Kebiasaannya, wanita akan memilih pil perancang untuk merancang keluarga malah kerja itu jadi mudah bila adanya pelbagai jenis perancang di pasaran. Namun, tahukah anda cara makan pil perancang yang betul?
Sebelum mengulas lebih lanjut tentang cara makan pil perancang dengan betul, anda harus tahu pil perancang ini sebenarnya mempunyai kombinasi kedua-dua jenis hormon iaitu estrogen dan progesteron.
Namun, seseorang wanita itu perlu berjumpa doktor sebelum memulakan pil perancang supaya dapat mengenal pasti mana satu yang sesuai untuk anda.
Ini kerana, wanita melebihi umur 35 tahun dinasihatkan mengambil pil perancang yang mengandungi kadar hormon estrogen yang rendah bersamaan 20 microgram.
Selain itu, mereka juga disarankan membuat pemeriksaan tekanan darah dan ujian pap smear. Malah, jika mengalami sakit lemah jantung atau barah payu dara, anda tidak boleh ambil pil perancang ini.
Cara makan pil perancang yang betul dan tepat
Bagi pengambilan pertama kali, anda perlu ambil pil perancang pada hari pertama pendarahan haid berlaku. Pengambilan seterusnya diambil selama 21 hari mengikut arah anak panah pada paket pil. Kesan serta-merta akan berlaku dalam kes ini.
Jika pil pertama diambil pada hari kelima haid, maka anda harus menunggu selama 14 hari sebelum perancang kehamilan berkesan.
Ini kerana, pengambilan pil pada hari kelima haid tidak menjamin sama ada dapat menghalang pembesaran folikel yang akhirnya akan mengalami proses ovulasi dan berlakunya kesuburan meskipun telah ambil pil ini.
Jika ini berlaku, anda disarankan memakai kondom bagi menghalang kehamilan terjadi. Maka, hati-hati ya, jangan sampai terlajak!
Bagi pengambilan pil perancang pada bulan kedua dan seterusnya, anda perlu ambil setelah berhenti haid selama tujuh hari (biasanya kita period hanya tujuh hari saja, kan?). Setelah itu, ambil pil pertama bagi paket kedua dan perlu diambil pada hari kelapan dari tarikh mula haid berhenti atau tidak.
Cara makan pil perancang yang membuatnya tidak berkesan, lihat 5 punca ini
#1. Tak makan ikut waktu yang betul
Kalau makan tak ikut waktu yang tepat maka macam mana benda itu nak berkesan, betul tak? Sebab itu, anda digalakkan mengambil pil perancang dengan lebih berdisiplin setiap hari.
Jika kerap sangat terlupa nak makan, apa kata anda pasang alarm, pakai aplikasi perancang keluarga atau buat nota mudah dan tampal di peti sejuk atau di mana-mana tempat yang mudahkan untuk anda ingat.
Namun sekiranya masih lupa selama dua hari berturut-turut, maka elakkan bersama suami dalam masa 7 hari. Jika tidak, guna kaedah sokongan yang lain.
#2. Simpan pil dengan cara yang salah
Tidak kira pil perancang atau ubat-ubatan yang lain, jika terdedah pada suhu panas maka ia boleh menjejaskan keberkesannya. Jadi, cari tempat yang sesuai untuk letakkan ubat anda. Sila periksa juga tarikh luput ya!
#3. Pengambilan ubat-ubatan yang lain
Kajian mendapati, beberapa jenis ubat seperti antibiotik dan ubat anti-fungal boleh memberi kesan terhadap penggunaan pil perancang. Walau apapun, maklumkan kepada doktor terlebih dahulu jika anda sedang ambil pil perancang.
#4. Makanan detox
Apa saja makanan jenis pelawas dan suplemen diet yang bersifat detox semestinya boleh memberi kesan pada keberkesanan pil perancang yang diambil.
Antara herba yang perlu dielakkan juga seperti pil bawang putih, flaxseed dan alfalfa. Namun dapatkan pandangan dan nasihat doktor untuk penjelasan lanjut.
#5. Muntah dan cirit birit
Jika anda alami masalah muntah dan cirit-birit sebaiknya anda gunakan juga kaedah perancang yang lain kerana kemungkinan pil tersebut tidak dapat diserap ke dalam tubuh. Seterusnya kemungkinan untuk hamil adalah sangat tinggi.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Takut Badan Gemuk Bila Makan Pil Cegah Kehamilan? Ini 4 Jenis Pil Perancang Yang Sesuai Untuk Anda!
Baca juga: Apa Jadi Pada Tubuh Jika Anda Berhenti Ambil Pil Perancang?
Baca juga: Mahu Rancang Kehamilan Tapi Tak Mahu Guna Pil Perancang? Ini Caranya