Apa Itu Gluten Free? Ibu Hamil Disaran Amalkan Diet Ini Jika Hidap Penyakit Celiac
Apa itu gluten dan risiko pada ibu hamil serta bayi dalam kandungan? Mengapa ada ibu hamil yang perlu amal diet ini?
Semasa kehamilan adalah sangat penting untuk anda mengetahui apa itu gluten dan kesannya ke atas diri terutama bayi dalam kandungan jika anda masih mengambilnya semasa kehamilan. Terutama jika anda menghidap penyakit celiac sebelum kehamilan lagi.
Pengambilan gluten dalam makanan amat berisiko bagi penghidap celiac terutama wanita hamil kerana ia boleh mengakibatkan komplikasi dan gangguan kehamilan yang lebih besar. Ia termasuklah mengakibatkan badan ibu hamil sukar untuk menyerap vitamin serta mineral yang diperlukan.
Keadaan ini akan menyebabkan bayi dalam kandungan mengalami kekurangan nutrisi yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan mereka di dalam rahim. Jom kenali apa itu gluten!
Isi Kandungan
Apa Itu Gluten?
Gluten merupakan protein yang memberikan struktur dan tekstur makanan. Ia boleh didapati secara semula jadi dalam kebanyakan produk makanan yang diperbuat daripada bijirin, gandum dan barli.
Walaupun gluten boleh diperoleh secara semula jadi, ia juga boleh diolah, diekstrak, dipekatkan dan ditambah kepada makanan serta produk lain bagi menambah protein, tekstur dan rasa makanan tersebut. Contoh makanan itu termasuklah makanan yang diperbuat daripada gandum seperti roti, pasta, kek, biskut dan lain-lain lagi.
Anda juga boleh menjumpai gluten di dalam makanan dan juga minuman yang dibeli di kedai mahu pun restoran. Contohnya adalah seperti bir, kentang goreng, sosej dan sebagainya.
Selain daripada memberikan rasa, gluten turut bertindak sebagai agen pengikat untuk memegang makanan yang telah diproses bagi memberikannya bentuk.
Setiap makanan yang anda ambil, akan diproses oleh enzim pencernaan yang membantu anda memecahkan makanan tersebut. Enzim yang dikenali sebagai protease ini pula akan bertindak untuk memproses protein tetapi tidak mampu memecahkan makanan yang mempunyai gluten sepenuhnya.
Bagi gluten yang tidak dapat dicernakan, ia akan mula memasuki usus kecil. Terdapat sebilangan orang yang mampu mengendalikan gluten yang tidak dicerna ini dengan baik, tetapi ada sesetengah yang lain pula tidak boleh berbuat demikian.
Gluten yang tidak boleh dikendalikan ini akhirnya akan mencetuskan tindak balas autoimun yang teruk iaitu penyakit celiac atau pun gejala-gejala lain yang tidak menyenangkan anda.
Penyakit celiac merupakan keadaan autoimun serius yang boleh merosakkan usus kecil anda apabila mengambil gluten. Ia juga memberikan anda gejala seperti cirit-birit, keletihan dan sakit sendi.
Selain itu, alahan gandum juga merupakan satu bentuk intoleransi gluten. Alahan ini bukan sahaja akan menyebabkan usus anda bermasalah, tetapi ia turut mencetuskan gejala alahan klasik yang lain.
Apa Itu Gluten Free?
Maksud gluten free adalah makanan yang tidak mengandungi protein gluten. Makanan gluten free adalah merupakan makanan yang tidak mengandungi beberapa vitamin dan mineral penting untuk tubuh contohnya seperti vitamin B9, vitamin B3, kalsium, serat dan zat besi.
Makanan free gluten ini sangat digalakkan dan disyorkan bagi sesiapa yang menghidapi penyakit celiac atau pun mempunyai alahan kepada gluten.
Adakah Makanan Bebas Gluten Selamat Untuk Wanita Hamil?
Makanan gluten free adalah selamat diambil oleh wanita hamil. Malah, makanan bebas gluten ini juga sangat disyorkan buat ibu hamil yang mempunyai masalah penyakit celiac untuk mengelakkan gluten kerana ia dapat membantu mengurangkan risiko untuk bayi dengan komplikasi tertentu seperti masalah jantung.
