Ketika menjaga dan menguruskan bayi yang masih kecil, rata-rata ibu akan berasa senang hati apabila si manja tidur lebih lama. Ketika inilah anda dapat ‘curi’ masa untuk berehat atau melakukan tugasan rumah. Namun tahukah ibu akan bahaya jika membiarkan baby tidur meniarap?
Segelintir ibu ayah berpendapat tidur meniarap dan mengiring boleh membuatkan bayi lena lebih lama. Walau bagaimanapun ramai yang masih tidak sedar atau ambil tahu keadaan ini boleh membuatkan bayi ‘lena buat selama-lamanya’.
Posisi baby tidur meniarap tidak selamat untuk bayi 0-12 bulan
Pakar pediatrik seluruh dunia sudah berdekad-dekat berjuang menyelamatkan nyawa bayi dari kes kematian mengejut (SIDS), di mana ia berpunca daripada tabiat menidurkan baby meniarap!
Sejak tahun 1992, Akademi Pediatrik USA (AAP) melancarkan kempen yang pertama dengan menyarankan bayi kecil tidur secara terlentang sahaja.
Selepas kejayaan penurunan kes sehingga hampir 70 peratus, kempen kebangsaan dimulakan pula pada 1996 yang terus menyaksikan penurunan kes sebanyak 24% lagi. Kempen ini menjadi sejarah yang besar.
Mana-mana individu yang mengajar bab tidur bayi namun tidak tahu atau tidak menekankan sejarah ini, maka ia sesuatu yang tidak kena kerana ia terlalu dikenali, ibarat ABC bab tidur bayi.
Pada tahun 2010, SIDS masih membunuh seramai 2, 000 bayi dan masih pembunuh utama bayi sihat berusia 0-12 bulan (AAP News &Journal, January 2016, volume 137. National Institute of Children Health and Dev. USA).
Justeru untuk bayi kecil dan masih belum mahir meniarap dengan sendiri, posisi tidur mereka hanya boleh secara terlentang.
Penyebab lain yang meningkatkan risiko lemas adalah:
- Permukaan meniarap yang menekan tulang dada bayi kecil yang masih lembut menyempitkan laluan pernafasannya.
- Tilam yang lembut atau cadar/lapik tilam yang mudah terkumpul di kawasan muka bayi yang meniarap
- Jeluak yang berjaya keluar ikut mulut atau hidung mudah berkumpul di kawasan hidung bayi yang meniarap
Manakala bagi bayi yang telah mahir meniarap dengan sendirinya, tiada masalah untuk baby tidur meniarap kerana kerana faktanya kadar SIDS menurun 80% di kalangan bayi yang telah mahir tiarap.
Ketika tempoh ini, si kecil anda telah mempunyai kekuatan koordinasi kawalan otot bagi ‘menyelamatkan’ diri seperti mengangkat kepala cukup lama dan cukup tinggi (melepasi tulang dadanya) jika tersembam di gumuh sendiri atau merasa lemas (akibat tekanan permukaan).
Justeru tidak logik jika ibu ayah asyik membalikkan badan bayi suka tidur meniarap. Tidak mungkin jugalah seorang ibu perlu berjaga sepanjang waktu agar anak tidur terlentang setiap kali meniarap.
Bayi usia 1 bulan hingga 12 bulan kerap mengalami SIDS
Sindrom Kematian Bayi Mengejut atau SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) adalah kematian secara tiba-tiba yang tidak dijangka. Sindrom ini biasanya berlaku pada bayi yang berumur dalam lingkungan 1 bulan hingga 1 tahun.
Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 95% kes SIDS adalah melibatkan bayi berumur 6 bulan dan kebawah dan 60% daripadanya berlaku ketika bayi berusia antara 2-4 bulan. Walaubagaimanapun, pakar perubatan masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian.
