Meruang merupakan satu amalan tradisional orang Melayu yang telah lama dilakukan sejak dahulu lagi. Malah, ia merupakan antara perkara yang disarankan oleh bidan dan pengamal perubatan tradisional.
Tapi, walaupun meruang adalah amalan yang telah dibuat sejak turun-temurun, adakah ia bermakna yang perkara tersebut baik buat kita?
Apa itu meruang?
Sebelum kita tengok sama ada aktiviti meruang itu wajar dijadikan amalan para wanita, mari kita faham terlebih dahulu apakah itu meruang.
Dalam amalan orang Melayu, meruang merupakan satu proses di mana kita memasukkan jari ke dalam faraj bagi tujuan membersihkan ruang dalaman faraj.
Ia selalunya dilakukan setiap kali selepas berhadas, datang haid atau nifas, serta selepas bersama dengan suami.
Manfaat kesihatan yang dikatakan dapat diperolehi selepas aktiviti meruang
Selain daripada membersihkan ruang faraj, amalan meruang ini juga dikatakan dapat membawa banyak lagi manfaat kesihatan yang lain seperti:
- Mengelakkan masalah keputihan
- Menghilangkan bau dari faraj
- Mencegah penyakit kelamin
- Memantapkan faraj demi kepuasan dan nikmat ketika bersenggama dengan suami
Sumber: Siraplimau.com
Aktiviti ini sememangnya ada penggemar dan pengikutnya. Sehinggakan, muncul produk-produk tempatan yang dikatakan dapat membantu mempermudahkan proses meruang.
Pelbagai krim, minyak dan jamu herba ada dijual di pasaran dan ia menjadi salah satu produk yang terlaris!
Adakah meruang itu amalan orang Melayu sahaja?
Kalau anda hendak tahu, proses meruang bukan sahaja diamalkan di Malaysia.
Malah, di negara barat juga, para wanita mereka turut mempunyai satu amalan yang lebih kurang sama, dikenali sebagai ‘vaginal douching’.
Sumber: Womensbest.net
Bezanya adalah masyarakat kita menggunakan jari dan mereka di barat menggunakan alat serta cecair khas yang dipancut ke dalam faraj. Ia bagi tujuan yang sama iaitu untuk mencuci faraj.
Apa kata kajian tentang amalan meruang atau vaginal douching?
Tidak kiralah sama ada anda melakukan aktiviti meruang atau vaginal douching, secara asasnya ia adalah benda yang sama, di mana bendasing yang dikhuatiri kebersihannya dimasukkan ke dalam ruang vagina.
Persoalan yang sering dibahaskan tentang dua aktiviti ini adalah: adakah ia amalan yang sihat dan mempunyai kebaikan kesihatan yang telah dibuktikan oleh kajian?
Sebenarnya, kalau kita lihat kajian yang telah dilakukan bagi sebarang aktiviti membersihkan ruang faraj secara manual, ternyata masih tiada bukti yang proses meruang mahupun vaginal douching dapat memberikan kebaikan pada kesihatan.
Sumber: Herballove.com
Contohnya, satu kajian telah dilakukan bagi melihat kesan apabila seseorang itu berhenti melakukan aktiviti vaginal douching.
Dalam kajian ini, seramai 39 orang wanita yang mengamalkan vaginal douching telah dipantau selama 20 minggu.
Empat minggu pertama, peserta ini masih dibenarkan mengamal aktiviti membersihkan faraj dan 12 minggu berikutnya, mereka diminta untuk berhenti daripada melakukan vaginal douching.
Kajian diteruskan pada fasa kedua selama empat minggu di mana mereka diberi pilihan sama ada menyambung aktiviti vaginal douching atau berhenti serta merta.
Selepas tamatnya proses kajian ini, para pengkaji telah mengutip sampel cecair faraj peserta dan membuat analisis lanjut.
Sumber: Top10homeremedies.com
Mereka mendapati bahawa peserta wanita yang memilih untuk berhenti melakukan vagina douching menunjukkan penurunan risiko sebanyak 77% untuk berlakunya jangkitan bakterial vaginosis.
Bakterial vaginosis merupakan sejenis penyakit jangkitan pada faraj yang disebabkan oleh jumlah bakteria jahat yang banyak.
Apa pula kata pakar sakit puan?
Menurut Profesor dan Doktor Pakar Perunding Gynaecologist dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Imelda Balchin, badan manusia sudah mempunyai bakteria baik untuk melawan bakteria jahat secara semulajadi.
Katanya, apabila aktiviti meruang dilakukan, kita sebenarnya membunuh bakteria baik, dan bukannya bakteria jahat.
Dr. Imelda menerangkan lagi yang kita tak digalakkan untuk memasukkan jari, air, atau berus ke dalam faraj, lubang air kencing (urethra), dan juga lubang dubur (anus).
Untuk membasuh selepas berhadas, turut dikenali sebagai beristinjak, cukuplah sekadar menggunakan air dan mengesat di bahagian luarnya sahaja.
Untuk selepas haid pula, cukup sekadar kita menggunakan kain kapas atau tisu dan mengelap pada bahagian luar untuk mengetahui sama ada darah haid sudah kering atau tidak.
Sumber: Healthline.com
Beliau juga tidak menyarankan mana-mana wanita yang belum berkahwin untuk memasukkan jari ke dalam faraj kerana takut melukai selaput dara (Hymen) yang menutupi sebahagian pintu faraj.
Tambahnya, semua organ dalaman kita telah dicipta supaya mampu untuk membersihkan organnya sendiri (self-cleansing).
Keburukan meruang dan vaginal douching
Kalau anda hendak tahu, dari perspektif perubatan, aktiviti meruang dan vaginal douching sebenarnya memberikan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Antara risiko kesihatan yang mungkin berlaku apabila anda memasukkan bendasing seperti jari mahupun alat vaginal douching yang khas ke dalam faraj anda adalah:
- Jangkitan bakteria dalam faraj (bacterial vaginosis)
- Penyakit radang pinggul akibat jangkitan bakteria (PID) yang melibatkan jangkitan pada rahim, tiub fallopio, dan ovari
- Komplikasi kehamilan
- Risiko kehamilan luar rahim
- Kanser serviks
Sumber: Mayclinic.orh
Jadi, bolehkah diamalkan proses meruang ini? Tepuk dada, tanya selera!
Sama ada seseorang wanita itu mahu terus mengamalkan meruang dalam kehidupannya, itu sememangnya hak masing-masing.
Tapi, diharapkan dengan penerangan dari perspektif kajian sains dan pendapat doktor pakar ini, kita semua dapat lebih memahami proses meruang dan apakah risiko kesihatan yang terlibat.
Ternyata, kajian menyatakan yang risiko jangkitan dapat dikurangkan jika kita berhenti memasukkan bendasing seperti alat douching ke dalam vagina.
Malah, doktor sakit puan seperti Profesor Dr. Imelda Balchin juga tidak menyarankan aktiviti ini. Dalam beberapa post di FBnya, beliau berkata:
“There is one English word that Gynaecologists are allergic to. ‘Douching’.”
dan
“Ada satu perkataan Bahasa Malaysia yang Pakar Perunding Gynae tak pernah belajar atau mengajar. ‘Meruang’.”
Jadi, gunakan ilmu yang kita pelajari dari artikel ini dan buat keputusan yang sewajarnya ya, ibu-ibu sekalian!
Sumber: Webmd.com, US National Library of Medicine
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!