Kita selalu mendengar tentang anak-anak autisme di iklan-iklan radio mahupun program bicara dan dokumentari di kaca televisyen.
Namun, pendedahan terhadap dunia sebenar autisme sangat sedikit kita rasai dan alami, bukan? Di sini, kami ingin berkongsi dengan anda kisah seorang ibu yang mempunyai anak autisme tahap serius.
Ceritanya menarik dan cukup menyentuh hati! Para ibu lain pasti dapat merasai apa yang ibu ini rasakan.
Anak Autisme Miriam Gwynne
Miriam Gwynne, seorang ibu dan blogger, menceritakan kepada umum tentang situasi autisme anak lelakinya, Isaac, yang kini berusia 9 tahun.
Isaac merupakan seorang anak istimewa yang menghidap autisme serius. Dia tidak akan berpaling apabila namanya dipanggil. Dia langsung tidak tahu bercakap. Apatah lagi untuk menguruskan diri sendiri, berfikir secara matang serta belajar.
Source: Huffingtonpost.com
Walaupun pada usia 9 tahun, Isaac masih belum tahu bertutur. Dia hanya mengeluarkan bunyi-bunyi asing sahaja. Huruf dan nombor merupakan satu benda yang asing buat dirinya. Dia juga tidak tahu bagaimana untuk mengeja nama sendiri.
Namun, apa yang menarik tentang kisah Miriam ini (sehinggakan ianya tular di media Amerika), adalah anaknya mungkin tidak mampu bertutur, namun sangat mahir menggunakan sejenis aplikasi Google, iaitu Google Street View.
Google Street View sebagai Platform Komunikasi Antara Anak dan Ibu
Setelah beberapa lama memberikan akses gajet kepada Isaac dan membiarkan dia mencuba peralatan elektronik tersebut, Miriam mula perasan akan satu perkara tentang anak lelakinya: Isaac akan menggunakan Google Street View untuk berkomunikasi dengan dia.
Jika sebelum ini dia tidak mampu untuk memberitahu ibunya yang dia lapar, kini Isaac akan membuka Google Street View, mencari lokasi restoran berhampiran rumahnya, dan menunjukkan iPad kepada Miriam. Maka, tahulah si ibu yang anaknya lapar.
Ada satu hari, Isaac sangat senyap dan kelihatan tidak bermaya. Tidak seperti anda dan ibu-ibu lain yang hanya perlu membuka mulut dan bertanya kepada anak anda apa yang tidak kena, Miriam pula tidak dapat berkomunikasi dengan Isaac.
Source: Huffingtonpost.com
Google Street Viewlah yang menjadi penyelamat. Isaac segera duduk di sebelah ibunya, membuka aplikasi tersebut, dan mencari arah jalan ke klinik! Itulah kali pertama si kecil ini berkomunikasi akan keadaannya yang tidak sihat kepada Miriam sehinggakan tidak tertahan lagi air mata si ibu.
Walaupun Isaac tidak seperti kanak-kanak sebaya yang lain – serba ceria, bijak dan pandai berceloteh – namun Miriam sangat bersyukur dengan adanya Google Street View.
Jika aplikasi ini sekadar menunjukkan arah perjalanan kepada pengembara atau pemandu kereta yang sesat, bagi Miriam, aplikasi peta ini telah melakukan lebih daripada itu.
Ia telah membawa pulang anak lelakinya yang sebelum ini terperangkap dalam dunianya sendiri, kembali ke pangkuan ibunya.
Apakah itu Autisme?
Autisme merupakan satu gangguan pada tumbesaran kanak-kanak dari segi kemampuan berfikir, komunikasi, dan menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain.
Kalau anda hendak tahu, terdapat beberapa peringkat autisme. Antaranya adalah Autistic Disorder, Asperger Syndrome, Childhood Disintegrative Disorder (CDD), dan Pervasive Developmental Disorder.
Source: iStockphoto.com
Setiap satu ini mempunyai simptom dan menghasilkan ketidakmampuan yang unik dan tersendiri.
Autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak semuda usia setahun. Namun, simptom-simptom autisme hanya akan mula kelihatan jelas apabila si kecil mencecah usia 2 atau 3 tahun.
Apakah yang Menyebabkan Autisme?
Setakat ini tiada penjelasan saintifik yang dapat menerangkan mengapa autisme boleh berlaku.
Kajian menunjukkan bahawa mungkin terdapat gangguan genetik dan turut dipengaruhi oleh persekitaran.
Ada juga yang berpendapat bahawa autisme terjadi kerana berlaku gangguan pada saraf dalam otak yang seterusnya membantutkan kemampuan anak-anak untuk berfikir, berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain.
Bagaimana Hendak Tahu Sama Ada Anak Saya Menghidap Autisme?
Menurut Dr. Zubaidi di blognya, agak sukar untuk satu-satu doktor memberi diagnosis autisme sebaik sahaja berjumpa dengan anak anda.
Antara langkah paling berkesan untuk mengetahui sama ada anak anda menghidapnya adalah melalui pemerhatian rapi anda terhadap tingkah laku mereka.
Antara tanda-tanda autisme adalah:
- Pada usia 6 bulan, bayi tidak senyum apabila anda mengagah
- Pada usia 6 bulan, bayi tidak membuat hubungan mata dengan anda (eye-contact)
- Pada usia 9 bulan, si kecil anda tidak mengeluarkan bunyi atau senyum
- Pada usia 12 bulan, bayi anda tidak bercakap (bahasa bayi)
- Pada usia 12 bulan, si kecil anda tidak membuat bahasa badan sebagai komunikasi seperti menunjuk jari, melambai, mencapai sebarang objek
- Pada usia 12 bulan, tidak menunjukkan reaksi apabila namanya dipanggil
- Pada usia 16 bulan, tidak berkata walau sepatah perkataan mudah
- Pada usia 24 bulan, tidak bercakap frasa sepatah dua yang bermakna seperti ‘nak cucu’ (hendak susu) atau ‘nak kong’ (hendak dukung)
Terdapat juga beberapa tanda autisme yang lain seperti tidak mahu bermain dengan kanak-kanak lain, mudah mengamuk, suka bersendiri, suka mengulangi sesuatu perbuatan berulang kali seperti menepuk tangan tanpa henti.
Apa yang Boleh Saya Lakukan Jika Saya Rasa Anak Saya Menghidapi Autisme?
Jika anak anda ada menunjukkan simptom autisme di atas, anda boleh membawa anak anda ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan segera.
Menurut Dr. Zubaidi, doktor pakar akan membuat saringan, selalunya di Pusat Kesihatan Ibu dan Anak, dan menilai perkembangan fizikal dan kelakuan si kecil.
Suntikan imunisasi dan temuramah ibu bapa juga akan dilakukan bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang kelakuan anak-anak ketika di rumah.
Bolehkah Autisme Dirawat?
Antara soalan yang selalu ditanya oleh ibu bapa yang mempunyai anak autisme adalah adakah anak saya boleh sembuh dan menjadi seperti kanak-kanak normal lain?
Malangnya, autisme bukanlah satu penyakit yang boleh dirawat sepenuhnya dengan bantuan perubatan semata-mata.
Anak autisme memerlukan rawatan, pantauan, sokongan, didikan, dan kasih sayang berpanjangan dari ibu bapa dan keluarga.
Dengan adanya bantuan dari orang yang tersayang, anak istimewa ini akan lebih tenang. Simptom mereka juga akan dapat dikurangkan.
Malah, ada banyak kisah di mana anak-anak autisme ini dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan berjaya dalam bidang masing-masing hasil bantuan dari orang yang tersayang!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!