Bila datang haid, kita memang selalu rasa tak selesa dengan darah yang banyak, senggugut dan perut kembung. Jadi, bila tiba-tiba darah haid sedikit, kita mungkin akan rasa seperti ada yang tidak kena.
Apa maklumat lanjut yang akan anda baca dalam artikel ini?
- Mengapa darah haid sedikit?
- Punca haid lambat
- Cara mengatasi haid lambat
Darah haid berkurang mungkin akan buat anda rasa lebih selesa, tapi ia juga mungkin tanda ada sesuatu yang tak kena.
Mengapa darah haid sedikit?
Adakah anda pernah alami darah haid hanya keluar sedikit saja, tetapi ia berterusan. Sebenarnya, keadaan darah period sikit ini dipanggil hypomenorrhea iaitu terma saintifik bagi pendarahan yang kurang.
Secara normalnya, kebanyakan wanita akan menghasilkan antara 30 mililiter hingga 50 mililiter darah haid.
Menurut pakar endokrinologi reporduktif, Lina Akopians darah haid yang tiba-tiba menjadi sedikit boleh disebabkan oleh isu hormon atau sesuatu berlaku pada organ dalam badan anda.
Disebakan itu, jika berlaku darah keluar sedikit, anda tidak boleh menganggapnya biasa. Ada baiknya anda buat pemeriksaan dan cuba kenalpasti sebarang perubahan yang anda rasakan pada tubuh badan.
Perlu dibimbangi juga jika darah haid keluar sedikit tapi lama. Jom kami kongsikan antara sebab kenapa darah haid sedikit:
#1. Mengandung
Walaupun ramai wanita berhenti haid apabila mereka mengandung, ada beberapa wanita yang terus mengalami pendarahan.
Darah haid sedikit atau tompokan darah (spotting) mungkin menunjukkan anda mengalami kehamilan ektopik (kehamilan luar rahim) yang boleh menjadi bahaya. Namun usah risau, ada baiknya lakukan pemeriksaan terlebih dulu.
Jika anda positif hamil, darah yang muncul biasa hanya setitik dua. Warnanya juga cenderung berwarna merah jambu atau cerah kekuningan.
Dipanggil sebagai implantasi dan berlaku dalam tempoh 10 hingga 14 hari selepas persenyawaan. Tempoh keluar darah ini biasanya antara 1-2 hari dan tidak akan berlanjutan sehingga 5-7 hari. Pada waktu ini anda akan mendapati keluar darah seperti haid tapi sedikit.
#2. Berat badan bertambah atau berkurang
Kimia tubuh badan sangat halus, jadi bila berat badan anda bertambah atau berkurang, ia akan bertindak balas. Salah satu caranya adalah anda mungkin tak datang haid atau darah anda akan menjadi sikit.
Walaupun ini mungkin kelihatan seperti sesuatu yang positif, badan anda memerlukan keseimbangan antara protein, karbohidrat, lemak dan vitamin untuk terus berfungsi secara normal.
Peningkatan berat badan juga membuatkan ada mereka yang mengalami haid berpanjangan tapi sedikit kerana berlakunya perubahan hormon akibat kenaikan berat badan.
#3. Anda tertekan
Darah haid keluar sedikit juga boleh disebabkan oleh mental dan fizikal anda sedang menghadapi tekanan.
Jika anda mengalami tekanan yang lebih dari sekadar bergaduh dengan pasangan seperti kematian ahli keluarga, ia boleh menyebabkan kecelaruan hormon.
Ini juga boleh terjadi bila anda terlebih bersenam dan meletakkan tekanan yang berlebihan pada tubuh anda.
#4. Tiroid terlalu aktif
Kelenjar tiroid terletak di hadapan leher anda, bawah kotak suara dan ia melepaskan hormon yang mengawal pelbagai fungsi badan seperti suhu badan dan pencernaan.
Tiroid terlalu aktif juga dikenali sebagai hipertiroidisme, mengeluarkan terlalu banyak hormon yang boleh menyebabkan masalah jantung, tekanan darah, otot dan banyak lagi.
Darah haid yang sedikit adalah salah satu tanda hipertiroidisme atau tak datang haid langsung. Jika anda mempunyai tanda-tanda tiroid terlalu aktif, segera rujuk dengan doktor anda.
#5.Perancang kehamilan
Salah satu sebab biasa darah haid sedikit adalah anda sedang mengambil pil perancang kehamilan. Jika anda baru saja mula makan pil perancang dan darah haid anda berkurang, nikmatinya saja.
#6. Sindrom ovarium polikistik
Sindrom ovarium polikistik (PCOS) adalah keadaan di mana ovari menghasilkan jumlah androgens yang lebih banyak dari biasa. Beberapa wanita yang menghidap PCOS biasanya akan mempunyai kantung berisi cecair atau cyst di dalam ovari.
Perubahan hormon ini boleh menghalang wanita dari ovulasi secara normal dan menyebabkan tanda-tanda yang kurang menyenangkan seperti jerawat, kulit berminyak, berat badan naik atau bulu badan berlebihan.
Tanda biasa PCOS yang lain adalah darah haid menjadi lebih sedikit dari biasa, haid tak menentu atau tak datang haid. Jika anda mengalami tanda begini, beritahu doktor anda untuk mendapatkan rawatan sepatutnya.
#7. Berumur
Jangan risau, ini tak bermakna anda tua. Apabila pesakit mengatakan tentang perubahan haid, perkara pertama yang doktor akan periksa adalah umur.
