Sering kali ibu yang berbadan dua dinasihatkan untuk sentiasa menjaga diri mereka bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap kandungan. Namun jika darah keguguran keluar, ia menjadi salah satu petanda bahawa anda bakal kehilangan janin.
Dalam hal ini, tidak semua kehamilan berlaku ketika seseorang itu sedar dan tahu diri mereka hamil. Banyak kes wanita hanya mengetahuinya selepas mengalami pendarahan yang teruk.
Darah keguguran petanda kandungan tidak menjadi
Sebenarnya jika ibu mengetahui tentang kehamilan, kemungkinan kandungan tidak menjadi adalah kurang iaitu kira-kira 10-15% sahaja.
Selepas ultrasound mengesan degupan jantung yang sihat, peluang kehilangan kehamilan adalah jauh lebih rendah.
Keguguran adalah kehilangan janin yang berlaku sebelum 20 minggu kehamilan. Kelahiran mati atau stillbirth pula merupakan kehilangan kehamilan yang berlaku bila-bila masa selepas usia 20 minggu.
Risiko keguguran janin mengikut minggu
Kebanyakan kehilangan kehamilan adalah disebabkan oleh faktor yang tidak dapat dikawal oleh seseorang.
Sekitar 80% kehilangan ini berlaku semasa trimester pertama, iaitu antara 0 dan 13 minggu. Pada awal kehamilan, punca keguguran yang paling utama adalah masalah genetik.
Ia biasanya membuatkan bayi tidak dapat bertahan hidup di luar rahim. Walaupun seseorang mengalami kehilangan kehamilan jenis ini, mereka secara amnya dapat meneruskan kehamilan yang sihat pada masa hadapan.
Anggaran umum risiko keguguran mengikut minggu adalah seperti berikut:
-
Minggu 3–4
Implantasi biasanya berlaku sekitar 3 minggu selepas haid terakhir seseorang dan kira-kira seminggu selepas ovulasi. Menjelang minggu ke-4, mereka mungkin boleh mendapat keputusan positif pada ujian kehamilan di rumah.
Sebanyak 50–75% kehamilan berakhir sebelum mendapat keputusan positif pada ujian kehamilan. Kebanyakan orang tidak akan tahu bahawa mereka hamil dan hanya menganggap darah keguguran yang keluar adalah haid.
-
Minggu 5
Risiko keguguran pada ketika ini berbeza dengan ketara. Satu kajian 2013 mendapati bahawa peluang keseluruhan untuk kehilangan kehamilan selepas minggu ke-5 ialah 21.3%.
-
Minggu 6–7
Kajian yang sama mencadangkan bahawa selepas minggu ke-6, risiko kehilangan janin menurun kepada 5%. Ketika ini juga ibu boleh mengesan degupan jantung melalui ultrasound.
-
Minggu 8–13
Pada separuh kedua trimester pertama, kadar keguguran nampaknya 2-4%.
-
Minggu 14–20
Antara minggu 14 dan 20, peluang untuk mengalami keguguran adalah kurang daripada 1%.
Menjelang minggu ke-20, kehilangan kehamilan dikenali sebagai kelahiran mati, dan ini memerlukan ibu melahirkan bayi yang tidak bernyawa.
Menurut kumpulan penyelidik yang berpangkalan di United Kingdom, terdapat kemungkinan kecil bayi yang dilahirkan pada 22 minggu dapat bertahan hidup memandangkan adanya teknologi perubatan. Peluang ini boleh meningkat setiap minggu.
Kadar dan risiko keguguran mengikut umur
Peluang kehamilan yang berjaya bagi setiap orang adalah bergantung kepada pelbagai faktor, termasuklah umur dan kesihatan diri ibu ayah.
Umur adalah faktor risiko utama untuk kehilangan kehamilan. Hal ini kerana kualiti telur cenderung merosot dari semasa ke semasa.
Purata risiko keguguran mengikut umur ibu mengandung adalah seperti berikut:
- Bawah 35 tahun: Terdapat 15% kemungkinan kehilangan kehamilan.
- Antara 35 dan 45 tahun: Terdapat 20–35% kemungkinan kehilangan kehamilan.
- Lebih 45 tahun: Terdapat kira-kira 50% kemungkinan kehilangan kehamilan.
Mengalami keguguran buat kali pertama tidak bermakna seseorang itu akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata.
Kebanyakan ibu yang pernah ada sejarah kehilangan ini sebenarnya berpeluang memiliki kehamilan yang sihat pada masa akan datang.
Malah, satu kajian pada tahun 2016 mendapati bahawa ramai ibu diberikan rezeki untuk hamil semula serta-merta selepas mengalami keguguran.
Keguguran adalah perkara biasa
Menurut Dr Kaylen Silverberg, pakar kesuburan yang berpangkalan di Texas, berkata keguguran adalah perkara biasa.
“Wanita berfikir bahawa apabila mengalami satu keguguran, mereka boleh keguguran lagi,” katanya.
Walau bagaimanapun, kemungkinan mengalami keguguran berulang (sekurang-kurangnya 2 atau 3) adalah rendah, hanya berlaku pada kira-kira 1 peratus wanita.
Walau bagaimanapun, beberapa faktor perlu diambil kira dalam kes ini. Ini termasuklah umur ibu dan masalah kesihatan yang dialami.
Kebanyakan doktor akan mula menyiasat punca selepas anda mengalami dua hingga tiga keguguran. Ini termasuklah menyemak sejarah perubatan anda secara terperinci dan melakukan ujian tertentu.
Punca keguguran berlaku
Berikut adalah lima punca keguguran yang paling biasa.
- Genetik
- Jangkitan – Jangkitan rahim atau serviks boleh membahayakan bayi yang sedang berkembang dan menyebabkan keguguran.
- Masalah anatomi- Ini merujuk kepada kecacatan rongga rahim. Jika rahim wanita tidak terbentuk dengan betul semasa berkembang, ia mungkin tidak dapat menyokong kehamilan yang sihat.
- Gangguan pembekuan- Gangguan pembekuan adalah keadaan yang menyebabkan badan anda membentuk lebih banyak darah beku daripada biasa. Contohnya termasuk antikoagulan lupus dan sindrom antifosfolipid.
Perkara terbaik yang boleh anda lakukan ialah memastikan diri anda sihat sebaik mungkin sebelum mencuba untuk hamil lagi.
Berikut adalah beberapa petua untuk kekal sihat sebelum atau semasa hamil:
- Makan makanan yang seimbang.
- Bersenam dengan kerap.
- Elakkan alkohol, dadah dan rokok.
- Kurangkan kafein kepada 200 mg atau kurang setiap hari.
- Dapatkan lawatan pranatal secara berkala.
Jika anda bimbang tentang risiko kehamilan seterusnya, dapatkan nasihat daripada doktor pakar sakit puan di klinik yang berdekatan.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Terjatuh Dalam Bilik Air, Ibu Hamil Kembar Tiga Pasrah Alami Keguguran Selepas Seminggu
Baca juga: Cara Pantang Keguguran Yang Betul Ikut Bidan Melayu, Ibu Moden Jangan Ambil Mudah
Baca juga: Bukan Sebab Makan Nenas Atau Bersenam, Doktor Dedah Ini Punca Sebenar Keguguran