Aqiqah Anak Lelaki & Perempuan: Syarat Akikah, Hukum Dan Panduan Mengikut JAKIM

“Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh dari hari lahirnya- dicukur seluruh rambutnya dan diberikan nama yang membawa maksud yang baik,” riwayat Abu Daud, At Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Setiap orang pasti mempunyai persoalan berkenaan aqiqah terutama bagi ibu bapa yang baru sahaja menyambut cahaya mata, baik aqiqah anak lelaki atau anak perempuan.

Maksud Aqiqah

Aqiqah bermaksud penyembelihan binatang an’am (binatang ternakan seperti kambing, biri-biri atau kibas) sebagai tanda syukur kepada Allah SWT  ke atas kelahiran anak.

Sudah tentu, bagi anda yang pertama kali memiliki cahaya mata, banyak persoalan mengenai ibadah ini dan adakah anda wajib untuk menunaikannya.

Hukum menjalankan ibadah ini adalah sunat muakkad, yang mana ia adalah ibadah yang amat digalakkan. Untuk mengetahui lebih lanjut, mari kita sama-sama meneruskan pembacaan berkenaan aqiqah.

Syarat Aqiqah Anak Lelaki Dan Aqiqah Anak Perempuan

Sabda Nabi SAW yang menyebut:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”

Berdasarkan hadis di atas, seperti yang dapat kita lihat terdapat perbezaan antara aqiqah anak lelaki dan aqiqah anak perempuan dari segi jumlah haiwan sembelihan.

Untuk aqiqah anak lelaki, ibu bapa perlu menyediakan dua ekor kambing manakala bagi aqiqah anak perempuan pula, hanya perlu ada seekor kambing. Ini adalah tertib yang terbaik untuk melaksanakan ibadah ini.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Tapi, bagaimana pula kalau ada ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk menyediakan dua ekor kambing bagi aqiqah anak lelaki mereka?

Jangan risau, Islam itu agama memudahkan. Jika tidak berkemampuan, memadai dan dibolehkan untuk beraqiqah dengan seekor kambing sahaja bagi anak lelaki.

Hah, ibu bapa yang baru sahaja menimang cahaya mata lagi-lagi anak lelaki tak perlulah risau. Berdasarkan sebuah hadis daripada Ibn Abbas R. Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang.”

Berdasarkan hadis diatas, beraqiqah dengan seekor kambing bagi anak lelaki memadai tapi perlulah ia dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Asalkan rasa kesyukuran kepada tuhan kerana telah mengurniakan kita zuria, pastinya Rasulullah SAW akan berbangga di akhirat nanti kerana ramai umatnya yang menjalankan ibadah ini.

5 Syarat Sah Aqiqah Anak Lelaki Dan Anak Perempuan

Terdapat beberapa syarat sah aqiqah yang perlu kita tahu iaitu:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

1. Niat aqiqah

Semasa menyembelih binatang untuk aqiqah, penyembelih perlu berniat aqiqah dengan nama yang berkenaan. 

Tapi kalau penyembelih terlupa, ibadah ini masih diterima sekiranya dia telah berniat untuk melakukan ibadah aqiqah ke atas anak semasa membeli dan menyembelih.

Dan yang paling penting, aqiqah tetap sah walaupun anak yang diniatkan tiada di lokasi penyembelihan.

2. Binatang ternakan atau aqiqah berkaki empat

Ini adalah antara syarat wajib yang mana hanya binatang ternakan yang berkaki empat, halal dimakan dan tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal dan dalaman boleh disembelih.

Haiwan ternakan yang dimaksudkan ialah kambing, kerbau, kibas, biri-biri, lembu dan unta.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

3. Memenuhi syarat penyembelihan

  • Penyembelih mestilah beragama Islam, mumayyiz, tahu cara menyembelih dan bukan dalam keadaan ihram.
  • Binatang tersebut halal dimakan, mati dengan satu penyembelihan dan putus urat halkum dan urat merih
  • Menggunakan alat sembelihan yang tajam seperti parang

4. Binatang sembelihan berada dalam keadaan yang sempurna dan tidak cacat

Cacat di sini bermaksud buta sama ada sebelah atau kedua-dua belah, kaki tempang atau terlalu kurus kering. 

Selain itu, haiwan itu juga perlulah tidak bunting, namun jika bunting ia tidaklah haram dimakan.

