Kebanyakkan ibu bapa sering mengalami masalah untuk mengekalkan ketenangan diri dan tidak cepat naik marah, terutamanya pada anak-anak mereka.
Apabila kita tiada kekuatan fizikal dan mental untuk melakukannya, sudah pasti kita sering akan terlepas kawalan dan akhirnya, menjerit pada anak di atas setiap kesilapan mereka.
Jika anda adalah seperti yang disebut di atas, mungkin sudah sampai masanya untuk anda belajar cara berhenti jerit pada anak dan mula kuasai teknik menenangkan diri.
Percayalah, jika anda dapat mengurangkan kecenderungan anda untuk menjerit pada anak-anak, ia akan membawa manfaat besar kepada diri sendiri, dan juga pada psikologi si kecil juga.
Ikuti tip yang kami kongsikan di bawah ini dan lihat perbezaan positif pada diri dan ahli keluarga anda!
10 cara untuk berhenti jerit pada anak
1. Ketahui tanda-tanda biasa kemarahan
Sumber: The Asian Parent Singapore
Mengenalpasti tanda kemarahan dalam diri kita adalah satu usaha permulaan yang baik.
Apabila anda dapat rasa isyarat yang anda akan mula naik angin, maka bertambah mudahlah untuk anda mengawal diri.
Antara tanda biasa apabila seseorang itu naik marah adalah rasa berat pada dada, pemikiran negatif mula muncul di fikiran anda, anda mula berubah intonasi suara (semakin tinggi).
Mungkin juga anda mula mengetap gigi, menggenggam penumbuk, dan berpeluh. Jika anda perasan akan tanda ini, segeralah ingatkan diri supaya bertenang.
2. Ingatkan diri yang anda tidak akan menjerit
Pada masa ini, anda sudah boleh mula mengingatkan diri (atau bercakap pada diri sendiri) yang anda akan kekal bertenang, tidak akan menaikkan suara, dan tidak sesekali akan menjerit pada anak anda.
Sebenarnya, jika anda bertenang, turunkan badan pada aras ketinggian anak anda, terangkan apa kesalahan mereka dan kenapa ia mengecewakan anda, ia sudah cukup untuk membuat si kecil anda faham.
Ingatkan diri anda sentiasa yang menjerit tidak akan membawa apa-apa kebaikan pada anda serta anak anda.
3. Lambatkan rasa kemarahan yang meluap dalam diri anda
Sumber: The Asian Parent Singapore
Antara cara berhenti jerit pada anak yang boleh anda buat adalah anda perlu lambatkan rasa marah dalam diri anda.
Bagaimana? Jika anda sedang marah ketika berdiri, cari kerusi dan duduk. Jika anda berasa marah ketika duduk, beredar dari tempat tersebut dan pergilah berbaring.
Anda juga boleh melakukan kiraan sehingga 20. Nampak seperti agak kelakar, tapi percayalah, ia dapat mengelakkan dari rasa marah yang membuak-buak!
Selain itu, jika anda beragama Islam, pergilah ambil air wudhu. Air wudhu pasti dapat memadamkan api kemarahan!
4. Mula belajar untuk berlapang dada
Langkah ini adalah satu usaha jangka masa panjang yang perlu anda lakukan. Ini supaya anda tidak lagi akan menjadi seorang ibu atau ayah yang sangat senang naik angin.
Dengan belajar untuk berlapang dada terhadap anak-anak, semakin mudah untuk kita mengawal diri dan tidak cepat untuk memarahi mereka.
Kita perlu belajar untuk menjadi tidak terlalu sensitif dan hanya memfokuskan pada kesilapan anak-anak.
Kita perlu sedar yang anak kita itu masih dalam proses mendewasakan diri dan belum matang. Maka, sudah pasti mereka tidak dapat mengelak dari melakukan kesalahan.
5. Lihat dalam mata anak
Sumber: The Asian Parent Singapore
Lagi satu teknik menenangkan diri dan cara berhenti menjerit pada anak adalah dengan melihat ke dalam mata anak anda.
