Penyakit Ain adalah keadaan yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai dengan perasaan iri hati atau kekaguman terhadap sesuatu yang dilihat.
Ia boleh berpunca daripada orang yang memiliki sifat dengki, mahupun daripada orang yang kita kasihi, sama ada daripada mereka yang jahat atau yang baik. Oleh itu, kita perlu sentiasa berusaha untuk berlindung dengan bertawakal kepada Allah SWT, disertai dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan mengamalkan beberapa doa elak penyakit Ain.
Doa Penyakit Ain
1. Doa Perlindungan Dari Pandangan Jahat
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Doa Elak Penyakit Ain Rumi: U‘îdzuka bikalimâtillâhit tâmmati min kulli syaithânin, wa hâmmatin, wa min kulii ‘ainin lâmmah.
Maksud Doa Penyakit Ain: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat.”- (Sahih Riwayat al-Bukhari, 3371)
2. Doa Elak Penyakit Ain: Surah Al-Falaq
“Bismillahi r-Rahmani r-Rahim. Qul a’udhu bi-Rabb al-falaq. Min sharri ma khalaq. Wa min sharri ghasiq idha waqab. Wa min sharri naffathati fi ‘uqad. Wa min sharri hasidin idha hasad.“
”Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Tuhan yang menciptakan subuh, dari kejahatan makhluk yang Dia ciptakan. Dan dari kejahatan malam apabila ia gelap. Dan dari kejahatan wanita-wanita penyihir yang mengikat pada tali. Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.”
3. Doa Elak Penyakit Ain: Surah An-Nas
“Bismillahi r-Rahmani r-Rahim. Qul a’udhu bi-Rabb an-nas. Maliki an-nas. Ilahi an-nas. Min sharri al-waswas al-khannas. Alladhi yuwaswisu fi sudur an-nas.“
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Tuhan manusia, Raja manusia, Tuhan manusia, dari kejahatan bisikan yang tersembunyi, yang membisikkan ke dalam hati manusia.'”
Cara Menghindari Dan Mengubati Penyakit Ain
Ramai yang tidak tahu, sebenarnya terkena penyakit Ain lebih parah dan bahaya daripada sihir. Sihir boleh dirawat dan boleh sembuh kalau jumpa perawat yang pakar dan betul.
Tapi kalau terkena penyakit Ain susah nak sembuh dan susah nak rawat sebab kita tidak tahu mata siapa yang dah memandang dengan hasad dengki dan kagum melampau. Boleh jadi ia berhujung maut.
Cara Mengelakkan Penyakit Ain:
- Membaca Doa dan Zikir: Amalan membaca doa dan zikir seperti “A’udzu bi kalimatillahi tammati min sharri ma khalaq” atau “Bismillahilladzi la yadurru ma`as-mihi shay`un fi al-ardhi wa la fi as-sama’ wa huwa as-sami`u al-`alim” boleh membantu melindungi diri daripada penyakit ain.
- Mandi Dengan Air Yang Dibaca Ruqyah: Salah satu cara untuk menghilangkan kesan penyakit ain adalah dengan mandi menggunakan air yang telah dibacakan ruqyah atau ayat-ayat tertentu dari Al-Quran.
- Mendoakan Orang Yang Dikagumi: Jika kita merasa kagum kepada seseorang atau sesuatu, adalah disarankan untuk mengucapkan “MasyaAllah” atau “Allahumma barik lahu/ laha” sebagai doa keberkatan, menghindari hasad dengki yang tidak disengajakan.
- Menghindari Menonjolkan Nikmat: Salah satu cara untuk mengelakkan terkena al-‘ain adalah dengan tidak terlalu mempamerkan nikmat yang diterima, terutama di hadapan orang yang mungkin iri hati.
- Elakkan Terlalu Berkongsi Gambar: Elakkan menyebarkan gambar anak-anak ke laman-laman maya tanpa ada sebab, kerana kita tidak tahu siapa yang akan melihat mahupun memandangnya.
Hadis Tentang Penyakit Ain
Penyakit ‘Ain sering kali dianggap remeh, namun ia sebenarnya satu ancaman serius. Rasulullah ﷺ bersabda:
أكثرُ مَن يموتُ من أُمَّتي بعدَ قضاءِ اللهِ وقدَرِه بالعيْن
“Kebanyakan mereka yang meninggal dunia dari kalangan umatku setelah Qada’ Allah dan Qadar-Nya adalah disebabkan oleh penyakit ‘Ain.”– (Hadis Hasan)
Penyakit ‘Ain merujuk kepada kesan hasad dengki atau kekaguman berlebihan yang boleh menyebabkan mudarat kepada orang lain. Dalam Islam, penyakit ini tidak hanya berkait dengan pandangan mata semata-mata, tetapi juga dengan hati yang tidak bersih, yang membawa kepada niat buruk terhadap orang lain.
Akibatnya, orang yang terkena penyakit ini boleh jatuh sakit atau bahkan meninggal dunia, seperti yang dijelaskan dalam hadis di atas.
