagi mengelakkan masalah diabetes gestasi  menjejaskan kesihatan ibu dan bayi.

Walaupun proses ujian mungkin memerlukan kesabaran, ia adalah langkah pencegahan penting untuk mengelakkan komplikasi semasa kehamilan dan selepas bersalin.

Bagi ibu yang disahkan mengalami diabetes gestasi, jangan bimbang! Dengan pengurusan yang baik seperti pemantauan gula, diet seimbang, dan aktiviti fizikal ringan, kebanyakan ibu dapat menjalani kehamilan dengan lancar dan melahirkan bayi yang sihat.

Semoga artikel ini bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Baca juga: Minum Air Gula Atau Ujian MGTT: Tips Lulus Minum Air Gula Buat Bakal Ibu, Elak Sangkut GDM

Baca juga: 10 Petua Turunkan Gula Dalam Darah Dengan Pantas & Berkesan, Ibu Yang Ada GDM Wajib Cuba!

Baca juga:  Minum Air Gula Selepas Bersalin (Ujian MOGTT): Bila Perlu Buat, Bacaan Yang Normal & Tips

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!