Boleh kata yang cuaca panas berbahang sekarang di negara kita ini membuatkan penggunaan aircond hampir sepanjang hari dibuatnya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di rumah. Sebenarnya ada cara jimat elektrik untuk menggunakan aircond ketika musim panas ini supaya tidaklah nanti terkejut bila bil elektrik sampai hujung bulan ini.
Anda boleh amalkan cara ini untuk menjimatkan elektrik ketika menggunakan aircond di rumah:
Isi Kandungan
1. Guna timer
Seeloknya anda menggunakan timer aircond untuk menetapkan bila ia perlu ditutup. Ia mengikut waktu-waktu yang anda pilih untuk penghawa dingin itu ditutup secara automatik.
Dengan cara ini, ia akan membantu menjimatkan elektrik kerana aircond akan ditutup buat sementara, pada ketika ruang rumah masih lagi dalam keadaan dingin, dan cukup untuk memberikan anda keselesaan dan tidak berpeluh.
Tidaklah penggunaan aircond itu berterusan sepanjang hari dan ia sekaligus membuatkan peningkatan bil elektrik jika ini yang anda lakukan. Sesuatu ruang itu akan kekal dingin buat beberapa jangka masa, bergantung pada tahap cuaca di luar, apabila kita membuka aircond untuk beberapa lama.
Jika anda merasakan yang ruang tersebut kian bahang dan panas semula, anda boleh membuka semula aircond untuk membantu menyejukkan persekitaran ruang tersebut.
2. Tutup suis utama
Adalah disarankan untuk kita menutup suis utama setiap kali menutup suis aircond. Ini membolehkan penjimatan elektrik sehingga 10 peratus jumlah penggunaan elektrik di rumah. Bukan aircond sahaja, ia juga berkesan untuk sebarang peralatan di rumah dan kabel extension di rumah. Tidak percaya? Cubalah!
3. Tetapkan suhu yang tepat
Tahukah anda yang apabila anda menetapkan suhu 16 ke 18 darjah celsius ia akan memaksa kompressor aircond untuk mencapai suhu tersebut? Ia akan menyebabkan bil elektrik meningkat mendadak. Untuk penjimatan, apa yang anda boleh lakukan adalah menetapkan suhu pada 24 darjah celsius atau lebih. Dengar seperti tidak masuk akal bukan? Sebenarnya suhu 24 darjah celsius adalah suhu yang selesa untuk cuaca kita.
4. Bersihkan penapis aircond setiap bulan
Satu lagi cara jimat elektrik apabila menggunakan aircond adalah dengan mencuci penapis aircond. Bila penapis pada bahagian dalam penghawa dingin menjadi kotor, ia akan menyebabkan keberkesanannya berkurang, sekaligus menggunakan lebih banyak tenaga elektrik dan ia membuatkan kos penyelenggaraan akan jadi lebih tinggi. Jadi seeloknya, lakukan pembersihan penapis udara setiap bulan.
5. Pasang kipas untuk alternatif
Setiap rumah di Malaysia ini perlukan kipas. Tidak kira kipas syiling, kipas dinding mahupun kipas lantai. Kipas juga berfungsi untuk menyejukkan ruang, sekaligus ia tidaklah menggunakan tenaga elektrik yang kuat seperti aircond.
Anda boleh gunakannya secara alternatif, jadi tidaklah aircond digunakan sepanjang masa atau pada tempoh yang lama.
6. Servis aircond
Sebaiknya untuk melakukan servis aircond secara berkala. Ia demi memastikan yang ia berfungsi dengan baik dan tidak meniupkan udara yang panas. Sekarang ini sudah terdapat aircond yang jenis inverter, yang mana ia lebih mesra alam sekaligus menjimatkan penggunaan elektrik.
Semoga artikel ini bermanfaat buat anda.
mStar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Jenama Aircond Terbaik Untuk Bilik Tidur Dan Ruang Tamu Di Rumah Anda
Baca juga: Rumah Sejuk Tanpa Pasang Aircond, Wanita Kongsi Cara Bajet Hadapi Cuaca Panas
Baca juga: Panas Bahangnya Tak Terkata Sekarang Ini. Jangan Lupa Untuk Kekal Hidrasi Sepanjang Bulan Puasa Ya!