Bayi Anda Kuat Meragam? Kajian Meminta Para Bapa Melayan Ibu Dengan Lebih Baik!

Share this article with other mums

Adakah bayi kecil anda kuat meragam tanpa sebab yang diketahui? Anda sudah cuba pelbagai cara tetapi dia masih tidak tenang. Menurut satu kajian dari Amerika Syarikat, jalan penyelesaiannya ada pada golongan bapa!

Masalah bayi kuat meragam bukanlah satu perkara yang senang untuk ditangani. Jika tidak dikawal dengan baik, boleh tertekan kedua ibu bapa, terutamanya mereka yang baru pertama kali mempunyai anak kecil!

Masalah Bayi Kuat Meragam – Masalah Kolik

Situasi bayi meragam tanpa sebab munasabah digelar sebagai masalah kolik, atau ‘colic.’ Definisi kolik adalah seperti berikut: tangisan bayi yang berpanjangan tanpa sebab yang diketahui.

Ini bermakna, anak kecil anda boleh meragam walaupun telah diberi minum susu, ditukar lampin, didodoi, cukup tidur, perut disapu minyak, dan selesa bilik serta pakaiannya.

Kajian Menjumpai Jalan Penyelesaian untuk Masalah Bayi Kuat Meragam Tanpa Sebab

Haa…jika bayi kecil anda kuat meragam dan anda sudah tidak tahu lagi hendak buat apa bagi mengatasi masalah kolik ini, para pengkaji dari Universiti Penn State, USA, ada penyelesaian yang dikatakan dapat mengurangkan masalah bayi meragam.

Para bapa perlu memastikan yang si ibu sentiasa dalam keadaan terjaga dan gembira kerana kadar meragam bayi akan berkurangan apabila si ibu gembira.

Source: Coliccalm.com

Sejak sekian lama, masalah bayi kuat meragam telah dikaitkan dengan keadaan kesihatan mental ibu.

Jadi, para pengkaji dari Penn State telah menjalankan satu kajian secara terperinci tentang bagaimana keadaan sosial yang positif di sekeliling ibu dapat memberikan kesan positif kepada bayi.

3006 Para Ibu Ditemubual dan Maklumat Masalah Kolik Dikumpul

Mereka telah menemubual hampir 3000 orang ibu di seluruh negeri yang menyertai Program First Baby Study. Maklumat tentang kepuasan mereka terhadap kualiti layanan yang diberi oleh suami, ahli keluarga, rakan, dan masyarakat sekeliling telah dikumpul.

Soalan kajian ini merangkumi pengalaman para ibu semasa dan selepas melahirkan anak dan mereka turut mengumpul data tentang masalah kolik di kalangan bayi mereka.

Hasil keputusannya? Kajian ini mendapati bahawa para ibu yang gembira dengan layanan suami dan orang di sekeliling melaporkan yang mereka kurang mengalami masalah bayi meragam, atau kolik.

Ibu yang Gembira Menghasilkan Anak yang Tidak Kuat Meragam

Kajian ini juga menunjukkan bahawa para ibu yang mempunyai suami yang banyak membantu dan menjaga bayi mereka dengan penuh kasih sayang dan kelembutan juga kurang mengalami masalah bayi kuat meragam.

Anda mungkin tertanya-tanya apakah kaitan antara ibu yang gembira dengan keadaan bayi yang kuat meragam. Sebenarnya, para pengkaji yang menyertai kajian ini juga tidak pasti mengapa kebahagiaan ibu mampu mengurangkan masalah kolik.

Source: Thedatingdivas.com

Tetapi, jika dilihat dari sudut pengalaman, anda pernah perasan tak yang ibu hamil yang tenang dan gembira sepanjang kehamilan atau berpantang cenderung untuk mempunyai bayi kecil yang tidak kuat meragam?

Walaupun kajian lanjut masih dibuat, laporan penemuan ini sepatutnya boleh memberi motivasi kepada para bapa di luar sana. Anda perlu menjaga keadaan isteri anda – dari segi fizikal, emosi dan mental – sebaik mungkin.

Para ayah sekalian, apabila isteri anda gembira, anak anda juga akan gembira. Hasilnya, hidup anda pun akan lebih tenang dan gembira, kan?

Bahasa Melayu Bayi Keibubapaan Parenting tips Untuk Ayah