Bersetubuh Semasa Puasa, Suami Wajib Bayar Kaffarah & Isteri Hanya Perlu Ganti Puasa

Hukum bersetubuh semasa bulan puasa secara sengaja atau tidak sengaja dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Suami isteri kena ambil tahu

Puasa Ramadhan merupakan satu kewajipan yang dikenakan bagi setiap umat Islam. Ia bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata, tetapi nafsu juga. Bagi suami isteri perlu diketahui akan hukum bersetubuh semasa bulan puasa agar tidak melakukan perkara membatalkan puasa.

Bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga semestinya masih dalam fasa 'honeymoon'. Ada sesetengah pasangan telah melakukan persetubuhan ketika siang bulan puasa secara sengaja ataupun tidak sengaja.

Hukum bersetubuh semasa bulan puasa dengan sengaja

Bersetubuh bersama isteri ketika di siang hari Ramadan termasuk di dalam perkara yang membatalkan puasa.

Dr. Muhammad al-Zuhairi menyatakan, persetubuhan yang dilakukan ketika siang hari Ramadan secara sengaja membatalkan puasa ijmak ulama, walaupun tidak berlaku inzal- iaitu keluar air mani.

Akan tetapi, sex malam puasa Ramadan langsung tidak menjejaskan puasanya. Justeru, hukum bersetubuh semasa bulan puasa wajib dikenakan kaffarah bagi mereka yang tahu dan sedar akan perbuatannya.

Seterusnya, dinyatakan dalam al-Fiqh al-Mahanji bahawa sesiapa yang dengan sengaja membatalkan puasa dengan bersetubuh, wajib dikenakan kaffarah dengan syarat:

  • dia menyedari dirinya berpuasa
  • mengetahui perbuatannya haram
  • bukan dalam keadaan rukhsah (keringanan) ketika musafir atau sakit

Suami sahaja yang dikenakan kaffarah

Kaffarah hanya dikenakan ke atas suami sahaja dan tidak dikenakan terhadap isteri. Ini seperti yang dinyatakan Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya:

“Wajib seseorang suami membayar kaffarah kerana bersetubuh semasa puasa. Dan tidak dikenakan ke atas perempuan walaupun ia berpuasa. Ini kerana hak yang membayar kaffarah jimak dikhususkan ke atas lelaki bukan perempuan seperti mahar.

Kerana perbuatan bersetubuh disandarkan kepada lelaki, maka wajib ke atasnya kaffarah. Oleh itu, perempuan hanya wajib mengqada puasanya sahaja.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/204)

Seterusnya, kaffarah yang wajib – secara tertibnya ia tidak boleh pergi kepada seterusnya melainkan tidak mampu untuk pada sebelumnya – ini kerana membatalkan puasa dengan persetubuhan ialah:

  1. Membebaskan seorang hamba sahaya yang beragama islam sama ada ia seorang lelaki mahupun perempuan.
  2. Jika tidak berkemampuan, dia hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
  3. Sekiranya tidak mampu juga, dia hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin dengan setiap seorang secupak makanan kebiasaan penduduk negeri itu.

Namun, sekiranya seorang itu masih tidak berkemampuan, kaffarah tersebut menjadi tanggunggannya sehinggalah dia mampu untuk melaksanakan satu daripadanya.

Kaffarah Puasa Ramadhan kerana tidak tahu atau jahil

Kaffarah puasa hanya dikenakan kepada sesiapa yang melakukan jimak pada siang hari di bulan Ramadhan.

Namun sekiranya seseorang itu:

  1. terlupa dirinya sedang berpuasa Ramadan
  2. jahil berkenaan haramnya membatalkan puasa Ramadan
  3. sengaja membatalkan puasa Ramadan selain bersetubuh atau dalam musafir yang diharuskan untuk berbuka lalu dia melakukan persetubuhan dalam keadaan tersebut, adalah wajib baginya untuk qadha (menggantikan) sahaja puasa tanpa perlu kaffarah.

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan tidak dikenakan kaffarah kepada seseorang itu dalam beberapa keadaan seperti berikut:

“Tidak dikenakan kaffarah seperti membatalkan puasa dalam keadaan uzur, terlupa ianya berpuasa kemudian melakukan jimak, jahil tentang pengharamannya (jimak di siang Ramadhan), membatalkan dengan makan dan minum kemudian melakukan jimak, musafir atau membatalkan puasa bukan di bulan Ramadhan maka dalam kesemua keadaan ini diwajibkan qada’ puasa sahaja.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 2/203).

Ganti puasa dan fidyah

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan, Selain itu, berkenaan dengan hal menggantikan puasa maka diwajib untuk menunaikannya sehingga sebelum masuk pada bulan Ramadhan yang akan datang.

Dan dikenakan Fidyah sekiranya tidak sempat menunaikannya sehingga masuk pada Ramadhan yang akan datang.

Ini seperti yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya: bersetubuh adalah perkara yang membatalkan puasa, ini seperti makan, sama ada keluar mani atau tidak. (Lihat: al-mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/184)

“Dan sekiranya diwajibkan atasnya untuk qada’ puasa Ramadhan, akan tetapi sekiranya tidak sempat menunaikannya sehingga masuk pada bulan Ramadhan pada tahun hadapan maka diwajibkan ke atasnya qada’ dan fidyah mengikut bilangan hari yang di tinggalkan.” (Lihat: al-mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/203)

Kesimpulannya:

  • Tidak dikenakan kaffarah kepada sesiapa yang melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan disebabkan oleh kejahilannya atau tidak mengetahui hukum haramnya
  • Berkenaan dengan puasa yang di tinggalkan, maka diwajibkan ke atas keduanya untuk menggantikannya mengikut bilangan hari dan dikenakan fidyah sekiranya melebihi tahun yang mendatang serta fidyahnya bertambah mengikut bilangan tahun yang ditinggalkan.

Justeru perbuatan bersetubuh semasa puasa di bulan Ramadhan merupakan kesalahan yang besar dan diharamkan syara’ serta wajib bertaubat untuk tidak mengulanginya kembali. 

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Hukum Bersetubuh Ketika Haid Adalah Haram, Isteri Kena Mandi Wajib Dulu Baru Boleh Bersama!

Baca juga: Jenis Karenah Ibu Ketika Bulan Puasa, Paling Lucu No.3! Boleh Tersuap Makanan Anak

Baca juga: Usah Beria Paksa Anak Berpuasa, Ibu Ayah Perlu Ajar Mereka Jaga Solat Terlebih Dahulu