Tidak kiralah betapa dewasa pun seseorang itu, apabila berenggang bersama ibu ayah, pastinya mereka dilanda dengan perasaan rindu. Lebih-lebih lagi jika anak masih kecil, mereka amat memerlukan ibu ayah di samping mereka seperti kisah dua beradik menyorok di bawah bas ini.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Adik-beradik menyorok di bawah bas
- Kebimbangan perpisahan (separation anxiety) dalam kanak-kanak
- Cara meminimakan kebimbangan anak-anak
Terlalu rindu, dua beradik menyorok bawah bas untuk berjumpa mak ayah
Dipercayai datang dari perkampungan miskin di kawasan pedalaman Nazuo, Wilayah Guangxi, dua beradik ini telah menyelit di bahagian bawah bas disebabkan susuk tubuh yang kecil dan sangat kurus.
Ketika ditemui, mereka yang berusia lapan dan sembilan tahun itu dipenuhi dengan kesan lumpur oleh pekerja keselamatan apabila bas tersebut berhenti di sebuah stesen di daerah Xilin.
Pekerja tersebut yang berasa kasihan memberikan mereka pakaian dan makanan.
Seorang pekerja stesen bas telah menyatakan bahawa dua beradik ini sanggup menggadai nyawa semata-mata hendak berjumpa dengan ibu bapa mereka kerana terlalu rindu.
Mereka menumpang bas dari Nazuo ke Baise kerana telah diberitahu oleh saudara-mara mereka bahawa ibu dan ayahnya bekerja di Baise, namun ibu bapa mereka sebenarnya bekerja lebih jauh iaitu di wilayah Guandong.
Setelah menerima maklumat keberadaan dua kanak-kanak ini, keluarga mereka telah mengambil mereka pada petang hari yang sama.
Betul kata orang, kasih ibu membawa ke syurga dan kasih ayah berpanjangan. Namun, kasih anak itu tiada tandingannya sehingga sanggup bergadai nyawa ingin bertemu ibu dan ayah.
Adakah kanak-kanak boleh mengalami kebimbangan perpisahan (separation anxiety)?
Sebelum kami menjawab soalan ini, duduk dan berfikir sebentar. Pernahkan anak anda menangis dengan kuat apabila anda jauh sebentar darinya sekadar untuk mandi, atau hendak ke dapur?
Pernahkah si manja anda demam apabila anda perlu bekerja di luar kawasan kerana tidak dapat bertemu dengan anda selama beberapa hari?
Ini mungkin petanda-petanda separation anxiety atau kebimbangan perpisahan yang sering dialami oleh anak-anak. Apakah itu kembimbangan perpisahan?
Kebimbangan perpisahan merupakan suatu gangguan kecemasan namun ianya agak normal untuk kanak-kanak untuk berasa takut atau gementar ketika hendak berpisah dengan orang tuanya, terutamanya ketika mereka masih bayi atau kanak-kanak.
Namun, sekiranya anak anda sudah mencecah usia yang membolehkan mereka untuk berpisah namun mereka enggan, ibu dan ayah perlulah mengambil tindakan kerana pasti susah sekiranya anak enggan berenggang. Nak pergi kerja pun serba salah!
Jadi, apa ibu dan ayah boleh lakukan untuk membendung atau meminimakan tindakan reaksi kebimbangan perpisahan si anak?
Ibu ayah lakukan ini untuk kurangkan kebimbangan perpisahan anak
Masalah kebimbangan perpisahan yang dialami anak boleh dibendung pada usia awal sekiranya ibu dan ayah mengambil langkah yang betul untuk membantu si manja mengawal emosi dan perasaan mereka.
- Mendengar dan berbicara tentang perasaan anak. Ajaklah si manja berbual tentang apa yang mereka takutkan sekiranya berjauhan dengan ayah dan ibu. Kemudian, pujuklah mereka bahawa walaupun ibu dan ayah berjauhan, si manja akan selamat dan ibu ayah juga akan sentiasa kembali.
- Menyiasat punca anak tidak mahu berenggang. Kadang-kala, si manja mungkin tidak mahu jauh dari ibu bapa kerana sebab lain. Kerap kali kita lihat kanak-kanak yang menangis dan mengamuk apabila dihantar ke sekolah. Mengapa mereka terlalu takut untuk ke sekolah tanpa ibu ayah? Di sinilah ibu bapa perlu mengambil tindakan untuk menyiasat puncanya.
- Melakukan terapi psikologi (psikoterapi). Jika masalah kebimbangan perpisahan anak terlalu teruk hingga mengganggu kehidupan seharian anda serta anak, maka anda boleh mempertimbangkan pilihan untuk menjalani psikoterapi bagi si manja.
Walau apa pun, ibu dan ayah perlu tahu bahawa kebimbangan perpisahan ini akan mula beransur setelah si manja menginjak dewasa. Sekiranya masih berterusan, lakukanlah ketiga-tiga cara ini untuk keharmonian sejagat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Separation Anxiety Dengan Anak, Bila Nak Ke Tandas Pun Anak Menangis, Ini Yang Ibu Bapa Perlu Tahu!
Baca juga: Dilema Ibu Perlu Mula Bekerja, Ini Cara Menenangkan Bayi Suka Menangis Bila Berpisah!
Baca juga: Kenapa Anak Enggan Berpisah Dengan Mainan Kegemaran? Ini Psikologi di Sebaliknya