Tetapi, makanan bebas gluten juga boleh menyebabkan ibu hamil dan bayi tidak mendapat nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan secukupnya. Namun jangan khuatir kerana terdapat beberapa jenis makanan yang bebas gluten mengandungi nutrien penting untuk tubuh anda.
Oleh itu, pastikan anda mengambil makanan yang bebas gluten tetapi masih lagi mempunyai nutrien seperti yang kami senaraikan di dalam artikel ini.
Bolehkah Intoleransi Gluten Berlaku Semasa Kehamilan?
Kajian menunjukkan bahawa terdapat hubung kait di antara kehamilan dengan penyakit celiac atau dikenali sebagai intoleransi gluten. Penyakit celiac boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.
Maksudnya di sini adalah, jika penyakit celiac boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tidak terkecuali wanita hamil. Oleh itu, adalah lebih wajar dan lebih baik sekiranya anda sebagai wanita hamil berwaspada dengan simptom-simptom berkaitan untuk langkah lebih berjaga-jaga.
Antara tanda-tanda penyakit celiac termasuklah:
- cirit-birit
- sembelit
- loya atau muntah
- kembung atau sakit perut
- keletihan atau sakit kepala
- penurunan berat badan
- anemia
- ruam, kulit gatal atau melepuh
- ulser mulut
- sakit sendi
- kebas atau kesemutan pada tangan atau kaki
Sekiranya terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa anda sedang mengalaminya segeralah berbincang dengan doktor. Ujian akan dilakukan terhadap anda bagi mengesahkan diagnosis tersebut.
Terdapat sebuah penyelidikan yang dilakukan mendapati bahawa, wanita hamil yang mempunyai penyaki celiac juga perlu mengelakkan gluten untuk mengurangkan risiko mempunyai bayi dengan masalah jantung yang tertentu.
Oleh itu, sebagai seorang ibu yang prihatin lebih baik sekiranya anda mengambil pendekatan selamat dengan mengelakkan makanan yang mengandungi gluten demi bayi dalam kandungan.
Makanan Yang Boleh Dimakan Dalam Diet Bebas Gluten
Seperti yang disebutkan di atas, makanan bebas gluten kebanyakannya mungkin tidak terdapat nutrien penting untuk tubuh seperti vitamin B, serat dan mineral.
Namun begitu, masih terdapat lagi makanan bebas gluten lain yang mampu membekalkan anda keperluan utama nutrien penting ini. Malah, vitamin pranatal standard yang diberikan kepada anda juga memastikan semua keperluan nutrien tubuh dapat disalurkan dengan baik.
Adalah penting untuk anda mendapatkan nutrien penting daripada sumber makanan yang bebas gluten seperti di bawah :
#1. Folat
Folat merupakan nutrien penting yang membantu mencegah kecacatan kelahiran contohnya seperti spina bifida. Anda boleh menyemak kandungan folat di dalam produk makanan dengan memeriksanya di label pemakanan.
Sebelum mengambilnya, anda perlu mengetahui dahulu jumlah asid folik yang telah anda ambil, baharulah teruskannya dengan pengambilan folat bebas gluten semula jadi ini. Contohnya seperti bayam, beras putih, asparagus dan avocado.
#2. Zat besi
Zat besi sangat penting untuk ibu hamil terutama kepada bayi dalam kandungan kerana ia membantu untuk pembinaan sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh badan.
Malah, semasa kehamilan juga ibu hamil mudah terdedah kepada anemia. Oleh itu, anda perlu mendapatkan kira-kira 27 mg sehari zat besi melalui sumber makanan bebas gluten iaitu sebanyak 3 hingga 4 mg setiap hidangan. Makanan tinggi zat besi ini boleh didapati melalui daging merah, kekacang seperti kacang hitam serta bayam.
