Angin dalam badan ketika hamil adalah antara salah satu sebab badan anda akan jadi lebih sensitif terhadap banyak perkara. Semua yang anda lakukan semasa fasa ini, terutamanya apa yang anda makan, memberi kesan langsung kepada kesejahteraan bayi.
Jika anda tersalah makan, anda juga berisiko mengumpul angin dalam badan dan menyebabkan anda kembung perut!
Alamak! Apabila ini terjadi, mulalah rasa tidak selesa. Nak tidur pun susah, jadi bagaimana cara buang angin dalam badan. Biasanya sebelum hamil, kita akan minum Eno namun selepas berbadan dua ini, bolehkah kita minum minuman yang sama?
Isi Kandungan
Angin Dalam Badan: Normal Atau Tidak?
Apakah kesan kepada kehamilan dan janin pula? Pelbagai persoalan muncul di kepala, berikut merupakan penjelasan pakar yang mungkin anda masih belum tahu. Yang penting, jangan panik ya!
Walaupun ada yang mengadu angin dalam badan punca sesak nafas, ibu-ibu jangan terlalu bimbang kerana pengeluaran angin dalam badan adalah normal dan setiap manusia akan mengalaminya.
Manusia yang normal akan kentut dan sendawa sekurang-kurangnya 15 – 23 kali sehari, walaupun kadang kala anda tidak menyedarinya.
Apa Tanda Angin Dalam Badan?
Umum sedia maklum, angin merujuk kepada kembung, sendawa, sendawa yang berterusan, kentut atau melepaskan angin. Ia boleh dikeluarkan menerusi mulut atau dubur. Angin terjadi akibat proses biologi apabila makanan dan minuman dicerna dan selalunya angin ini terdiri daripada gas karbon dioksida, oksigen, hidrogen, nitrogen, dan metana.
Antara tandaangin dalam badan adalah:
#1. Berasa letih, lesu, dan tidak bertenaga
Ini merupakan perkara yang selalunya terjadi kepada individu yang mempunyai angin dalam badan iaitu seseorang itu akan berasa letih, lesu dan tidak bertenaga. Mereka juga akan jadi mudah mengantuk.
#2. Selalu menguap dan mudah mengantuk
Seperti yang dijelaskan di atas, tanda-tanda seseorang itu memiliki angin dalam badan adalah dia akan mudah mengantuk dan sering menguap. Walaupun tiada aktiviti berat seharian, baru pukul 8 malam pun sudah rasa mengantuk teramat.
#3. Sakit kepala
Selain itu, individu yang memiliki masalah ini juga akan mengalami masalah sering sakit kepala atau migraine. Malah, ada ketika mereka akan mengalami vertigo, hanyut, dan sentiasa berpusing walaupun tidak melakukan apa-apa kerja berat. Bahaya, ya!
#4. Perasaan mudah marah
Apabila angin dalam badan tersekat, automatik individu berkenaan akan mengalami mood yang tidak menentu. Kadang kala tiada apa yang perlu dimarahkan pun, tapi disebabkan banyak angin dalam badan, perkara tersebut mengubah mood seseorang dengan lebih drastik.
#5. Perut berangin
Ini juga salah satu perkara yang paling sering berlaku. Apabila angin penuh dalam badan, perut juga akan terkesan. Walaupun dah makan dan minum mencukupi, masih lagi berbunyi dan berkeroncong seolah-olah masih belum makan.
Tapi sebenarnya anda tidak lapar pun. Cuma perut mudah berangin.
Antara simptom-simptom lain yang perlu diambil perhatian adalah:
- Selalu rasa kebas/lenguh/sengal
- Tapak tangan/kaki rasa sejuk
- Selalu menguap/mudah mengantuk
- Sukar bernafas/nafas pendek
- Rasa ketegangan di tengkuk dan pinggang
- Kulit kering
- Muscle spasms sewaktu tidur/jaga.
- Hilang selera makan.
- Hilang/kurang nafsu seks
- Rasa ketidakselesaan badan yang lain
Bilakah Kembung Perut Berlaku Semasa Kehamilan?
Kembung mungkin merupakan salah satu simptom kehamilan awal anda yang paling kerap dan paling tidak menarik. Keadaan ini akan mula muncul sekitar minggu ke-11 dan berkemungkinan berlarutan sepanjang kehamilan anda sehingga hari bersalin.
