Demam campak pada bayi bukan sahaja meresahkan tetapi juga mencabar bagi ibu bapa yang baru pertama kali menghadapinya. Namun, dengan cara merawat demam campak bayi yang betul dapat mengurangkan jangkitan ini dan anak kembali sihat.
Apa Itu Demam Campak?
Demam campak adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Paramyxovirus. Ia sangat mudah merebak melalui titisan air liur apabila seseorang batuk atau bersin.
Bayi yang belum menerima imunisasi lebih berisiko dijangkiti kerana sistem imun mereka masih lemah.
Penyakit ini menyebabkan ruam merah yang bermula di muka sebelum merebak ke seluruh badan, selain gejala lain seperti demam dan batuk.
Simptom Demam Campak Pada Bayi
Tanda-tanda demam campak biasanya muncul dalam tempoh 10 hingga 14 hari selepas bayi terdedah kepada virus. Berikut adalah simptom yang perlu anda perhatikan:
- Demam tinggi: Biasanya melebihi 38°C dan boleh berterusan selama beberapa hari.
- Ruam merah kecil: Bermula di muka, kemudian merebak ke seluruh badan.
- Simptom selesema: Batuk, hidung berair, dan mata merah berair (konjunktivitis) adalah gejala biasa.
- Tompok putih kecil di dalam mulut: Tanda khas yang dikenali sebagai tompok Koplik, sering muncul sebelum ruam.
- Lesu dan hilang selera makan: Bayi kelihatan tidak bermaya dan mungkin enggan menyusu.
Jika bayi menunjukkan tanda-tanda ini, penting untuk bertindak segera bagi mengurangkan ketidakselesaan dan mencegah komplikasi.
Cara Merawat Demam Campak Bayi Yang Mudah & Berkesan
Walaupun tiada ubat khusus untuk menyembuhkan demam campak, terdapat beberapa cara merawat demam campak bayi boleh anda lakukan untuk mengurangkan simptom dan memastikan bayi lebih selesa sepanjang tempoh pemulihan.
1. Pastikan Bayi Mendapat Rehat Yang Cukup
Rehat yang cukup membantu badan bayi melawan jangkitan. Sediakan tempat tidur yang selesa, tenang dan jauh dari gangguan bunyi.
Elakkan membawa bayi keluar rumah, terutama ke kawasan awam bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.
2. Kawal Suhu Badan Bayi
Lap badan bayi menggunakan kain lembap suam untuk menurunkan suhu badannya. . Elakkan menggunakan air sejuk kerana ia boleh menyebabkan bayi menggigil.
Jika perlu, beri ubat demam seperti paracetamol bayi mengikut dos yang disyorkan oleh doktor. Jangan sekali-kali beri aspirin kerana ia tidak selamat untuk bayi.
3. Melegakan Ruam dan Gatal
Mandikan bayi dengan air suam yang dicampur oatmeal. Oatmeal membantu melegakan kulit yang gatal dan meradang.
Gunakan pelembap kulit bayi yang bebas bahan kimia untuk memastikan kulitnya kekal lembap dan kurang iritasi.
Jika bayi tergaru ruam, potong kuku mereka pendek untuk mengelakkan luka pada kulit.
4. Pastikan Bayi Kekal Hidrasi
Pastikan bayi menyusu dengan kerap sama ada susu ibu atau susu formula. Susu ibu adalah pilihan terbaik kerana ia mengandungi antibodi semula jadi yang membantu melawan jangkitan.
Jika bayi sudah mula makan makanan pelengkap, tawarkan makanan lembut seperti bubur atau sup yang boleh membantu menambah tenaga.
5. Kekalkan Kebersihan Persekitaran
Pastikan bilik bayi sentiasa bersih, segar, dan bebas daripada habuk. Udara yang bersih dapat membantu bayi bernafas dengan lebih baik.
Basuh tangan sebelum menyentuh bayi atau menyediakan makanannya untuk mencegah jangkitan tambahan.
Langkah Pencegahan Demam Campak Pada Bayi
Mencegah sememangnya lebih baik daripada merawat. Walaupun bayi kecil belum cukup umur untuk menerima vaksin campak (diberikan pada usia 9 bulan), anda boleh mengambil langkah berikut untuk melindungi mereka:
1. Vaksinasi Bayi
Pastikan bayi mendapat suntikan vaksin MMR (Measles, Mumps, Rubella) mengikut jadual imunisasi kebangsaan. Vaksin ini sangat berkesan untuk melindungi daripada demam campak.
2. Amalkan Kebersihan Diri
Selalu basuh tangan sebelum dan selepas menyentuh bayi, terutama jika baru pulang dari tempat kerja dan sebagainya.
Bersihkan mainan, botol susu dan peralatan bayi dengan kerap untuk mencegah kuman.
3. Kurangkan Kontak Dengan Pesakit Campak
Jika ada ahli keluarga atau orang sekeliling yang sedang sakit campak, jauhkan bayi daripada mereka sehingga mereka sembuh sepenuhnya.
Bila Perlu Bawa Bayi Berjumpa Dengan Doktor?
Walaupun kebanyakan kes demam campak boleh dirawat di rumah, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Bawa bayi ke hospital jika:
- Demam berterusan lebih daripada tiga hari walaupun sudah diberikan ubat.
- Bayi kelihatan sangat lemah atau lesu.
- Terdapat gejala lain seperti muntah yang berterusan, cirit-birit, atau kesukaran bernafas.
- Ruam kelihatan semakin teruk atau terdapat tanda-tanda jangkitan kulit seperti bernanah.
Demam campak mungkin menakutkan, tetapi dengan penjagaan yang betul bayi boleh sembuh tanpa komplikasi.
Paling penting, ibu bapa perlu kekal tenang dan pantau keadaan si kecil dari masa ke masa. Jika ada tanda-tanda bahaya, jangan tunggu lama untuk mendapatkan bantuan doktor.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Baby Demam Tanda Tubuh Sedang Membina Ketahanan, Begini Cara Turunkan Suhu Demam Yang Berkesan
Baca juga: Anak Kerap Minum Air Kosong Bukanlah Tabiat Yang Normal, Ia Petanda Diabetes!
Baca juga: Risau Penularan Virus Influenza, Ini 5 Klinik Yang Menyediakan Vaksin Influenza Sekitar KL & Selangor
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!