#3. Serat
Sembelit sering kali terjadi semasa kehamilan, untuk elakkan masalah ini ibu hamil harus mengambil makanan yang mempunyai serat yang tinggi. Semasa kehamilan, anda memerlukan sekurang-kurangnya 25 gm serat pada setiap hari. Antara contoh makanan yang mempunyai serat tinggi adalah seperti kekacang, beras perang, buah-buahan dan juga sayur-sayuran.
#4. Kalsium
Selain daripada zat besi, serat serta folat, nutrien penting untuk tubuh badan ibu hamil dan bayi dalam kandungan juga adalah kalsium. Kalsium berfungsi untuk menguatkan tulang dan gigi bayi juga perkembangan otot, jantung dan saraf bayi anda.
Terdapat beberapa sumber makanan yang mempunyai kandungan kalsium dan bebas gluten yang boleh anda ambil iaitu yogurt rendah lemak, susu atau susu soya, keju mozarella, jus oren dan sardin tin.
#5. Zink
Sumber nutrien yang seterusnya pula adalah zink. Zink berfungsi untuk menyokong pertumbuhan sel bayi anda dan memainkan peranan bagi mencegah berat lahir rendah serta komplikasi lain semasa bersalin juga selepas bersalin.
Selain daripada itu, zink juga membantu untuk mengekalkan sistem imun tubuh anda bagi menangkis selesema dan jangkitan sepanjang kehamilan. Ibu hamil memerlukan 11 mg zink pada setiap hari. Antara sumber makanan bebas gluten yang mengandungi zink adalah seperti daging lembu, yogurt rendah lemak, kacang pagang dan kekacang.
#6. Vitamin D
Selain berfungsi untuk menyokong perkembangan tulang dan gigi bayi anda, vitamin D juga berperanan dalam mengurangkan risiko yang berkemungkinan untuk anda hadapi semasa kehamilan seperti preeklampsia, diabetes serta berat lahir rendah. Antara contoh makanan bebas gluten yang mengandungi vitamin D adalah seperti ikan, telur dan susu bukan tenusu atau susu yang diperkaya.
Makanan Perlu Elak Untuk Diet Bebas Gluten
Apa-apa sahaja makanan yang didapati mengandungi gluten perlu anda elakkan! Terutamanya gandum, barli atau apa-apa produk makanan yang dibuat dengan tepung gandum. Antara makanan lain yang dilarang pula adalah seperti berikut :
- Bjirin yang mengandungi gluten
- Roti yang berasaskan gandum, pasta dan makanan yang dibakar seperti pizza, biskut, kek cawan dan sebagainya.
- Makanan dan minuman yang dibungkus seperti bir, gula-gula, daging sejuk beku dan lain-lain. Anda boleh menyemak di label produk untuk mengetahui sama ada ia bebas gluten atau tidak kerana bukan semua makanan dan minuman yang dibungkus mengandungi gluten.
Oleh itu, demi kesihatan diri dan bayi dalam kandungan, pastikan anda sudah mengetahui apa itu gluten dan kesannya ke atas diri serta bayi dalam kandungan. Semoga bermanfaat!
- whattoexpect.com (2022, Jan 10) How to Eat Gluten-Free During Pregnancy www.whattoexpect.com/pregnancy/gluten-free-diet/#:~:text=Treat%20yourself%20once%20in%20a,like%20quinoa%20or%20brown%20rice.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Makanan Organik Boleh Datangkan Bahaya Kepada Ibu Hamil, Pastikan Ia Dicuci Bersih!
Baca juga : Ragu-Ragu Nak Makan Sambal Belacan Masa Hamil? Ini Penjelasan Lanjut Dari Doktor
Baca juga : Jenis Jenis Mee Yang Selamat & Berkhasiat Untuk Ibu Hamil Makan, Lagi-Lagi Jika Selalu Mengidam!
- Anak Luar Nikah Sebelum 6 Bulan, Ini Apa Anda Perlu Tahu: Penjelasan Dari Mufti WP Dan Perlis
- Jenis Buah Untuk Ibu Berpantang & Makanan Untuk Orang Berpantang Pembedahan Yang Cepatkan Badan Pulih, Susu Meriah
- Muntah Darah Ketika Hamil (Hematemesis): 13 Penyebab Muntah Darah, Cara Mengatasi & Rawatan