Berapa lama kembung perut ketika mengandung ini akan terjadi? Ini juga menjadi salah satu persoalan yang popular juga. Mana tidaknya, para ibu hamil pasti berasa tidak selesa dengan keadaan kembung perut ini.
Untuk pengetahuan ibu-ibu, yang anda alami adalah simptom kehamilan yang mungkin akan menjadi lebih teruk apabila rahim anda terus mengembang dan menekan perut dan usus anda.
Cara Membuang Angin Dalam Badan
#1. Bersenam
Ibu dinasihatkan untuk melakukan lebih banyak aktiviti bersenam dan ia akan membuatkan angin dalam badan lebih senang untuk dibuang dan mengelakkan perut buncit.
Sila fokus untuk menguatkan otot perut dan perut untuk memastikan pergerakan usus lebih lancar supaya gas tidak terperangkap di sana.
#2. Kurangkan pengambilan sayur bergas
Sayur-sayuran seperti kubis, kubis bunga, brokoli, asparagus, brussels memang tinggi dengan nutrisi. Namun, ia juga tinggi gas yang mungkin tidak elok dan tidak sesuai dengan usus anda.
#3. Elakkan produk tenusu jika anda mempunyai lactose intolerant
Jika anda tidak tahan laktosa dan ingin mengambil susu, keju atau yogurt, sila ambil ubat untuk masalah ini terlebih dahulu untuk sistem penghadaman lebih baik.
Semasa kehamilan, anda dinasihatkan supaya membincangkan dengan doktor berkaitan penggunaan ubat-ubatan semasa hamil.
Produk seperti Gaviscon yang selamat untuk ibu hamil mengandungi antacid, bukan sistemik yang biasanya dianggap selamat sepanjang kehamilan. Namun, tidak ada kajian perubatan yang membuktikannya.
Kesan Pengambilan Eno Ketika Hamil
Berikut kemungkinan kesan sampingan yang boleh timbul dari mana-mana komponen Eno Powder. Kesan sampingan ini mungkin tidak selalu berlaku. Namun, sesetengah kesan sampingan boleh menjadi agak serius. Rujuk doktor jika anda mengalami simptom di bawah, terutamanya apabila kesakitan itu tidak reda:
- Kesakitan otot atau berkeringat
- Mual atau muntah
- Senak perut
- Gas
Seperti yang anda dapat lihat, setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza mengenai penggunaan Eno semasa kehamilan. Tiada kajian yang menunjukkan sama ada Eno benar-benar sesuai atau tidak sesuai digunakan oleh wanita yang hamil.
Sebaiknya, anda berunding dengan doktor sebelum anda mencubanya.
Sementara itu, anda boleh cuba alternatif semulajadi seperti air halia yang dibuat di rumah. Berhati-hati dan semoga dipermudahkan!
Petua Elakkan Angin ‘Terperangkap’ Dalam Badan
Anda boleh mengurangkan risiko angin terperangkap dalam badan yang menyakitkan dengan melihat apa yang anda makan dan juga cara anda makan. Jadi, mungkin berguna untuk anda membuat satu diari makanan.
Ini boleh membantu anda menjejaki makanan yang anda ambil dan keadaan yang menjadi punca angin dalam badan. Kemudian anda boleh mengelakkan jenis makanan dan gaya hidup yang menyumbang kepada masalah angin di dalam badan anda.
Sebenarnya memang terdapat pelbagai cara buang angin. Terserah pada anda sama ada mampu atau tidak. Berikut ialah beberapa petua asas untuk dimulakan:
#1. Elakkan minuman berkarbonat
Ini adalah sangat penting! Jika angin dalam badan tidak dapat dikawal, jangan pula anda menambah masalah tersebut. Tolong elakkan minuman berkarbonat dalam keadaan ini.
Kalau terpaksa minum juga, boleh hadkan pengambilan. Jangan ambil dalam kuantiti yang banyak.
#2. Makan perlahan-lahan dan kunyah makanan dengan baik
Individu yang mengalami masalah angin dalam badan juga disarankan untuk menikmati makanan secara perlahan-lahan dan kunyah makanan sehingga benar-benar hancur.
