Anak luar nikah atau anak tidak sah taraf adalah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.
Namun, tidak wajarlah jika kita perlu memandang serong terhadap bayi yang tidak berdosa.
Untuk makluman, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapa.
Cara buat surat beranak anak luar nikah lebih kurang sama dengan cara daftar anak yang baru lahir dalam ikatan pernikahan yang sah.
Diharapkan perkongsian artikel ini dapat membantu anda yang ingin tahu proses serta cara buat surat beranak anak luar nikah dengan betul untuk memudahkan urusan mendaftarkan anak di kemudian hari.
Isi Kandungan
Sejarah Kedudukan Anak Luar Nikah Menurut Islam
Menurut Syarak. status anak luar nikah dari segi undang-undang boleh ditentukan merujuk kepada beberapa perkara iaitu dari segi:
1. Pensabitan nasab
Ia ditentukan dengan tiga kaedah iaitu:
- perkahwinan
- keterangan saksi
- ikrar
Jika nasab anak tidak dapat ditentukan melalaui mana-mana kaedah di atas, maka anak tersebut bukan sahaja tidak boleh dinasabkan kepada bapanya malah tidak dapat diwalikan oleh bapanya dan tidak dapat mewarisi harta pusaka bapanya.
Taraf anak tersebut tetap tidak sah dan tidak ada jalan yang membolehkan ia menjadi sah.
2. Peruntukan undang-undang
Seksyen 110 (Akta 303) memperuntukkan:
“Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.”
Berdasarkan peruntukan di atas, sekiranya seorang anak dilahirkan oleh seorang wanita hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki:
- selepas enam bulan qamariah perkahwinan; atau
- dalam masa empat tahun qamariah selepas perceraian,
Maka, anak yang lahir dalam jangka masa yang tersebut dianggap sebagai anak sah taraf, melainkan si bapa menafikan nasab anak tersebut di Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa.
Secara ringkas, sekiranya anak tersebut dilahirkan luar dari tempoh yang dinyatakan di atas, contohnya selepas empat bulan perkahwinan, maka anak tersebut akan dianggap sebagai anak tidak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan , dibin atau dibintikan kepada bapanya.
Sekiranya seorang anak lahir selepas tamat tempoh iddah, dalam seksyen yang sama memperuntukkan:
“Jika seorang perempuan, yang tidak berkahwin semula, membuat satu pengakuan bahawa tempoh ‘iddahnya telah tamat sama ada ‘iddah itu adalah oleh sebab kematian atau perceraian dan perempuan itu kemudiannya melahirkan seorang anak, maka suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika anak itu telah dilahirkan kurang daripada empat tahun qamariah dari tarikh perkahwinan itu dibubarkan oleh sebab kematian suaminya itu atau oleh sebab perceraian.”
Manakala bagi persetubuhan syubhah antara seorang lelaki dengan perempuan, anak yang dilahirkan dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan adalah dianggap sebagai anak kepada lelaki itu.
Anak tidak sah taraf pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin bertujuan memberi tafsiran awal bahawa anak tak sah taraf wujud daripada persetubuhan yang diharamkan dalam seluruh syariat para Nabi AS.
Tiada penemuan saintifik berkenaan kedudukan anak tak sah taraf dalam agama terdahulu, tetapi tidak dinafikan ia wujud berdasarkan hukuman zina yang disyariatkan dalam kitab seperti Taurat, Zabur dan Injil.
Perbuatan zina bukanlah jenayah yang berat pada zamn jahiliah kerana masyarakat yang masih berpegang kepada amalan ritual yang berpandukan hawa nafsu, sangkaan dan tardisi nenek moyang.
Berlainan pula pada zaman islam yang mana isi perjanjian di atas pengharaman zina di peringkat permulaan di Mekah adalah berbentuk kesalahan dosa ukhrawi sahaja.
Ia tidak menjelaskan secara terang sama ada hukum-hakam berkaitan nasab, nafkah dan mahram, apatah lagi undang-undang jenayah Islam.
Namun begitu, kedudukan anak tak sah taraf sama sekali tidak menjejaskan hak kemanusiaan seperti keagamaan, kewarganegaraan, pendidikan, jawatan awam, biasiswa dan lain-lain. Mereka tetap mulia dan disanjung sekiranya menjadi individu yang berilmu, profesional dan bertaqwa.
Cara Buat Surat Beranak Anak Luar Nikah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
1. Tempoh untuk mendaftar
Sebaiknya, tempoh pendaftaran mesti dilakukan dalam masa 42 hari tetapi ia kini telah pun dilanjutkan kepada 60 hari. Permohonan yang dilakukan selepas 60 hari dari tarikh kelahiran akan dianggap sebagai pendaftaran kelahiran lewat.
2. Siapa boleh mendaftar?
Menurut laman web Jabatan Pendaftaran Negara, mereka yang boleh memaklumkan kelahiran bayi termasuk:
- Bapa bayi
- Ibu bayi
- Orang yang tinggal serumah di mana bayi itu dilahirkan
- Mana-mana orang yang menyaksikan kelahiran itu
- Mana-mana orang yang menjaga bayi tersebut.
3. Dokumen yang perlu dibawa
- Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang siap diisi
- Borang Pengesahan Kelahiran dari hospital atau Surat Akuan Bidan/Doktor untuk mereka yang bersalin di rumah
- Kad Pranatal (Buku Merah)
Dokumen Ibu Bapa (Salinan Dan Asal)<
- Kad Pengenalan / Pasport ibu dan bapa bayi
- Sijil Kematian ibu dan bapa bayi (jika berkaitan)
- Sijil Perkahwinan atau Perceraian
Dokumen Pemaklum / Wakil Ibu Bapa (Salinan Dan Asal)
- Kad Pengenalan / Pasport
4. Bayaran
Tiada bayaran jika pendaftaran dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.
5. Kelahiran Anak Tak Sah Taraf / Anak Luar Nikah?
Maklumat bapa bagi bayi-bayi yang lahir di luar perkahwinan tidak akan dicatatkan dalam daftar kelahiran dan anak itu akan diberi nama bin atau binti Abdulah.
Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.
Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.
Prosedur Pendaftaran Surat Beranak
Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Rendah Syariah di tempat pemohon bermastautin.
Antara dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti berikut:
- Notis Permohonan
- Afidavit Sokongan
- Eksibit-eksibit seperti:
- salinan kad pengenalan
- sijil memeluk islam
- borang perkahwinan bagi perempuan
- borang perkahwinan bagi lelaki
- lain-lain dokumen yang berkaitan
4. Surat sokongan dari Pendaftar Nikah.
5. Fi yang secukupnya.
Selepas ini, diharapkan ibu bapa jangan keliru cara buat surat beranak anak luar nikah. Proses pendaftarannya sama seperti mendaftar kelahiran biasa.
Bezanya cuma kalau pemohonan awal dilakukan sebelum bayi itu berusia 6 bulan. Pendaftaran dan pemohonan tidak sepatutnya mengambil masa yang lama sekiranya semua borang dan dokumen yang diperlukan adalah lengkap.
Sekiranya ibu bapa ada sebarang pertanyaan, sila bertanya dengan pegawai di kaunter atau hubungi Jabatan Pendaftaran Negara di cawangan negeri masing-masing.
JPN, Malaysian Insights , BH, SPPIM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia