Dapat menyediakan bekal anak ke sekolah menjadi kepuasan setiap ibu. Lebih-lebih lagi apabila anak gembira menikmatinya sehingga habis dan membawa pulang bekas kosong.
Tidak dinafikan bahawa tugas memasak pada waktu pagi memberikan cabarannya tersendiri. Sebab itulah ibu-ibu digalakkan untuk merancang lebih awal menu bekal ke sekolah untuk seminggu bagi memudahkan penyediaan bahan-bahan yang diperlukan.
Koleksi bekal anak ke sekolah yang mudah dan mengenyangkan
Seorang ibu, Siti Hawa Mohd Zainudin telah berkongsi beberapa menu bekal anak ke sekolah yang mudah dan mengenyangkan. Paling penting makanan yang disediakan sama seperti makan di rumah.
Assalamualaikum geng KSR. Ini merupakan di antara menu-menu yang saya sediakan untuk “bekal box” anak bujang teruna (9tahun) ke sekolah.
Alhamdulilah anak saya memang tak cerewet dalam bab menu bekal dan Alhamdulillah dia ok bawak bekal ke sekolah.
Nasi putih, ayam masak kicap, sosej goreng dan biskut
Nasi putih, singgang ikan, sosej, lempeng dan buah epal
Nasi putih, tomyam dan telur dadar
Waktu rehat pagi: Nasi goreng bersama jejari ayam, buah jambu batu
Waktu tengah hari: Nasi putih dan ikan masak sos
Nasi putih, daging singgang dan telur dadar
Bihun goreng, ayam celup tepung
Mee goreng, telur mata dan jejari ayam
Kuetiau goreng ayam, buah mangga
Ikan goreng, kuah kuning dan buah epal
Waktu rehat pagi: Nasi goreng, daging burger
Waktu rehat tengah hari: Nasi putih, sardin dan ayam goreng
Kesan positif yang saya perasan bila anak bawa bekal ke sekolah sekarang ialah:
#1. Lebih jimat wang saku harian
Sebelum ini setiap hari saya akan beri RM3/RM4 untuk anak membeli di kantin sekolah. Jika hari Selasa ada aktiviti ko-kurikulum, maka wang saku saya akan beri RM6 untuk anak makan tengahari di kantin sekolah.
Hari Rabu – Jumaat pula anak ada sekolah agama maka selalunya saya beri dia RM2 sahaja sebab kebiasaan dia sudah siap makan tengahari di rumah.
#2. Anak kenyang lebih lama
Anak saya seorang yang berselera makan apabila melibatkan hal makanan. Sebelum ini saya perasan, setiap kali balik dari sekolah selesai mandi/solat dia akan terus minta makan nasi sebab lapar.
Sejak sediakan bekal untuk anak, dia memang jarang minta makan tengahari sampai saya pula kena tanya dia nak makan tak/tak lapar ke balik sekolah taknak makan.
#3. Saiz hidangan dan kebersihan makanan terjamin
Saya pernah pergi ke kantin sekolah anak dan melihat sendiri bagaimana saiz makanan yang disediakan di kantin, ia agak menyedihkan.
Walaupun dari segi harga makanan masih dikekalkan harga lama tapi saiz makanan agak sedikit dan jika seperti anak saya yang berselera makan, apalah sangat nasi lemak RM1 yang dibungkus dalam plastik mencukupi untuk perut anak.
Tiba-tiba saya rasa bersalah sungguh dengan anak ketika ini. Pernah ada satu acara di sekolah, saya menemaninya dan rakan-rakan anak ke kantin sekolah untuk membeli makanan dan sedihnya kuetiau goreng sudah berbau basi.
#4. Anak berasa teruja setiap hari bawa bekal ke sekolah
Walaupun anak saya lelaki, dia sekarang teruja setiap hari bawa bekal ke sekolah. Bila ditanya apa bekal yang ingin dibawa, dia akan jawab tak kisah Mommy tapi kalau nasi putih lauk macam nie pun dah okay katanya.
Yang seronok setiap kali balik dari sekolah, dia akan beritahu bekal hari ini habis dimakan. Bukan itu sahaja, ada juga kawan-kawannya minta nak rasa makanan sikit. Jadi mereka makan bersama.
#5. Anak kata tidak perlu beratur/berebut nak beli makanan di kantin
Bab ini anak paling suka sebab tidak perlu berebut dan beratur nak beli makanan. Ada banyak masa untuk bertenang ketika waktu rehat, makan bekal sambil berbual kosong dengan kawan-kawan.
Kadang-kadang hampir ke semua kawan anak yang rehat bersama bawa bekal. Jadi seronok mereka rehat bersama dan bertukar rasa bekal makanan yang dibawa.
Ok ini pandangan peribadi saya dan anak. Mungkin kita semua tak sama saiz “kasut” jadi jangan lah ada yang muncul komen berbaur kecaman. Kita raikan kepelbagaian pendapat kan lebih indah. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Kongsi 12 Idea Bekal Anak Sekolah Darjah Satu Yang Menarik & Sedap, Jimat Duit Belanja Harian
Baca juga: Haramkan Gadjet Ketika Di Meja Makan, Waktu Inilah Untuk Anak Bonding Dengan Keluarga!
Baca juga: Buai Baby Bukan Penyebab Gegaran Pada Otak, Ibu Ayah Wajib Tahu Beberapa Fakta Ini!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!