Kelahiran anak adalah simbol kasih sayang antara pasangan suami isterinya. Dalam menyambut kedatangan insan baharu, masih ramai yang keliru dengan amalan yang dibuat masyarakat Melayu sama ada ia perlu atau sebaliknya ini termasuklah amalan cukur rambut bayi baru lahir.
Yang mana satu sunnah? Yang mana satu adat? Yang mana satu boleh membawa kepada khurafat? Ini antara perkara yang sering menjadi kekeliruan terutama ibu bapa baharu dan muda yang kebanyakannya kurang arif mengenai perkata seperti ini.
Antara amalan yang boleh kata menjadi kemestian bagi masyarakat melayu adalah cukur rambut bayi baru lahir.
Isi Kandungan
Cukur rambut bayi, perlu atau tidak?
Amalan cukur rambut bayi ini, biasanya digelarkan sebagai cukur jambul oleh masyarakat Melayu. Menerusi satu wawancara Utusan Malaysia sebelum ini bersama Allahyarham Datuk Abu Hasan Din Al Hafiz, beliau pernah menyatakan amalan mencukur jambul (rambut bahagian depan saja) dan menggunakan kelapa semasa upacara berlangsung adalah amalan bidaah dan khurafat kerana meniru agama Hindu.
Menurutnya, Islam menggalakkan rambut bayi dicukur sehingga botak untuk menyingkirkan segala kotoran yang terlekat di rambut bayi semasa dalam kandungan. Selain itu ia agar rambut baharu dapat tumbuh dengan lebih sihat.
Sedekah pada fakir miskin
Rambut yang telah dicukur itu kemudian disedekahkan kepada fakir miskin dengan cara menimbang dan menyamakan berat rambut dengan nilai perak atau emas.
Contohnya berat rambut adalah satu gram, dan nilai emas pada hari yang berkenaan adalah satu gram bersamaan RM180, jadi wang RM180 perlu disedekahkan kepada fakir miskin.
Menurut Ustaz Azhar Idrus pula, mengadakan majlis cukur jambul sekadar cukup syarat tidak menjadi kesalahan, namun ibu bapa mesti memastikan rambut bayi dicukur botak selepas selesainya majlis.
Hukum cukur rambut bayi
Mencukur rambut bayi merupakan salah satu perkara sunat yang digalakkan oleh syarak. Ini berdasarkan hadith daripada Saidina Ali RA, katanya:
عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ: يَا فَاطِمَةُ احْلِقِى رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِى بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan lantas bersabda: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah berat rambut tersebut selepas dinilaikan dengan (timbangan) perak.”
Ali berkata: “TImbangannya menyamai satu dirham atau setengah dirham.”
Cukur rambut bayi hari ke berapa
Sunnah mencukur rambut bayi adalah terpakai kepada bayi lelaki dan perempuan, yang mana paling afdal dibuat pada hari ke-7 kelahiran.
Tetapi, ada segelintir yang cukur rambut bayi selepas 7 hari. Adakah dibolehkan cukur rambut bayi selepas 40 hari menurut Islam?
Disebabkan hukumnya sunat muakad dan bukannya wajib, jadi mencukur rambut bayi selepas 7 hari atau selepas 40 hari adalah tidak dilarang. Ibu bapa boleh melakukannya pada bila-bila masa sahaja pada hari yang berkelapangan.
Yang paling penting, cara cukur rambut bayi tidak mempunyai perbuatan qaza’ yang dilarang oleh syarak.
Amalan qaza’ termasuklah:
- Mencukur bahagian tertentu rambut di kepala.
- Cukur bahagian tengah dan biarkan bahagian tepi.
- Cukur tepi dan biarkan bahagian tengah.
- Cukur bahagian depan dan biarkan bahagian belakang.
Kenapa perlu cukur rambut bayi?
Daripda segi kesihatan, ada banyak kebaikan buat bayi sekiranya rambut dicukur sehingga botak licin. Tiada salahnya jika dia botak sekejap kerana dalam masa beberapa bulan sahaja ada rambut baharu yang akan tumbuh.
1. Kebersihan
Rambut yang tumbuh semasa di dalam rahim ibu terkena lemak dan lendiran di dalam rahim. Secara tidak langsung akan ada kotoran melekat di kulit kepala bayi.