Satu peristiwa yang masyhur adalah apabila Sahal Ibn Hunaif terkena penyakit ‘Ain setelah dipandang dengan kekaguman oleh Amir Ibn Rabi’ah. Rasulullah ﷺ kemudian menegur Amir, dan mengingatkan pentingnya mendoakan keberkatan apabila melihat sesuatu yang menakjubkan. Baginda bersabda:
“Mengapa kamu tidak mendoakan keberkatan untuknya? Kerana doa keberkatan dapat mencegah penyakit ‘Ain.”
Oleh itu, Nabi mengajarkan agar kita sentiasa mengiringi kekaguman dengan doa keberkatan, bagi melindungi orang lain daripada bahaya ‘Ain. Antara doa yang dianjurkan adalah:
اللّهُـمَّ بارِكْ عَلَيْه
(Ya Allah, limpahkanlah keberkatan ke atasnya).
Penting untuk kita sedar bahawa kekaguman yang tidak dikawal boleh membawa kepada hasad, dan hasad ini boleh menjadi punca kepada penyakit ‘Ain. Maka, jagalah hati dan selalu iringi kekaguman kita dengan doa kebaikan.
Ciri-Ciri Dan Tanda Penyakit Ain
- Kelesuan atau Kepenatan Tanpa Sebab: Individu yang terkena al-‘ain sering merasa letih tanpa sebab yang jelas, walaupun mereka mendapat tidur atau rehat yang mencukupi.
- Sakit Kepala atau Migrain Tiba-tiba: Migrain atau sakit kepala tanpa sebab fizikal atau perubatan yang jelas juga sering dikaitkan dengan al-‘ain.
- Penurunan Kesihatan Fizikal Secara Mendadak: Orang yang terkena al-‘ain mungkin mengalami penyakit mendadak, seperti demam, kehilangan berat badan, atau rasa lemah.
- Masalah Mental dan Emosi: Depresi, kecemasan, atau perubahan mood yang tidak dapat dijelaskan juga merupakan tanda-tanda biasa.
- Masalah dalam Perkahwinan atau Keluarga: Beberapa individu percaya bahawa al-‘ain boleh menyebabkan keretakan hubungan, terutamanya dalam perkahwinan atau keluarga.
Rawatan Penyakit Ain
Sekiranya seseorang terkena penyakit ain, berubatlah dengan rawatan secara syar’ie, iaitu:
1. Dibacakan Ruqyah
Daripada Buraidah bin Al-Husyaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ رُقْيَةَ إِلاَّ مِنْ عَيْنٍ أَوْ حُمَة
Maksudnya: “Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit ‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa..” –Riwayat al-Bukhari (5705) dan Muslim (220)
2. Dimandikan Dengan Air
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata:
“Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.”
Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda:
عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ
Maksudnya: “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”
Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”
Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)
Ibn al-Qayyim Rahimahullah berkata:
هَذِهِ الْكَيْفِيَّةُ لَا يَنْتَفِعُ بِهَا مَنْ أَنْكَرَهَا وَلَا مَنْ سَخِرَ مِنْهَا وَلَا مَنْ شَكَّ فِيهَا أَوْ فَعَلَهَا مُجَرِّبًا غَيْرَ مُعْتَقِدٍ
“Cara pengubatan ini tidak akan dapat mengambil manfaatnya bagi orang yang mengingkarinya, orang yang mempersenda-sendakannya, orang yang meragukannya atau yang melakukannya sekadar cuba-cuba tanpa meyakini.” (Lihat Fath al-Bari, 10/205)
Doa Elak Penyakit Ain
Berusaha berlindung daripada penyakit ain adalah dibolehkan serta ia tidak menafikan konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bergantung kepada Allah SWT disertai dengan melakukan asbab perkara yang diharuskan atau diperintahkan dengannya.
Berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ‘ain malah daripada segala mara bahaya. Nabi SAW memperlindungkan al-Hasan dan al-Husin R.Anhuma sepertimana dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma, Baginda SAW bersabda:
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Maksudnya: Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.”
Riwayat al-Nasa’ie (7679), Abu Daud (4737),
Ibn Majah (3525), dan al-Tirmizi (2060)
Selain doa penyakit ain, kami juga mengajak kepada pembaca untuk mengamati dan tadabbur surah al-Falaq serta mengamalkannya supaya terhindar daripada penghasad dan pendengki.
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ﴿١﴾ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ﴿٢﴾ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ﴿٣﴾ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ﴿٤﴾ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, (1) “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2) “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; (3) “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (4) “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”- Surah al-Falaq (1-5)
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 6 Doa Banjir Yang Boleh Diamalkan Agar Dilindungi Dari Musibah & Banjir Segera Surut
Baca juga: Jika Rindu Pada Insan Yang Telah Tiada, Sedekahkan Doa Untuk Orang Meninggal
Baca juga: Panduan Doa Qunut Nazilah Untuk Keselamatan Umat Islam Di Palestin
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!