Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab untuk membenarkan glukosa dalam darah memasuki sel, memberikan tenaga untuk berfungsi. Kekurangan fungsi insulin yang berkesan boleh menyebabkan masalah diabetes terhadap seseorang.
Hormon adalah utusan kimia yang mengarahkan sel atau tisu tertentu untuk bertindak dengan cara tertentu yang menyokong fungsi tertentu dalam badan. Justeru insulin adalah penting untuk seseorang meneruskan hidup.
Fungsi insulin pada manusia
Menurut portal Myhealth, insulin adalah hormon yang dirembeskan oleh sel beta pankreas. Insulin disimpan di dalam sel beta pankreas yang dikenali sebagai Islet of Langerhans. Antara fungsi insulin di dalam badan manusia adalah;
- Mengawal atur pengambilan gula dalam darah dan penggunaan gula dalam darah
- Mengawal atur penghasilan protein dan penyimpanan trigliserida
Fungsi insulin dalam badan adalah mengawal keseimbangan paras gula dalam darah daripada menjadi terlalu tinggi (hyperglycemia) atau menjadi terlalu rendah (hypoglycemia). Paras insulin dan paras gula di dalam darah mestilah seimbang.
Selepas makan, karbohidrat akan ditukarkan kepada gula ringkas (simple sugars) dan ini menyebabkan paras gula di dalam darah meningkat. Apabila paras gula di dalam darah meningkat, insulin akan dirembes oleh pankreas.
Fungsi insulin bertindak merangsang sel-sel badan (otot dan sel-sel lemak) menyerap gula yang terdapat dalam darah untuk disimpan sebagai sumber tenaga atau glikogen dan insulin akan bertindak untuk merencat pemecahan glikogen kepada gula di dalam hati ke dalam darah sehingga paras gula di dalam darah kembali normal.
Fungsi insulin dalam badan
Apabila paras gula dalam darah menurun, fungsi insulin dalam badan akan merangsang pankreas untuk merembes hormon glukagon.
Hormon glukagon bertindak menukarkan gula kompleks yang disimpan dalam bentuk glikogen di dalam hati dan tisu-tisu otot, ke dalam bentuk gula ringkas sehingga paras gula di dalam darah kembali normal.
Paras insulin mempengaruhi penghasilan dan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein di dalam badan.
Insulin terlibat dalam penyerapan nutrien-nutrien ini oleh sel-sel badan dan digunakan untuk pelbagai kegunaan.
Diantara fungsi insulin adalah membekalkan tenaga kepada otot-otot badan, membaikpulih tisu-tisu otot yang telah rosak, dan membekalkan membran sel dengan asid lemak yang diperlukan.
Ibu hamil perlu minum air gula sebagai ujian insulin
Menurut Dr Muhammad Izzat, bagi pesakit diabetes, insulin menjadi kurang reaktif (rintang insulin) ataupun kurang dihasilkan yang menyebabkan ia tidak dapat mengawal paras gula dalam darah,” katanya.
Tambahnya, apabila seorang ibu hamil diminta melalui ujian minum air gula, ia adalah masa untuk menguji insulin mereka boleh berfungsi atau tidak.
“Jika fungsi insulin dalam badan adalah baik, selepas dua jam minum air gula, paras gula dalam darah masih berada pada julat normal. Sebaliknya jika insulin bermasalah, paras gula akan meningkat dan anda mungkin mempunyai diabetes ketika hamil.
“Ibu hamil berisiko tinggi menghidap diabetes ketika mengandung dan atas sebab itu setiap wanita hamil yang dikesan berisiko perlu menjalani ujian minum air gula demi kesihatan diri juga bayi di dalam kandungan,” katanya.
Kesan jika paras gula tidak terkawal
“Amat penting untuk setiap ibu hamil memastikan paras glukosa di dalam darah sentiasa terkawal. Jika paras gula di dalam darah ibu kekal tinggi dan tidak terkawal, janin akan memberikan respons kepada paras gula yang tinggi itu dengan menghasilkan lebih banyak insulin.
Akibatnya, janin akan membesar secara berlebihan di dalam rahim.
“Keadaan itu akan menyebabkan ibu diminta untuk bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan, juga terdapat risiko bersalin secara pembedahan jika saiz janin besar ataupun kegagalan proses induksi,” katanya.
Menurutnya, jika bersalin secara normal, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran dan kecacatan saraf mungkin boleh berlaku. Risiko kematian bayi di dalam rahim secara mengejut juga akan meningkat sekiranya paras gula di dalam darah tidak dikawal.
“Bayi yang menghasilkan lebihan hormon insulin juga boleh mengalami masalah paras gula rendah selepas kelahiran. Oleh itu, bayi perlu dimasukkan ke dalam wad rawatan rapi neonatal untuk pemerhatian pakar.
“Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai diabetes juga mempunyai risiko menghidap diabetes dan masalah kegemukan apabila meningkat dewasa,” ujarnya.
Tambahnya, oleh itu, demi kesihatan dan keselamatan, setiap ibu hamil perlu mengawal paras gula di dalam darah sepanjang proses kehamilan dan kelahiran untuk mengurangkan risiko serta komplikasi pada ibu dan juga bayi.
Mengapa perlu ambil suntikan insulin?
Terganggunya hormon insulin adalah keadaan yang cukup berbahaya, sehingga anda memerlukan hormon buatan iaitu suntikan insulin. Keperluan ini biasanya terjadi pada pesakit kencing manis.
Berikut beberapa keadaan yang membuat seseorang memerlukan suntikan insulin:
1. Kerosakan sel beta pada pankreas
Semakin banyak produksi insulin akibat adanya resistensi, maka sel beta pankreas akan bekerja lebih kuat. Akibatnya, ketika sel tersebut rosak, maka pankreas tidak mampu lagi menghasilkan hormon insulin dengan baik.
Justeru seseorang memerlukan bantuan melalui suntikan insulin.
2. Tahap sensitiviti insulin rendah
Ketika sensitiviti terhadap insulin melemah, maka tubuh jadi semakin tidak peka untuk menggunakan hormon ini.
Keadaan tersebut boleh mengakibatkan kadar gula dalam darah tidak boleh dikawal dan menjadi semakin tinggi sehingga memerlukan suntikan insulin.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bacaan Kadar Gula Dalam Darah Boleh Jadi TIDAK TEPAT Jika Ibu Lakukan 5 Kesilapan Ini
Baca juga: Padah Kemaruk Makanan Manis, Gadis Hidap Diabetes & Darah Tinggi Seawal 19 Tahun!
Baca juga: Risau Nak Makan Buah Sebab Diabetes Ketika Hamil? Ini 11 Buah Yang Selamat Diambil
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!