Malah sukar untuk kita kesan sendiri kekotoran yang tersembunyi di sebalik celahan rambut itu. Bila dicukur, kulit kepala bayi akan mudah dicuci dan dibersihkan.
Jika dibotakkan licin, segalanya boleh kita nampak dengan jelas.
2. Bayi lebih selesa
Bayi akan mengeluarkan peluh melalui rongga-rongga di kepala. Sementara kulitnya ambil masa untuk menjadi matang dan respirasikan peluh selepas beberapa bulan.
Jadi bayi akan lebih selesa untuk berpeluh bila rambutnya tiada. Dan mudah untuk peluhnya di lap. Lagipun cuaca di Malaysia dengan kelembapan yang tinggi.
3. Mudah uruskan kerak di kepala bayi
Sesetengah bayi mengalami kerak di kepalanya. Kerak tersebut berwarna kekuningan dan berminyak serta mengeluarkan bau yang hamis.
Bila rambut bayi dicukur licin, mudah untuk ibu bapa lihat keadaan kerak tersebut. Malah minyak bagi merawat kerak di kepala pun mudah disapu sekiranya bayi tersebut botak.
4. Aliran darah meningkat ke kepala
Kesan dari rambut bayi dicukur akan sebabkan aliran darah meningkat ke kepala. Kebaikannya adalah khasiat dan oksigen akan tertumpu ke perkembangan otaknya. Maka bayi akan lebih cergas dan cerdas.
5. Rangsang pertumbuhan rambut baharu
Mencukur rambut bayi akan merangsang pertumbuhan rambut baru kelak. Maka rambut bayi yang akan tumbuh akan lebih kuat, sihat dan lebat. Apa salahnya bayi botak sekejap untuk beberapa bulan, dan kemudian bayi membesar dengan rambut yang sihat.
Doa cukur rambut bayi
Sebelum mencukur rambut bayi yang baru lahir, sebagai seorang muslim dianjurkan untuk membaca doa sebelum mencukurnya. Doa cukur rambut bayi dibaca untuk meminta perlindungan dari Allah SWT.
Berikut merupakan doa mencukur rambut bayi yang boleh dibaca:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ أَللهم نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَنُوْرُالشَّمْسِ وَالْقَمَرِ اللهم سِرُّ اللهِ نُوْرُ النُّبُوَّةِ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillhi robbil ‘alamin. Allahumma nurus samawati wa nurusy syamsyi wal qamari. Allahumma sirrullahi nurun nubuwwati rosulullahi shollallahu ‘alaihi wa sallama wal hamdu lillahi robbil ‘alamina.
Maksudnya:
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Ya Allah, cahaya langit, matahari, dan rembulan. Ya Allah, rahsia Allah, cahaya kenabian Rasulullah SAW, dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.”
Setelah selesai mencukur rambut bayi, segera meniup lembut pada ubun bayi sambil membaca doa memohon perlindungan iaitu:
للَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan seluruh keluarga daripada syaitan yang direjam.”
Cara kumpul rambut bayi
- Ambil 1 bekas berisi air
- Basahkan kepala bayi dan gunakan sedikit syampu rambut bayi
- Guna pisau cukur gillette atau yang lain dan pastikannya baharu
- Setiap kali cukur, celupkan pencukur dalam bekas berisi air tadi. Pastikan semua rambut yang dicukur dimasukkan dalam bekas tersebut.
- Selesai cukur, letakkan sehelai tisu di dalam penapis air. Tapiskan air dan rambut dalam bekas tadi.
- Biarkan penapis tersebut kering dihembus angin pada suhu bilik sahaja.
- Bawa ke kedai emas untuk ditimbang. Atau timbang je sendiri kalau ada penimbang emas.
ardoranatural,iluminasi Mufti Wilayah Persekutuan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Amalkan Makanan Ini Ketika Hamil Jika Ibu Ingin Bayi Lahir Rambut Lebat
Baca juga: Rambut Bayi Gugur & Nipis Selepas Bercukur, Bilakah Ia Akan Tumbuh Lebat?
Baca juga: Boleh Cukur Jambul Bayi Dahulu, Baru Buat Aqiqah Jika Ibu Ayah Tidak Berkemampuan