Pernahkah sewaktu ibu memberi makan kepada anak, ada ketikanya dia menunjukkan reaksi seperti termuntah. Apakah sebenarnya yang terjadi? Situasi ini disebut sebagai gag reflex dan ini adalah reaksi normal lazimnya terjadi semasa permulaan proses makan.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Apa itu gag reflex pada bayi, adakah ia membahayakan?
- Gag reflex normal, apakah ciri-ciri tersebut?
- Perbezaan tercekik dan ciri-ciri tercekik
- Cara mengurangkan risiko anak tercekik
Apa itu gag reflex pada bayi, adakah ia membahayakan?
Seperti dikongsikan oleh seorang ibu, Nur Madihah Amir Ruddin menjelaskan, gag reflex adalah mekanisme semula jadi badan untuk melindungi diri daripada tercekik. Lidah anak akan automatik menolak makanan ke hadapan.
Oleh yang demikian, makanan tidak akan mencapai tekak sama sekali dan akan terkeluar daripada mulut.
Sekiranya anak batuk dan menunjukkan reaksi seperti termuntah, ia perkara biasa terjadi pada beberapa bulan pertama semasa proses memperkenalkan makanan pelengkap yang mempunyai tekstur baharu selain daripada susu.
Jika anak diberi makan saiz suapan yang banyak juga boleh menyebabkan gagging kerana mereka tidak dapat menahan dan mengawal makanan terkeluar daripada mulut.
Makan makanan selain daripada susu merupakan kemahiran baharu untuk bayi dan ia memerlukan latihan berulang kali bagi membiasakan diri dengan kepelbagaian tekstur makanan yang diberikan.
Gag reflex adalah normal, apakah ciri-ciri tersebut?
- Ketika tersedak, bayi akan batuk dengan kuat, mengeluarkan bunyi seperti meneran serta bunyi seperti hendak termuntah.
- Muka bayi akan menjadi merah, lidah akan ke depan dan mengeluarkan makanan atau memuntahkan semula makanan tersebut.
- Ibu perlu tenang dan sentiasa ingat bahawa ia adalah perkara biasa terutama anak dalam proses diperkenalkan makanan selain susu.
- Sekiranya anak cuba mengeluarkan makanan, ibu perlu elakkan daripada cuba menolaknya masuk lebih jauh ke kerongkong anak. Menolak makanan masuk ke dalam mulut pada ketika ini akan memburukkan lagi keadaan, malah boleh menyebabkan anak tercekik.
Perbezaan tercekik dan ciri-ciri tercekik
Tercekik adalah tanda bahawa saluran pernafasan bayi telah tersumbat. Ia terjadi kerana makanan yang dimakan oleh anak menyekat sebahagian atau sepenuhnya saluran pernafasan mereka.
Gag reflex mereka tidak berjaya untuk melindungi diri daripada tercekik. Tercekik menunjukkan bayi anda berada dalam keadaan yang bahaya dan ia boleh mengancam nyawa.
Ciri-ciri tercekik:
- Mereka tidak akan membuat bunyi seperti gagging. Biasanya, tiada bunyi kedengaran.
- Anak ibu mungkin tidak dapat menangis, batuk atau bernafas ketika mereka tercekik.
- Menjadi biru kerana tidak dapat bernafas disebabkan saluran pernafasan mereka tersekat.
- Oleh itu, sentiasa awasi anak ketika mereka makan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana tercekik adalah berbahaya dan memerlukan tindakan yang cepat.
Cara mengurangkan risiko anak tercekik
1) Pastikan bayi telah menunjukkan kesemua ciri-ciri telah bersedia diberikan untuk makan makanan pelengkap selain daripada susu.
2) Sentiasa awasi bayi anda ketika makan. Pastikan saiz suapan makanan yang diberikan tidak terlalu banyak.
3) Berikan beberapa dan sedikit makanan ke dalam pinggan makan anak pada satu-satu masa.
4) Pastikan bayi dapat duduk dengan baik seperti duduk di atas kerusi makan bayi. Tarik kerusi makan bayi ke tepi meja anda.
5) Perkenalkan pelbagai tekstur makanan bagi membantu bayi belajar mengunyah dengan betul.
6) Sekiranya ingin memberi anak makan sayur yang agak keras seperti lobak merah, pastikan lembutkannya dahulu dengan cara kukus atau rebus.
7) Potong makanan dalam saiz mudah dipegang (mengikut saiz jejari, panjang dan nipis). Apabila anak sudah boleh memegang menggunakan jari, ibu boleh beri makanan dalam potongan finger foods kepada saiz yang lebih kecil (pastikan ia lembut dan sentiasa pantau anak anda ketika mereka makan).
Elakkan memberi anak makan makanan yang keras, bulat dan dalam potongan yang besar.
9) Jangan berikan apa-apa kepada anak untuk makan atau minum semasa mereka berjalan, bermain atau duduk di dalam kereta atau kereta sorong yang sedang bergerak.
10) Cuba jaya semasa menukar tekstur makanan anak. Lihat reaksi atau penerimaannya terhadap tekstur yang diberi.
11) Jika anak menunjukkan gagging pada makanan yang diperkenalkan, jangan putus asa, teruskan beri anak makanan tersebut dan sesuaikan tekstur mengikut penerimaan anak.
12) Kebiasaannya makanan yang bertekstur licin, kasar akan mendorong terjadinya gagging. Lain bayi, lain penerimaannya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Kriteria Penting Pemilihan Produk Penjagaan Kulit Bayi Supaya Kekal Lembap Sepanjang Hari
Baca juga: Dibelenggu Masalah Kulit Kering dan Gatal? Sapukan Losyen Ini Untuk Kelegaan Serta Merta
Baca juga: Hanya Satu Tempat Untuk Semua Keperluan Bayi Anda – Pesta Bayi Lotus’s Malaysia!