Berapa Lamakah Tempoh Pantang Bersalin Yang Wajib? Ini Penjelasan Dari Pakar

Tempoh pantang bersalin setiap orang adalah berbeza mengikut cara masing-masing. Buat ibu moden, anda mungkin tertanya-tanya adakah ia wajib dilakukan?

Setiap wanita mempunyai cara berpantang selepas bersalin yang tersendiri, namun biasanya kita dengar tempoh pantang bersalin ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya 44 hari selepas melahirkan anak.

Hal ini kerana pada zaman serba moden ini, ramai wanita yang masih tidak faham konsep berpantang seperti mana yang diakui oleh Dr Imelda Balchin dalam posting yang dikongsikannya di Facebook.

Baca juga: Berpantang Sendiri Ketika PKP Agak Mencabar, Ibu Perlu Tahu Cara Betul Uruskan Diri

Perbezaan pendapat mengenai tempoh pantang bersalin 

Malahan itu, dalam aplikasi theAsianparent juga kami mengajukan soalan sama ada ibu betul-betul mengamalkan pantang atau tidak selepas bersalin? 

Ini jawapan daripada pengguna aplikasi theAsianparent. Jom kita intai satu persatu! 

Pengguna aplikasi theAsianparent yang menggunakan nama Waniy Yusoff mengatakan tempoh pantang bersalin dia adalah 100 hari. Maknanya, dia memang betul-betul mengamalkan pantang! 

Manakala seorang lagi pengguna aplikasi ini yang menyembunyikan identiti dirinya memberi komen, dia berpantang mengikut kemampuan dan yang paling penting pantang bersama suami, tidak angkat benda berat, ambil makanan berkhasiat, minum air dua hingga tiga liter sehari, pantang keluar rumah atau ke tempat awam kerana sistem imun bayi yang masih rendah dan tidak sekuat orang dewasa. 

Berbeza pula dengan Eja Haliza di mana semasa berpantang ibunya yang jaga maka serba serbi tak boleh buat. Malah setiap hari kena makan ikan tapi berbeza menu.

Namun, apa yang seronok berat badannya mudah turun. Jadi selepas 44 hari dia teruskan lagi berpantang selama 60 hari dengan harapan berat boleh konsisten turun.

Pada masa yang sama ambil juga makanan berkhasiat seperti supplement untuk bagi nutrisi pada bayi.

Pandangan tentang tempoh berpantang selepas bersalin dari Dr Imelda Balchin 

Siapa yang tidak kenal dengan Dr Imelda yang merupakan Profesor Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya yang pernah berkata tradisi berpantang ini sebenarnya satu kemewahan kepada orang berada kerana tidak semua mampu hidup mewah.

Menurutnya lagi, yang wajib dalam Islam ialah tidak melakukan hubungan kelamin dengan suami selagi darah nifas belum kering (had maksima yang diberikan selama 60 hari bukan setakat 40 hari sahaja). Namun, dibolehkan bersama suami jika darah nifas kering awal dari 40 hari.

Tapi, berpantang lain tidak semua wajib dan yang paling penting ibu diberi sokongan emosi dari semua ahli keluarga supaya ibu dapat memenuhi permintaan bayi yang baru dilahirkan.

Tambah Dr. Imelda lagi, mungkin sokongan dari sudut emosi itu boleh mengelakkan masalah meroyan tapi belum ada lagi kajian yang membuktikan kaedah berpantang tradisional boleh elakkan masalah tersebut.

Minum air secukupnya selepas bersalin

credit to sources

Selain itu, demi kesihatan ibu baru bersalin dan menyusu, mereka perlu minum sekurang-kurangnya tiga liter air sehari supaya penghasilan susu sentiasa lancar dan banyak.

Malah, Dr Imelda juga menyarankan ibu bersalin supaya melakukan senaman ringan dengan lebih kerap bagi melancarkan pengaliran darah salah satu caranya dengan berurut. Kalau tak mampu cari orang untuk berurut boleh buat senaman ringan.

Malah, urat hijau yang kembang di kaki juga bukanlah disebabkan masuk angin tapi saluran darah vena yang membawa darah kembali dari kaki ke jantung atau kita panggil sebagai Varicose Vein.

Bahkan, tiada angin dalam saluran darah atau urat saraf dalam badan kita.

Cara mengelak varicose vein

#1. Kerap bersenam agar pengaliran darah lebih lancar.

#2. Kurangkan berat badan melalui penjagaan makanan dan senaman.

#3. Elakkan berdiri lama. Juga jangan duduk lama sangat tapi bangun dan berjalan.

#4. Bila berjalan, elakkan pakai sepatu tinggi.

#5. Bila tidur di waktu malam, tinggikan sedikit kaki di atas beberapa bantal supaya kaki lebih tinggi dari badan yang sekaligus membantu pengaliran darah dari kaki ke jantung.

#6. Jika mengalami ulser di kulit kaki atau bengkak kaki disebabkan varicose vein ini sila berjumpa doktor untuk rujukan selanjutnya.

Kesimpulannya, ibu jangan rasa bersalah jika tidak berpantang dengan baik asalkan anda telah menjaga segala hal seperti yang ditulis di atas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Says.com 

Baca juga: Doktor Kongsi Pengalaman Berpantang Cara Moden Yang Betul Agar Luka Bersalin Cepat Sembuh