Mungkin ini kerana anda bakal menopaus tapi selalunya jika anda semakin berumur, kitaran haid anda akan berubah.
#8. Hilang banyak darah semasa bersalin
Ini adalah keadaan yang janrang berlaku. Kehilangan banyak darah menyebabkan badan anda kurang oksigen dan akan merosakkan kelenjar pituitari yang dipanggil sindrom Sheehan.
Ini akan membuatkan kelenjar penghasilan hormon anda berkurang secara drastik. Jika ini berlaku, anda mungkin perlukan terapi penggantian hormon.
Mempunyai darah haid sedikit dari biasa tak semestinya sesuatu yang buruk telah berlaku pada anda. Kira kitaran haid anda untuk dua bulan dan jika ia tak kembali normal, buat temujanji dengan doktor ginekologi anda.
Punca haid lambat
Anda ada kalender untuk memantau haid setiap bulan. Bagi yang sudah berkahwin, jika lewat mulalah risau jika mengandung lagi jika masih tidak bersedia.
Walaupun sesetengah orang mungkin mempunyai kebolehramalan yang tepat mengenai tempoh haid mereka namun ada juga yang langsung tidak boleh mengesannya kerana mempunyai haid yang tidak tetap. Jadi haid anda lewat satu atau dua hari, jangan panik.
Kitaran haid anda ialah tempoh masa dari hari pertama haid ke hari pertama haid anda yang seterusnya. Secara purata, kitaran ini adalah 24 hingga 38 hari.
Ini bermakna kitaran 28 hari sebulan dan kitaran 26 hari pada bulan berikutnya mungkin tidak perlu dibimbangkan. Haid anda mungkin dianggap lewat jika sudah lebih 38 hari sejak haid terakhir anda.
Jadi apakah punca haid lewat? Ia tidak semestinya sebab mengandung saja. Ada sebab lain yang menjadi sebab kelewatannya. Antaranya termasuklah:
#1. Diet dan senaman yang melampau
Pemakanan yang sihat dan senaman yang kerap boleh kesan yang baik kepada kesihatan anda. Namun, jika anda berlebihan, anda mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada haid anda, sekurang-kurangnya buat sementara waktu.
Atlet yang berlatih sangat keras atau yang tidak mendapat cukup kalori mungkin berhenti haid. Ia adalah cara badan memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyokong kehamilan.
Apabila haid anda berhenti disebabkan penurunan berat badan, diet atau senaman, anda mengalami amenorea sekunder. Ini bermakna anda pernah mengalami haid, tetapi telah berhenti. Amenorea sekunder mungkin berlaku kepada anda jika anda:
- Makan diet yang terlampau terhad kalori.
- Mempunyai gangguan makan, seperti anoreksia atau bulimia.
- Menurunkan banyak berat badan dalam masa yang singkat.
- Jalani latihan senaman tegar, seperti untuk maraton.
#2. Sindrom ovari polikistik (PCOS)
PCOS adalah ketidakseimbangan hormon yang mengganggu pembebasan telur (ovulasi). Apabila anda tidak mengalami ovulasi, anda biasanya tidak mengalami haid.
Ramai penghidap PCOS mempunyai haid yang tidak teratur, lewat atau tiada. Gejala lain PCOS termasuk:
- Jerawat
- Rambut muka atau badan yang berlebihan
- Rambut menipis
- Pertambahan berat badan atau masalah menurunkan berat badan
#3. Umur muda
Orang muda yang mula datang haid tidak akan serta-merta mempunyai kitaran 28 hari setiap bulan. Biasanya, ia mengambil masa beberapa tahun untuk keadaan menjadi stabil dan teratur.
Ini kerana kanak-kanak praremaja dan remaja mempunyai paksi hipotalamus-pituitari-ovari (HPO) yang tidak matang.
Paksi HPO ialah sistem hormon yang mengawal ovulasi dan kitaran haid anda. Beberapa tahun masa diambil untuk paksi HPO matang dan mengawal haid anda.
Lazimnya, haid anda akan menjadi sekata dan menjadi lebih mudah diramal pada usia lewat remaja dan 20-an.
Cara mengatasi
Apa yang anda boleh buat adalah sentiasalah peka dengan keadaan diri anda.
Jangan abaikan haid yang terlepas. Jika anda memantau haid anda, anda mungkin akan segera mengetahui jika ada sesuatu yang tidak kena.
Simpan diari tempoh haid dalam kalendar anda atau dapatkan aplikasi yang direka untuk tujuan itu. Rekod haid anda boleh memberikan maklumat yang berharga untuk anda dan doktor anda.
Doktor ingin mengetahui butiran tentang haid anda sebelum ini supaya dapat menentukan sama ada terdapat masalah.
Kelewatan haid sekali-sekala selalunya disebabkan oleh sesuatu yang kecil dan tidak berbahaya, tetapi jika anda kerap mengalami haid lewat atau tidak teratur, dapatkanlah pemeriksaan doktor untuk mengetahui maklumat selanjutnya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tanda Period Berkait Dengan Kesihatan Wanita, Ambil Tahu Makna Warna Darah Haid Anda!
Baca juga: Haid Tidak Teratur? Lihat Tanda-Tanda Ini Untuk Tahu Jika Anda Hamil!
Baca juga: Ini Sebab Mengapa Seks Ketika Haid Dilarang, No.3 Paling Serius!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!