10 nasihat untuk mencegah Sindrom Kematian Mengejut (SIDS)
1. Elakkan bayi tidur meniarap. Dalam posisi meniarap, kemungkinan untuk tertutup hidung dan mulut sangat tinggi. Bayi masih tidak kuat untuk menukar posisi andaikata lemas.
2. Elakkan tidur di atas tilam dan cadar lembut. Tilam dan cadar yang lembut akan membuatkan bayi tenggelam dari paras selamat dan berkemungkinan akan terbenam mukanya.
3. Elakkan letak mainan lembut(soft toys) di atas katil. Ini akan menyebabkan kemungkinan mainan lembut boleh menutup muka bayi ketika tidur.
4. Elakkan bayi dari perokok. Kajian menunjukkan bayi yang terdedah dengan asap rokok dan sisa rokok berisiko tinggi untuk mati mengejut.
5. Elakkan memakain pakaian berlapis-lapis ketika tidur. Ini menyebabkan suhu badan bayi menjadi tinggi. Keadaan bayi yang terlalu panas boleh menambah risiko SIDS.
6. Elakkan bayi tidur dengan kanak-kanak lain. Kemungkinan kanak-kanak lain menghempap bayi tanpa sedar ketika tidur.
7. Menyusu badan anak dapat mengurangkan risiko SIDS 50%.
8. Jika bayi mengalami masalah jangkitan salur pernafasan, segera dapatkan rawatan doktor.
9. Ibubapa perlu beri lebih perhatian pada bayi yang pramatang kerana risiko SIDS sangat tinggi.
10. Dapatkan pemeriksaan prenatal berkala. Ini dapat mengurangkan risiko SIDS malah membantu ibu untuk memantau kesihatan bayi secara keseluruhan.
Posisi tidur yang betul dan selamat untuk bayi
Bagi ibu ayah baharu, selain belajar tentang cara menidurkan bayi, anda juga hendaklah memastikan posisi tidur yang betul dan selamat buat si manja.
Menurut portal Myhealth, tiada jadual tidur yang tetap untuk bayi baru lahir. Biasanya si manja akan mula mengenali waktu malam ketika mereka memasuki usia 3 bulan. Hampir 90 peratus bayi pada peringkat ini akan tidur sepanjang malam iaitu 6 hingga 8 jam.
American Academy of Peadiatrics mencadangkan posisi tidur bayi yang betul dan paling sihat adalah tidur terlentang, bukan meniarap atau mengiring.
Antara sebab atau kebaikan posisi tidur terlentang pada bayi adalah:
- Mengelakkan kejadian kematian bayi secara mengejut (Sudden Infant Death Syndrome-SIDS)
- Bayi yang kerap refluks akan kurang mengalami keadaan tersebut
- Bayi yang tidur dalam posisi ini tidak tersedak muntah atau mengeluarkan air liur. Menurut National Institutes of Health (NIH), bayi yang tidur terlentang mungkin dapat mengeluarkan cecair lebih berkesan.
Walau bagaimanapun, posisi tidur terlentang ini dikecualikan pada bayi yang pramatang, cacat bahagian kepala atau memiliki lidah besar sehingga menghalang proses pernafasan.
Mungkin sesetengah ibu hanya menurut kata orang tua-tua yang berpendapat tidur meniarap (sleep on her front) adalah lebih bagus.
Baby tidur meniarap adalah posisi yang salah dan tidak boleh sama sekali terutamanya untuk bayi berusia bawah 5 bulan. Ia boleh mendatangkan banyak kesan buruk, salah satunya adalah tersembam (tertutup muka sendiri) sehingga tidak boleh bernafas.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi Tidur Awal & Mudah Setiap Malam, Ibu Ini Kongsi 7 Petua BERKESAN Yang Diamalkannya
Baca juga: 5 Cara Bayi Tidur Yang Melambangkan Personaliti Mereka, Parents Wajib Tahu!
Baca juga: Normalkah Bayi Tidur Berdengkur? Ibu, Ini Petua Selamat Hilangkan Dengkur Pada Si Manja
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!