Apabila anak demam, risau ibu bapa dibuatnya. Apatah lagi jika anak diserang measles atau demam campak hingga merah-merah seluruh badannya.
Jika demam biasa pun anak tidak selesa, bila kena measles atau demam campak ini, lebih berganda ketidakselesaan yang akan dialami oleh anak kerana ia biasanya akan menimbulkan rasa miang kepada anak.
Menurut seorang doktor, Dr Amirul Azhar yang postingnya dipetik thezuriat.com, measles adalah merbahaya. Ia boleh membunuh malah ia juga amat mudah berjangkit.
Demam campak (measles) bahaya, ibu bapa perlu peka
Jika seorang pesakit measles duduk dalam bilik yang ada 100 orang, 90 orang ada risiko akan dijangkiti.
Orang yang menghidap measles ini juga boleh menjangkiti orang lain empat hari sebelum dan empat hari selepas ruam keluar. Bermakna, sebelum ruam keluar pun dia boleh menularkan jangkitan. Bahayakan? Walaupun ruam belum keluar lagi, pesakit measles sudah boleh menjangkiti orang lain.
Satu daripada empat kes yang dijangkiti measles akan masuk hospital. Ini terutamanya bayi dan kanak-kanak di bawah satu tahun. Biasanya akibat cirit birit teruk atau jangkitan telinga yang juga boleh membawa kepada pekak.
Satu dari 1000 kes ada risiko untuk mengalami bengkak otak (encephalitis) dan ada risiko ini hingga 10 tahun selepas jangkitan measles sembuh (subacute sclerosing encephalitis) yang mana ia menyebabkan kecacatan otak.
Selain itu, menurut laporan itu, satu atau dua orang daripada 1,000 kes measles akan mati. Kena ingat, bila wabak jadi, bukan seorang dua yang kena. Boleh merebak hingga beribu dan berpuluh ribu.
Adakah measels sama dengan chicken pox?
Measles digelar demam campak (walaupun ini tidak begitu tepat), chicken pox pula digelar cacar air. Keduanya berbeza. Chicken pox disebabkan kuman Varicella zoster manakala measles disebabkan oleh kuman measles.
Secara relatif, jangkitan chicken pox adalah kurang merbahaya berbanding measles. Sebab itu walaupun ada vaksin untuk chicken pox, ianya tidak dimasukkan dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan. Bagaimanapun, jangan diambil ringan jika anak kena chicken pox, kerana ia juga berbahaya terutama kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun.
Pendek kata, tidak kiralah apa pun penyakit, ia perlu diambil perhatian serius dan ibu bapa perlu peka bagi mengelak sebarang perkara yang lebih berbahaya dihadapi oleh anak.
Ruam chicken pox dan measles juga berbeza. Ruam chicken pox biasanya akan menjadi kantung kecil berisi air yang pecah. Manakala measles pula biasanya ruam merah rapat-rapat dan tidak ada air.
Ruam measles lebih halus dan kelihatan seperti ruam biasa disebabkan itu adakalanya ibu bapa akan terlepas pandang dan ingat anak dijangkita ruam biasanya sedangkan ia adalah demam campak yang mempunyai risiko tinggi kepada anak daripada segi kesihatannya.
Malah bukan anak anda saja, tetapi orang lain ada risiko dijangkiti juga jika berada bersekali dengan orang yang sudah dijangkita measles.
Dah ambil vaksin MMR, tapi kena juga?
Pemahaman seperti ini yang kita tidak mahu. Umum masyarakat ingat demam dan ruam sahaja, terus digelar demam campak.
Selain measles, banyak lagi kuman lain boleh datang dengan demam dan ruam. Boleh jadi, jangkitan yang kita anggap demam campak itu disebabkan oleh kuman lain seperti Scarlet fever, jangkitan listeria dan parvovirus. Malah, demam denggi pun boleh datang dengan demam dan ruam.
Jadi, untuk sahkan demam itu measles atau tidak, bawa ke klinik untuk diperiksa dan tanya doktor ini measles atau tidak. Kebanyakan masa, measles disahkan melalui ujian darah.
MMR tu ada 3 huruf, Measles, Mumps dan Rubella. Ia melindungi dari 3 penyakit. Vaksin MMR tidak melindungi 100 peratus terhadap measles. Selepas suntikan pertama, dari 100 orang yang menerima suntikan, 95 orang akan dilindungi, lagi lima masih boleh kena measles walau sudah disuntik.
Selepas suntikan kedua, bilangan dilindungi naik ke 99 peratus. Bermakna masih ada seorang yang mungkin gagal dilindungi walau disuntik vaksin.
Mereka ini walau tidak bernasib baik, boleh dilindungi kalau semua orang ambil suntikan dan bina imuniti kelompok yang bagus. Sebab itu vaksin bukan pilihan individu, ianya tanggungjawab bersama.
Malah, mereka yang menerima suntikan biasanya kalau kena jangkitan, ianya tidak serius dan tidak menyebabkan kematian. Pada 2018, kesemua kematian akibat measles adalah mereka yang tidak divaksin.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: thezuriat
Baca juga:
https://my.theasianparent.comfakta-tentang-demam-bayi
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!