Jika lapar sekalipun, ingat bahawa angin dalam badan akan bertambah teruk jika makanan yang dimakan tidak dihadam dengan betul.
#3. Jangan kunyah gula-gula getah
Mungkin perkara ini sering menjadi satu habit untuk kebanyakkan orang di luar sana. Kalau tengah bekerja ataupun memandu, pasti anda inginkan sesuatu yang boleh menghalang anda daripada mengantuk, kan? Oleh itu, gula-gula getah akan menjadi pilihan anda.
Tidak boleh, ya. Jikalau anda memiliki masalah angin dalam badan, mengunyah gula-gula getah hanya akan memburukkan lagi keadaan.
#4. Minum cecair pada suhu bilik, tak terlalu panas dan sejuk
Suam-suam adalah disarankan jikalau anda ingin meminum cecair. Jangan terlalu panas dan terlalu sejuk kerana badan anda pada ketika ini sangatlah sensitif. Jadi, pengambilan makanan dan minuman dengan cara, kuantiti dan masa yang betul amat disarankan.
#5. Minum Eno
Eno adalah salah satu ubat-ubatan yang digalakkan untuk diambil ketika perut kembung, atau badan penuh angin. Ia dapat mengeluarkan angin dengan lebih cepat dan dapat melegakan.
Tetapi jikalau anda tidak pernah menggunakan Eno dan ingin mengambilnya buat kali pertama akibat masalah kesihatan lain, boleh rujuk dengan pakar atau doktor terlebih dahulu, ya?
Antara petua lain yang boleh anda praktik adalah:
- Kekal terhidrat
- Minum cecair pada suhu bilik, tidak terlalu panas atau terlalu sejuk
- Elakkan makanan yang diketahui menyebabkan gas berlebihan
- Elakkan pemanis tiruan
- Makan perlahan-lahan dan kunyah makanan anda dengan baik
- Jangan kunyah gula-gula getah
- Jangan merokok atau mengunyah tembakau.=
- Jika anda memakai gigi palsu, minta doktor gigi anda memeriksa sama ada ia membiarkan udara masuk terlalu banyak
- Elakkan bercakap banyak ketika makan
- Tingkatkan aktiviti fizikal anda
Urutan Buang Angin Dalam Badan
Untuk pengetahuan anda, berurut adalah salah satu cara untuk membuang angin. Tukang urut yang profesional kebiasaannya akan membantu mengurut urat saraf yang bengkak kesan daripada angin. Urut buang angin dalam badan juga boleh membuatkan tubuh badan anda akan berasa lebih segar dan bertenaga.
Kalau nak urut sendiri pun boleh! Antara 9 teknik urutan kendiri di pejabat atau di rumah adalah:
- Urutan kepala
- Urutan temple point.
- Urutan pangkal leher
- Urutan 4 jari di leher
- Urutan 4 jari di bahu
- Urutan di antara tulang belikat
- Urutan belakang pinggang
- Urutan otot tangan
- Urutan kaki
Bila Anda Patut Risau?
Jika anda masih berasa tidak selesa pada bahagian perut, terutamanya jika anda mempunyai masalah berkaitan dengan sistem metabolisme yang berfungsi secara perlahan, anda boleh segera mendapatkan rawatan dan nasihat pakar.
Keadaan juga akan bertambah lebih parah jika kondisi kesihatan anda tidak berapa bagus, contohnya jika anda memiliki penyakit seperti diabetes, tiroid, scleroderma, diverticulosis, sindrom radang usus bawah, dan juga gangguan tidur.
Semoga artikel ini bermanfaat.
- Medical News Today (January 25, 2020). How to get rid of trapped gas. www.healthline.com/health/immediate-relief-for-trapped-gas-home-remedies-and-prevention-tips#prevention-tips
- Healthline (July 19, 2019). How to Get Rid of Gas, Pains, and Bloating. www.healthline.com/health/digestive-health/get-rid-of-gas-pains-and-bloating
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tabiat Pasang Kipas Angin Ketika Tidur Boleh Mengakibatkan Kematian Terhadap Ibu Hamil
Baca juga: Cubalah 5 Cara Buang Angin Dalam Badan Dengan Cepat
Baca juga: Penting Sendawakan Bayi, Ibu Ayah Ini Cara Sendawakan Bayi Baru Lahir