Hati-Hati Dengan Batuk Ini, Anak Anda Mungkin Menghidap Penyakit Krup!

Hati-Hati Dengan Batuk Ini, Anak Anda Mungkin Menghidap Penyakit Krup!

Krup adalah salah satu jangkitan pernafasan yang biasa dialami oleh kanak-kanak dan bayi. Baca dengan lebih lanjut untuk mengetahui tanda-tanda dan cara mengatasinya.

Adakah anak anda mengalami batuk dengan suara yang serak?

Anda pasti ingat dia cuma batuk biasa, kan? Tapi sebenarnya… Ada kemungkinan anak anda sedang menunjukkan simptom penyakit krup!

Mari baca untuk mengetahui tanda-tanda penyakit ini serta cara bagaimana ibu bapa boleh mengendali penyakit ini.

Apakah itu penyakit Krup?

Krup adalah sejenis jangkitan pernafasan yang paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak.

Ia boleh menyebabkan kotak suara (larinks) dan saluran pernafasan kanak-kanak itu membengkak hingga menghadapi masalah untuk bernafas.

Hati-Hati Dengan Batuk Ini, Anak Anda Mungkin Menghidap Penyakit Krup!

Kredit: wikihomeNutrition

Cara paling senang untuk mengenalpasti kemungkinan penyakit krup adalah dengan mendengar bunyi batuk kanak-kanak yang berbunyi seperti anjing menyalak (barking).

Batuk jenis ini selalu menyerang kanak-kanak dalam lingkungan 6 bulan – 3 tahun.

Selain itu, Persatuan Pediatrik Malaysia mendapati hampir 70% daripada mereka yang pernah dimasukkan ke dalam wad kerana penyakit krup adalah kanak-kanak lelaki.

Walaupun sangat jarang, penyakit ini juga boleh menyerang kanak-kanak yang lebih tua.

Apa penyebab penyakit Krup?

Kanak-kanak selalu terkena penyakit krup selepas menghidap flu, kerana kedua-duanya muncul dari virus yang sama.

Kebanyakkan kes-kes krup disebabkan oleh virus parainfluenza jenis 1, 2 dan 3 sementara kes-kes krup yang lain disebabkan oleh virus campak, virus respiratori sinsitial, adenovirus dan virus influenza jenis A dan B.

Selain jangkitan virus, jangkitan bakteria juga boleh menjadi punca serta keadaan-keadaan di bawah:

  • Alahan
  • Asid refluks
  • Pencemaran seperti asap rokok dan jerebu

Penyakit krup boleh berjangkit. Kuman yang menyebabkannya boleh berjangkit antara satu sama lain melalui batuk, bersin, mahupun sentuhan fizikal yang sangat dekat.

Hati-Hati Dengan Batuk Ini, Anak Anda Mungkin Menghidap Penyakit Krup!

Sumber gambar: Maxpixel

Apa tanda-tanda penyakit?

Pesakit akan mengalami gejala seperti batuk dan selesema sehari dua sebelum mulanya stridor.

Stridor adalah  bunyi berdehit semasa menyedut udara disebabkan oleh halangan dalam larinks dan trakea.

Batuk krup juga disertai dengan suara yang serak. Bunyi stridor lebih ketara pada waktu malam.

Kepada pemerhati yang kurang pengalaman, pengurangan stridor  mungkin nampak seperti kanak-kanak itu semakin pulih, tapi sebenarnya keadaan bertambah teruk.

Antara tanda-tanda ia makin teruk adalah:

  • Air liur meleleh atau kesukaran menelan, terutamanya untuk kanak-kanak kecil
  • Rasa cemas, gelisah dan penat
  • Bernafas pada kadar lebih cepat daripada biasa
  • Sesak nafas
  • Menjadi biru di sekitar mulut, hidung atau kuku (sianosis, tanda oksigen rendah).

Jika saluran pernafasan bertambah sempit dan keadaan bertambah serius, penukaran gas di paru-paru akan terjejas dan mereka akan kekurangan oksigen lalu ada terlalu banyak karbon dioksida dalam badan.

Ini akan menyebabkan mereka menjadi gelisah dan senang keliru.

Hati-Hati Dengan Batuk Ini, Anak Anda Mungkin Menghidap Penyakit Krup!

Bagaimana untuk mengelak penyakit krup ini?

Selalu cuci tangan untuk menjauhkan diri dari virus dan bakteria yang tidak diingini.

Di samping itu, ajar anak anda untuk mengehadkan hubungan fizikal dengan orang lain bagi mengelakkan penyebaran penyebab virus.

Kanak-kanak yang senang terdedah kepada penyakit ini mempunyai paru-paru dan tekak yang masih kecil. Oleh itu, berikan vaksin flu setiap tahun untuk memerangi virus ini.

Segera bawa bayi anda berjumpa pakar, kerana doktor GP biasa mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk mengesan penyakit krup.

Cuba baca kisah baru-baru ini tentang Reuben dari Newcastle, di mana seorang doktor telah mendiagnosis penyakit krupnya sebagai batuk bahagian atas dada

Tapi disebabkan tidak percaya dan naluri ibu bapanya yang kuat, mereka telah membawa Reuben ke hospital di mana keadaannya berubah menjadi lebih teruk.

Apakah tip untuk ibu bapa bagi mengatasi penyakit ini?

Di bawah adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah supaya bayi anda rasa lebih selesa:

  1. Cuba tenangkan anak anda dengan memberi pelukan & ciuman.
  2. Dukung atau dudukkan anak secara tegak boleh membantu dia rasa selesa dan lebih mudah bernafas.
  3. Jangan biar dia menangis lama-lama kerana ini boleh menjejaskan saluran pernafasannya dan anak akan lebih sukar untuk bernafas.
  4. Terapi humidifikasi – Juga dikenali sebagai terapi wap, untuk membantu mengurangkan kekeringan udara di bilik.
  5. Jika gejala krup muncul pada tengah malam, ibu bapa harus pantau keadaan anak sehingga pagi.
  6. Pastikan bayi tidak dehidrasi.
  7. Naikkan kepala bayi. Guna bantal tambahan apabila dia tidur pada waktu malam.
  8. Tapi jangan guna bantal untuk bayi di bawah 1 tahun. Tidur bersama anak supaya ibu bapa akan tahu dengan segera kalau anak mempunyai masalah pernafasan.
  9. Kanak-kanak akan batuk Krup selama 3 – 7 hari. Tetapi batuk ini boleh bertahan sehingga 2 minggu.
Hati-Hati Dengan Batuk Ini, Anak Anda Mungkin Menghidap Penyakit Krup!

Sumber gambar: Flickr | Aqua Mechanical

Bolehkah krup menimbulkan komplikasi?

Krup jarang mendatangkan komplikasi dan ia sebenarnya boleh dirawat di rumah. 

Tapi sebelum adanya vaksin, Krup merupakan penyakit yang boleh membawa maut, kerana bakteria Difteria. 

Segera hubungi ambulans atau bawa terus ke bilik kecemasan hospital jika kanak-kanak mengalami gejala seperti:

  • stridor yang bertambah teruk
  • sesak nafas
  • kelihatan lebih gelisah dan keliru
  • pucat
  • sianosis dan apnea
  • demam yang kuat (melebihi 39ºC dan kelihatan toksik
  • kesusahan minum dan makan

Sumber:  WebMdPersatuan Pediatrik Malaysia dan The Star

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Pentingkah Suntikan Vaksin Flu Untuk Anak Anda? Ini Jawapan Doktor Pakar

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

app info
get app banner