Tahu tak bayi sebenarnya sudah pandai berkomunikasi sejak mereka lahir lagi? Ya, ibu ayah semua hanya perlu tahu bahasa tubuh bayi!
Mereka mungkin tidak pandai bercakap dan memahami anda lagi, tapi mereka pandai menunjukkan apa yang dirasai mereka melalui bahasa tubuh bayi. Seperti Menggenggam tangan, menghisap jari, menoleh, membeliakkan mata dan sebagainya!
Penting untuk ibu ayah faham bahasa tubuh bayi ini supaya anda tidak perlu menunggu sehingga bayi menangis. Ya, memang bayi akan menangis jika ada yang tidak kena, tapi bila dia sudah menangis susah pula anda mahu memujuknya nanti.
5 bahasa tubuh bayi yang anda perlu peka
Foto: BBC
Sebenarnya terdapat banyak lagi cara bayi berkomunikasi, malah setiap bayi mungkin berbeza-beza. Namun ini antara bahasa tubuh bayi yang penting untuk anda tahu.
#1. Menggosok mata dan muka
Sekiranya bayi anda kerap menggosok mata dan pipinya ketika mereka sedang berjaga, ini adalah tanda mereka penat.
Selalunya bayi akan menggosok-gosok mata sambil termenung jauh dan seperti dalam zon mereka sendiri, ini antara tanda bahawa mereka ingin tidur dan jika diiringi dengan genggaman tangan ada kemungkinan dia juga lapar.
Jadi menyusu sehingga mereka tidur? Idea yang baik, kata bayi anda!
#2. Menghisap jari
Apabila anda menyentuh saja muka bayi, mulutnya akan mencari-cari dan ingin menghisap jari anda itu tandanya dia lapar. Bukan kelaparan yang melampau ya. Waktu itu manja-manja saja.
Kalau orang dewasa, itu mungkin tanda mahukan kudap-kudapan atau jajan. Jadi eloklah susukan mereka waktu ini, jangan tunggu sampai dia betul-betul kelaparan, nanti menangis sehingga keluar anak tekak.
Antara bahagian lain yang suka dihisap adalah jika anda sedang mendukung mereka, mereka akan hisap leher anda.
Foto: BBC
#3. Muka dengan ekpresi ‘Oooo’
Ini tanda bayi ingin bermain! Mereka akan pandang anda atau sekeliling dengan mulut membentuk ‘O’. Dan waktu itu semua yang anda agahkan pada dia dia akan menjawabnya dengan ‘Ooooo’ diikuti mata membulat!
Tidak cukup dengan itu mereka akan mengeluarkan bunyi-bunyi comel ketika anda mengagah mereka. Jika bayi anda berusia tiga bulan ke atas, waktu dia ingin bermain tentunya ketika dia menjerit-jerit teruja. Comel betul!
#4. Muka kemerahan dan mengangkat lutut
Ini biasanya disebabkan angin. Sama ada bayi anda mahu sendawa atau mahu menukar posisinya. Jika ia disertai dengan tangisan, itu tandanya bayi kembung perut.
Meniarapkan bayi anda di tangan, kemudian urut-urut sedikit belakangnya untuk buat dia sendawa. Kemudian bolehlah sapu minya pada bahagian perut. Jangan lupa calitkan sedikit pada paha dan tapak kaki bayi.
Foto: BBC
#5. Berpaling
Ketika sedang bermain dengan anda, tiba-tiba bayi berpaling, atau cuba merangkak pergi daripada anda, itu mungkin kerana mereka sudah bosan.
Tukar aktiviti lain atau mungkin mereka ingin bermain sendirian. Sekiranya mereka masih teruja anda boleh perhatikan ekspresi wajah bayi anda dengan mata membulat merenung anda. Sekiranya tidak, ya bayi juga tahu rasa bosan!
Ini antara petanda daripada bahasa tubuh bayi yang cukup biasa. Sekiranya bayi anda ada melakukan bahasa tubuhnya sendiri mengikut apa kemahuannya itu anda sendiri yang perlu peka. Ingat setiap bayi berlainan, tapi ini adalah antara kebiasaannya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: BBC
Baca juga: Ini Punca Mengapa Bayi Anda Merengek Bila Bersama Bayi Lain!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!