Cara Menaikkan Berat Badan Anak 2 Tahun Agar Nampak Lebih Berisi & Sihat!

Risaunya bila tengok anak masih kurus walaupun dia makan banyak! Cuba cara menaikkan berat badan anak ini. Mana tahu menjadi dan dia kembali normal.

Yang nak kurus si ibu, tapi anak yang sudah berusia 2 tahun ke atas ini pula yang nampak lebih slim hingga menyebabkan berat badannya kurang normal dalam carta pertumbuhan kanak-kanak. Agaknya, apa lagi cara menaikkan berat badan anak 2 tahun ke atas ini?

Bila melihat anak yang semakin ‘melidi’, tentunya ibu akan rasa bimbang. Kemudian ada pula yang cakap ibu tak sediakan makanan berkhasiatlah, ibu malas masaklah dan macam-macam lagi.  Stres!

Sebelum nak kecam ibu tersebut, anda patut tahu, berat badan bayi dipengaruhi oleh genetik atau selera anak itu sendiri. Menurut Stephen R. Daniels, Profesor Pediatrik Children’s Hospital Medical Centre, berat badan anak boleh berubah seiring dengan perkembangannya.

Namun begitu, ibu jangan berputus asa dan berusaha dalam mengembalikan semula berat badan anak yang hilang dengan melakukan 3 usaha ini dengan lebih konsisten.

Guna 3 Cara Menaikkan Berat Badan Anak Ini

1# Ambil makanan berkalori

Kredit: Pexels

Untuk menambahkan berat badan anak, ibu perlu menyediakan makanan yang mempunyai tinggi kaloriMakanan yang tinggi dengan kalori terbahagi kepada tiga iaitu protein, karbohidrat dan lemak.

Protein boleh didapati dalam daging merah, ayam, ikan berminyak ataupun keju manakala karbohidrat pula termasuk kentang, beras perang, roti dan pasta bijirin penuh.

Lemak pula termasuk buah avokado, mentega, keju lemak tinggi serta mayonis. Di samping itu, anda perlu banyak memberi anak makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Kacang pis sebagai contoh mengandungi 67 kilokalori (kalori) per 100 gram manakala sayur kale mengandungi 54 kilokalori (kalori) setiap 100 gram.

2# Cara menaikkan berat badan anak adalah dengan makan mengikut jadual

Kredit: Freepik

Dengan jadual makan yang teratur, ia dapat menambahkan berat badan anak. Sebagai contoh sarapan pada pukul 8 pagi, makan tengahari jam 1 petang dan makan malam pada pukul 8.

Konsisten dengan jadual ini supaya anak tahu jam tersebut dia perlu makan.

3# Cara menaikkan berat badan anak dengan beri jus buah dan susu rendah lemak

Kredit: Pexels

Dalam usaha menaikkan berat badan anak, ibu boleh berikannya minum jus buah yang dibuat sendiri di rumah tanpa gula dan susu rendah lemak.

Bahagian pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut berkongsi tips ini:

  • Bubur nasi bayi ditambah bersama daging, ikan dan ayam (pilih salah satu) kemudian digaul dengan minyak dan mentega (tanpa garam).
  • Roti pula boleh ditambah mentega, kekacang atau keju. Kemudian boleh dicelup dengan telur.

Cara memasak hidangan anak yang terlalu kurus harus diubah supaya berlakunya pertambahan protein dan lemak sihat dalam tubuhnya.

Kredit: Pexels

  • Memberi anak makan telur yang diakui mempunyai tinggi protein. Anda boleh menyediakan telur ini dengan menggorengnya bersama mentega.
  • Masak ubi goreng dengan minyak atau mentega. Ia boleh juga direbus dan makan bersama ikan, madu atau mentega. Selain itu, anda boleh juga buat pengat ubi.
  • Masak cucur goreng dengan menggunakan bahan-bahan seperti telur, sayur, mentega, susu dan ikan bilis. Dijamin sedap sekaligus bantu menambahkan berat badan anak.
  • Kekacang juga bantu menambahkan tenaga dalam tubuh anak yang terlalu kurus. Antara hidangan yang sesuai seperti kacang goreng, bubur kacang, kuah kacang dal dan lain-lain.
  • Jika menyediakan minuman susu, ibu boleh tambah sedikit gula atau serbuk coklat ke dalam minuman tersebut.

Buatlah cara apa sekalipun, ibu harus tetap konsisten dan sabar melayan karenah anak yang kadang kala menguji kesabaran apabila menolak makanan yang dihidangkan.

Ayuh ibu, mulakan rutin sihat ini dari sekarang!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Masalah Tumbesaran Bayi: Anak Tiba-Tiba Turun Berat, Ini Yang Anda Perlu Lakukan