5. Binatang cukup umur

  • Kibar: satu tahun atau telah gugur gigi hadapan setelah ia berumur enam bulan
  • Biri-biri, domba dan kambing: melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan atau hadapannya.
  • Lembu dan kerbau: melebihi dua tahun
  • Unta: melebihi lima tahun

Hikmah Aqiqah

Selain daripada menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan cahaya mata kepada kita, aqiqah juga mempunyai hikmah yang lain. Antaranya ialah:

  • Menghebahkan berita kelahiran anak supaya tidak timbul prasangka
  • Menghindari bayi daripada terkena penyakit
  • Menghindari bayi daripada terkena gangguan syaitan
  • Menghidupkan sunnah Nabi SAW ketika menyambut kelahiran bayi
  • Menghindari amalan bida’ah seperti lenggang perut dan baby shower atau amalan yang tidak bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.
  • Mengeratkan hubungan silaturahim dengan mengadakan kenduri aqiqah
  • Menghindari sifat kedekut dengan memberi makan kepada fakir miskin
  • Menggandakan pahala amalan sunat (melaksanakan aqiqah di bulan Ramadhan)

11 perkara lain mengenai aqiqah

Untuk mempelajari lebih lanjut berkenaan aqiqah, di sini kami ringkaskan dan lampirkan soalan-soalan lazim yang sering ditanyakan:

1. Apa hukum aqiqah?

Hukum aqiqah adalah sunat muakkadah (dituntut) bagi yang berkemampuan.

Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya:
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

2. Perbezaan aqiqah & qurban?

Aqiqah: Ibadah yang dilakukan sebagai tanda kesyukuran atas nikmat dikurniakan anak.

Qurban: Tujuannya untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Ia dilakukan sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim dan seterusnya Nabi Muhammad SAW.

Hukum kedua-duanya sunat muakkad.

3. Bila sepatutnya aqiqah dilakukan?

Waktu terbaik adalah pada hari ke-7 selepas kelahiran bayi. Jika terlepas atas sebab tertentu, anda boleh lakukan pada hari ke-14. Dan sekiranya tidak sempat juga, anda boleh laksanakan pada hari ke-21. Kadar perbezaannya adalah setiap tujuh hari berikutnya sehinggalah anak tersebut mencapai baligh.

Akan tetapi, sekiranya tidak mampu dilakukan dalam tempoh tersebut, anda boleh lakukan bila telah berkemampuan.

4. Berapa ekor kambing aqiqah untuk anak lelaki?

Untuk anak lelaki adalah dua ekor kambing sahaja.

Ini berdasarkan hadith dari Ummul Mukminin, Aaisyah R.A bahawa,

“Rasulullah telah menyuruh kami mengerjakan aqiqah bagi bayi lelaki dua ekor kambing yang bersamaan kedua-duanya dan bagi bayi perempuan pula satu ekor kambing.”
Riwayat At-Turmuzi

Untuk kes anak lelaki, sekiranya tidak mampu dua ekor, boleh buat satu ekor dahulu.

Ini sepertimana yang dilakukan dalam kes cucu Rasulullah yakni Hasan dan Husain, Rasulullah telah menyempurnakan aqiqah Hasan & Husain dengan menyembelih satu satu ekor kambing kibasy – Riwayat Abu Daud.

5. Bolehkah aqiqah seekor lembu untuk anak baru lahir?

Ya, boleh. Dalam mazhab Syafie, dibolehkan untuk menggantikan kambing dengan lembu ataupun unta. Ini seperti mana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:

مَذْهَبُنَا جَوَازُ الْعَقِيقَةِ بِمَا تَجُوزُ بِهِ الْأُضْحِيَّةُ مِنْ الابل والبقر والغنم وبه قال أنس ابن مَالِكٍ وَمَالِكُ بْنُ أَنَسٍ وَحَكَى ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ حَفْصَةَ بِنْتِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَا يُجْزِئُ إلَّا الْغَنَمُ

Maksudnya: Mazhab kami (iaitu al-Syafi`e), dibolehkan aqiqah apa yang dibolehkan dengannya sembelihan dari jenis unta, lembu dan kambing dan ini adalah pendapat Anas bin Malik dan Malik bin Anas.