Sebenarnya, dengan memanggil anak anda (yang sedang takut dan tahu yang dirinya bakal dimarahi) datang dekat dengan anda, dan dengan anda melihat ke dalam matanya, rasa tenang akan datang dengan sendiri.
Anda akan nampak diri anda dalam matanya. Rasa tenang mula hadir dan anda sedar bahawa memarahinya secara menjerit tidak akan memberi sebarang faedah.
Cubalah!
6. Kawal diri dengan menarik nafas dalam-dalam
Antara sebab praktikal kenapa anda perlu menarik nafas dalam-dalam apabila rasa yang anda bakal naik angin dan ingin menjerit pada anak anda adalah: susah sebenarnya nak menjerit dan bernafas panjang pada masa yang sama.
Jadi, teknik menarik nafas panjang sebenarnya sangat membantu untuk menghalang anda daripada menempik dan memekik dalam rumah!
7. Buat benda yang berlawanan – berbisik!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Ini mat saleh panggil “reverse psychology“. Berbanding menjerit, cuba sesuatu yang lain iaitu menegur anak anda secara berbisik ke telinganya.
Manfaat yang pertama adalah dengan cara ini, si kecil anda akan berada dekat dengan anda.
Anda pula mungkin lebih bertenang apabila mengawal suara daripada tinggi kepada rendah secara sedar.
Manfaat yang kedua adalah, apabila anda berbisik, anak anda perlu mencuba sedaya upaya untuk mendengar dan memahami bisikan anda.
Lebih mudah untuk si kecil anda mengingati teguran anda apabila dia memberikan penumpuan tinggi seperti ini.
Cuba anda menjerit – lagi dia tutup telinga adalah!
8. Gunakan mantra atau berzikir
Teknik yang diajar oleh para psikologi barat adalah supaya kita menyebut mantra secara kuat apabila kita mula rasa hendak marah dan menjerit pada anak.
Antara contohnya adalah: “Maafkan dia. Dia baru 3 tahun.”
Dan, mantra ini perlu diulang beberapa kali sehingga ia masuk ke minda anda dan anda sedar yang tiada gunanya marah pada kanak-kanak yang baru berusia 3 tahun!
Untuk ibu ayah yang beragama Islam, tambah ketenangan diri dengan beristighfar dan berzikir ketika marah.
9. Tetapkan peraturan dengan anak-anak
Sumber: The Asian Parent Singapore
Ini lagi satu “hack” yang boleh anda cuba di rumah untuk elak dari memekik pada anak bila mereka buat salah.
Ketika anda tenang, tetapkan peraturan dengan anak anda. Beritahunya beberapa kesalahan yang anda sangat “pantang” jika dia buat.
Contohnya: “Ibu cukup marah kalau kamu conteng dinding. Jangan buat ya perangai begini. Ibu senang naik angin kalau ibu nampak kamu conteng dinding.“
Dengan peringatan sebegini, si kecil anda akan berfikir dua kali sebelum melakukan perkara yang anda “pantang” lihat itu!
10. Fahami anak-anak
Jika langkah di atas adalah tentang anak anda memahami perangai atau sifat anda, langkah yang terakhir ini memerlukan usaha dari pihak anda pula.
Fahamilah sifat anak anda. Anda fikir anda kenal anak. Tapi, perlu diingatkan juga yang dirinya sedang membesar.
Dia sedang mengenal dunia dan mengeksplorasi minat dan keinginan dirinya. Dia belum tahu mana satu yang betul dan mana satu yang salah.
Dengan memahami dirinya, maka akan mudahlah untuk anda memaafkan anak kecil anda itu, apabila dia tersilap langkah.
Dan yang lebih penting, dengan memahami si kecil anda, senang untuk anda menegur kesilapannya secara tenang dan berhemah, tanpa menjerit dan menyakiti hatinya.
Jadi, ibu ayah sekalian, cuba 10 langkah menenangkan diri dan cara berhenti jerit pada anak yang dikongsikan di atas. Kemudian, kongsikan dengan kami sama ada ia berkesan atau tidak ya!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Cara Mendidik Anak-anak Supaya Mendengar Kata
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!