Anda pernah dengar tak mengenai akar seruntun untuk cerai susu badan? Bagi yang tidak pernah mendengar mengenai akar ini, mesti ada yang garu kepala berfikir tumbuhan jenis apakah ini. Betul, ia memang sejenis pokok tetapi apa yang membuatkan pokok ini istimewa sebenarnya dalam kalangan ibu-ibu?
Sebelum kami memberitahu anda apakah kepentingan atau signifikasi akar ini untuk cerai susu badan kepada ibu-ibu yang menyusukan anak dan bercerai susu, ayuh kita ketahui tentangnya dengan lebih lanjut.
Asal usul akar seruntun
Akar seruntun turut dikenali dengan nama pokok patawali atau akar patawali. Ia turut mempunyai nama saintifik iaitu Tinospora crispa dari kumpulan keluarga Menispermaceae. Nak kenal daun ini senang sahaja. Ianya merupakan tanaman yang menjalar dengan batang jenis berkerutu. Lebarnya lebih kurang seperti daun sirih.
Kalau anda biasa duduk di kampung, anda boleh menjumpai akar seruntun ini kerana ia boleh tumbuh menjalar di pagar-pagar atau di kawasan rumah terbiar. Dekat kampung pun anda boleh jumpa tumbuhan ini.
Tumbuhan ini bukan sahaja berada di Malaysia tau! Malah, anda boleh jumpa tumbuhan ini di Indonesia. Ia dikenali dengan nama pokok bratawali atau daun gadel dan banyak lagi mengikut nama daerah di sana. Anda boleh jumpa akar seruntun di Filipina dan juga Indo-China.
Kelebihan akar seruntun
Kita kategorikannya sebagai pokok atau tumbuhan herba disebabkan ianya merupakan tumbuhan berubat yang mempunyai banyak manfaat dan khasiat dalam kalangan orang Melayu.
Air rebusan akar ini sangat pahit tetapi ianya boleh membantu dalam mengurangkan kencing manis, tahap gula dalam darah, dan panas badan. Dan yang paling penting, ianya boleh membantu ibu untuk proses bercerai susu badan ataupun weaning daripada anak. Malah ini juga antara fakta menarik yang anda perlu tahu:
- Dikatakan boleh merawat masalah cacing untuk kanak-kanak.
- Boleh menurunkan darah tinggi dan juga meningkatkan selera makan.
- Air rebusannya juga boleh merawat kudis
Akar seruntun untuk cerai susu badan
Kita dah mengetahui banyak manfaatnya dan salah satunya adalah ia juga boleh membantu memudahkan proses bercerai susu. Bagaimana agaknya? Ia dengan cara meletakkan air akar ini pada payudara ibu. Tapi mesti ibu pun tertanya-tanya takkan dengan letakkan ini akar seruntun pada payudara dan bagi anak hisap, anak akan terus tak hisap susu kan?
Kalau anda nak tahu, air akar seruntun memang amat pahit sehinggakan ramai orang rasa takut nak mencubanya. Rasa yang pahit tersebut pun orang dewasa susah nak minum apatah lagi pada bayi kan? Dan untuk bayi, tidak perlu gunakan air rebusan akar seruntun. Anda hanya perlukan getah akar seruntun sahaja.
Caranya mudah, senang dan gerenti mujarab. Tambahan pula, ianya agak pahit kan. Calit-calit sikit dan anak anda dah boleh berhenti susu badan. Sebab itulah, ramai ibu-ibu patut cuba gunakan akar ini untuk bercerai susu. Teruja tak nak tahu ibu-ibu semua? Jom kita mulakan.
Cara untuk gunakan air akar untuk proses bercerai susu
#1 Tak perlu rebus akar seruntun. Hanya perlu gunakan getah akarnya sahaja dan calitkan pada bahagian puting susu ibu. Ini perlu dilakukan apabila anak minta nak minum susu ibu. Cepat-cepatlah ya calit!
#2 Anak akan menolak sebaik sahaja merasa susu dari puting ibu. Mana taknya, ianya pahit! Jadi anda janganlah terkejut kalau anak anda terus tolak anda dan tak mahu lagi rasa susu. Itu yang anda inginkan kan?
Untuk si ibu yang bercerai susu badan dari anak
Bercerai susu bukannya mudah buat ibu dan anak. Ada juga ibu yang berasa sedih apabila anak tidak lagi meminum susu badan mereka. Ada juga di antara ibu yang mulalah lembut hati apabila melihat anak mereka menangis mahukan susu. Maka, diturutkanlah kehendak hati anak apabila mereka menangis.
Sabarlah wahai ibu dan tabahkanlah hati kerana ini untuk kebaikan anak anda juga. Bagi yang mencari cara bercerai susu badan atau weaning, akar seruntun sememangnya merupakan cara terbaik untuk memudahkan anak anda bercerai susu dengan cepat.
Tapi ingat, getah akar seruntun sangat pahit dan boleh tahan lama. Tepuk dada tanya selera. Semoga bermanfaat!
Sumber: Facebook Jabatan Pertanian Malaysia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Panduan Menceraikan Anak Daripada Susu Botol