Mendisiplinkan si manja yang sedang membesar boleh menjadi tugas sangat mencabar seiring pertambahan usia mereka. Justeru, ibu ayah perlu tahu cara mengajar anak dengan lemah lembut berbanding kekerasan kerana ia tidak akan memberikan kesan yang baik terhadap peribadi mereka.
Tidak kira pandangan anda terhadap hukuman, dalam mencorakkan tingkah laku anak pastinya akan timbul pelbagai perkara yang membuatkan ibu ayah risau.
Setiap ketua keluarga pastinya memiliki gaya keibubapaan berbeza dan anda perlulah memilih pendekatan yang terbaik.
Cara mengajar anak ketika meragam, ini kaedah berkesan yang mungkin ibu ayah tidak tahu
Tidak dinafikan setiap anak memiliki karenah dan sikap berlainan. Sebagai ibu ayah, anda tidak boleh membezakan anak dan berlaku adil dalam mendidik mereka.
Jadi, para pakar mengatakan bahawa ada strategi sederhana yang lebih jauh efektif tanpa anda perlu membuang masa dan menguji kesabaran diri.
Kebanyakan ibu ayah pada hari ini mempercayai konsep time out, iaitu membiarkan anak memikirkan sendiri kesalahan yang dilakukan.
Hal ini yang membuatkan si manja berasa malu dan terasing ketika berada di kawasan ramai orang. Kaedah ini akan memanjangkan masa untuk anak dalam situasi kurang baik.
Justeru cara mengajar anak yang lebih baik adalah bergantung pada konsep time-ins. Ia adalah teknik ibu ayah menjauhkan si manja dari situasi tegang dan meletakkannya di tempat tenang sehingga dia menunjukkan perubahan lebih baik.
Teknik mengawal tingkah laku anak dengan time-ins
Baru-baru ini seorang pengguna media sosial, Maarte Mami berkongsikan rahsia untuk mengurangkan anak meragam ketika berada di rumah.
Maarte telah menyediakan satu sudut yang selesa di ruang tamu, dipenuhi dengan bantal dan mainan kegemaran anaknya. Idea ini mendapat perhatian ramai kerana terbukti berkesan dalam mewujudkan persekitaran yang menenangkan keinginan kanak-kanak dan membantu si manja merehatkan minda.
Masa yang diluangkan ini dapat membantu anak mengatur tingkah laku dan sikap mereka dengan cara lebih sihat.
Dalam hal ini, persekitaran tenang dapat meningkatkan keupayaan minda untuk lebih fokus, membolehkan mereka berfikir lebih mendalam dan mengetahui bahawa tindakan yang ditonjolkan adalah satu kesalahan tanpa rasa takut.
Konsep time-ins ini tidak memerlukan banyak penyelesaian untuk dilakukan. Ibu ayah hanya memanfaatkan ruang di dalam rumah, susunan kusyen besar atau kerusi, barang mainan kegemaran anak dan beberapa koleksi buku.
Sekiranya anda dan anak-anak berada di luar dan mereka mula menunjukkan rasa bosan atau tertekan, bawa mereka ke tempat yang tenang buat sementara waktu seperti kereta atau di luar kawasan sekitar.
Tempat yang tenang dapat memulihkan anak dari ledakan perasaan dan sekaligus melepaskan emosi mereka.
Manfaat mengawal tingkah laku anak dengan konsep time-in
Time-in menggunakan konsep peneguhan positif dan mengelakkan hukuman berat. Maarte mengakui bahawa strategi ini sangat berkesan.
”Terdapat banyak emosi anak yang boleh menyebabkan mereka tertekan. Nampak time-out langsung tidak berkesan apabila saya hanya membiarkan anak duduk bersendirian mengurus perasaan ini,”
”Adalah lebih baik bagi ibu ayah menyediakan ruang yang tenang sebagai jalan keluar untuk merenung, memusat dan memproses pemikiran serta mengatur emosinya.” katanya.
Tambah Maarte lagi, sudut menenangkan ini memungkinkan si manja untuk bermeditasi, melakukan latihan pernafasan atau hanya menenangkan diri bermain pelbagai mainan menarik bagi rangsangan derianya.
Pakar juga percaya bahawa tindakan memarahi atau menghukum boleh memburukkan lagi keadaan. Dengan menyediakan sedikit ruang si manja bertenang, ia sekaligus mendekatkan mereka terhadap konsep peraturan tingkah laku dalam pelbagai situasi.
Bagi ibu ayah yang mengaplikasikan konsep time-ins ini, ia juga boleh menjadi cara bersama untuk menghabiskan masa berkualiti dan mengeratkan lagi hubungan dengan si manja. Adalah normal bagi anak-anak yang sedang membesar berdepan pelbagai cabaran emosi.
Hubungan ibu ayah dengan anak dapat mengatasi sebarang kesulitan. Pemilihan pendekatan yang terbaik dapat membentuk keperibadian si manja dengan sempurna.
Sumber: Times of India
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Ajar Anak Tolong Buat Kerja Rumah Mengikut Umur