6. Satu ekor lembu aqiqah bersamaan berapa orang bayi?

Kiraannya adalah seekor kambing itu bersamaan dengan 1 bahagian lembu.

Kadar bagi seekor kambing adalah bersamaan dengan 1/7 daripada lembu dan boleh dikongsi bahagian tersebut secara berjemaah.

Ini sesuai dengan apa yang disebutkan al al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:

وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ

“Dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari tujuh orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.”

7. Daging aqiqah untuk siapa?

Perbezaan aqiqah dan qurban adalah daging aqiqah disunatkan untuk dimasak terlebih dahulu untuk dimakan dan dijamu bersama keluarga, sahabat atau faqir miskin.

Anda boleh menjamu daging aqiqah kepada sesiapa sahaja tanpa ada halangan. Manakala daging qurban pula tidak dimasak, sebaliknya diagihkan secara mentah kepada umum.

8. Siapa yang boleh makan daging aqiqah?

Orang faqir miskin dari kalangan umat Islam kita sendiri. Akan tetapi, anda juga disunatkan memakan sebahagian daging sembelihan dari ibadah aqiqah, kemudian disedekahkan sebahagian lagi.

Ini sesuai dengan kata – kata dari Aisyah r.a bahawa :

“Sesungguhnya haiwan korban untuk aqiqah itu tidak dipatah-patahkan di bahagian tulangnya, ia juga adalah untuk dimakan oleh kita dan diberi makan (kepada fakir miskin).”(Ibn Abi Shaybah)

Ibu bapa anak yang diaqiqahkan boleh makan daging tersebut. Mereka mestilah tidak memakan daging itu berseorangan tanpa menjamu ahli keluarga terdekat, jiran tetangga, sahabat handai, fakir miskin dan sebagainya.

Sunat dalam ibadah aqiqah adalah memberikan kaki kambing aqiqah tersebut kepada bidan yang menyambut kelahiran bayi tersebut.

9. Apa hukum orang bukan Islam makan daging aqiqah?

Makruh hukumnya menjamu daging sembelihan aqiqah sedangkan masih terdapat golongan fakir miskin semuslim yang tidak diberikan daging aqiqah tersebut.

Haram hukumnya bilamana daging sembelihan dari ibadah aqiqah itu diberikan sepenuhnya kepada golongan bukan Islam berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw:

“Janganlah kamu bersahabat dengan bukan Islam dan jangan kamu memberi makan kecuali mereka yang bertakwa.”(Riwayat Abu Dawud)

10. Bolehkah saya buat aqiqah untuk diri sendiri?

Ibadah aqiqah adalah sunat yang sangat dituntut di dalam Islam. Sekiranya ibu bapa anda tidak berkemampuan atau tidak sempat melakukan aqiqah untuk anda, anda boleh melakukan ibadah aqiqah untuk diri sendiri.

Hal ini kerana, Nabi Muhammad saw juga melakukan ibadah aqiqah untuk dirinya sendiri selepas diangkat menjadi Rasul pada umurnya 40 tahun.

11. Bolehkah orang lain melakukan aqiqah untuk anak saya?

Rasulullah sendiri telah melaksanakan ibadah aqiqah buat cucunya Hassan bin Ali r.a dan Hussain bin Ali r.a atas kapasiti ingin membantu anak baginda Fatimah Azzahra r.a.

Untuk anak lelaki boleh juga satu ekor kambing lakukan oleh orang lain dan satu ekor kambing lagi dilakukan oleh anda sendiri. 

Semoga bermanfaat!

Sumber

MuftiWP (Sept 19, 2016). IRSYAD AL-FATWA KE-128: ADAKAH CUKUP AQIQAH SEEKOR KAMBING BAGI BAYI LELAKI? muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1237-irsyad-al-fatwa-ke-128-adakah-cukup-aqiqah-seekor-kambing-bagi-bayi-lelaki

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Boleh Cukur Jambul Bayi Dahulu, Baru Buat Aqiqah Jika Ibu Ayah Tidak Berkemampuan

Baca juga: Sudah Tiba Masa Untuk Aqiqah Anak? Ini Yang Anda Patut Tahu

Baca juga: Maksud Nama Dalam Islam Yang Indah Untuk Bayi Lelaki & Perempuan Yang Bakal Lahir

Penulis

Anis